Manakan dapat sagu kalau tidak dipecahkan ruyungnya?
Manakan dapat mutiara yang berkerlipan jika takut menyelam ke lautan dalam.
Dalam diri setiap manusia, ada seketul daging.
Jika baik ia, maka baiklah seluruh jiwa manusia itu.
Jika buruk ia, buruklah juga manusia itu...
Seketul daging itu adalah hati,
mari kita lapangkan dada dan belajar mengIKHLASkan hati.
Perjalanan seribu batu bermula dengan satu langkah.
Marilah meneroka dunia pemikiran hamba.
Silakan

Video klip yang tertera boleh dianggap sebagai pembukaan kepada dunia pemikiran dan kesukaan hamba...







-------------------------


-------------------------



Segala yang dipaparkan menggambarkan pemikiran penulis yang turut terserap di dalam setiap penulisan buku dan artikel. Lihat Cara-cara mendapatkan buku tulisan Merah Silu @ Radzi Sapiee. Di atas adalah satu klip video selama hampir setengah jam yang merupakan demo pilot episode yang mahu digunakan untuk mencadangkan satu siri pengembaraan menyusuri sejarah Melayu Islam sekeliling Nusantara untuk siaran televisyen. Entah mengapa ia menemui masalah. Kemudian penulis diberitahu konsepnya diciplak sebuah stesyen televisyen. Lihat Kembara Sejarah Islam Nusantara : The original material...



Ini adalah klip video ulasan buku ketujuh saya "Jejak keluarga Yakin : Satu sketsa sejarah" berserta temuramah yang dibuat siaran langsung di Selamat Pagi Malaysia, RTM1. Lihat Siaran langsung ulasan buku "Jejak keluarga Yakin : Satu sketsa sejarah" dan temu ramah di Selamat Pagi Malaysia.



Penulis juga pernah diminta membuat pembentangan mengenai siri buku "Berpetualang ke Aceh" di Masjid Sultan Salahuddin iaitu masjid negeri Selangor di Shah Alam. Lihat Buku "Berpetualang" dan himpunan ulamak Nusantara yang diketuai ulamak Aceh


-------------------------



Siri novel "Berpetualang ke Aceh" boleh didapati dalam bentuk e-book. Masuk http://www.e-sentral.com/, klik kategori novel am dan taip perkataan "Aceh" pada kotak carian. Atau terus klik Buku 1,Buku 2 dan Buku 3.





Gambar ketika menghadiri satu majlis ilmu, diambil oleh sebuah akhbar harian. Lihat Menghiasi Kosmo Alam Melayu...



Penerbitan trilogi novel "Berpetualang ke Aceh" juga membawa penulis untuk terlibat dengan banyak majlis ilmu. Rujuk kumpulan links artikel di bawah tajuk "Siri Refleksi Sejarah", pada bahagian paling bawah kiri blogspot, . Penulis juga agak aktif dalam aktiviti-aktiviti kedaulatan Melayu dan Islam, dapat menganjurkan majlis-majlis sendiri di merata Semenanjung Malaysia membawa ke luar negara di Aceh. Lihat blogspot Himpunan Kedaulatan Melayu Islam Akhir Zaman (HIKMAH).


Ketika menulis perenggan ini 4 Mei 2015 penulis sedang berusaha untuk mengembangkan isi 3 buku dalam siri "Berpetualang ke Aceh" menjadi 6 buku yang akan membentuk siri baru dipanggil "Siri Pengembaraan Merah Silu". Sebuah syarikat penerbitan telah bersetuju untuk menerbitkan siri lama itu kembali dalam bentuk yang lebih segar - Setiap buku asal dipecah menjadi 2 buku baru yang ditambah maklumat, gambar dan peta berwarna-warni.Pertengahan September 2015 buku pertama siri baru pun selamat diterbitkan. Seminggu lebih kemudian penulis berpeluang bercakap tentangnya secara siaran langsung dalam televisyen lalu membawa wakil penerbit bersama. Lihat video di bawah :-





Awal tahun 2015 turut menyaksikan penulis diambil menjadi penyelidik dan hos satu siri dokumentari yang dipanggil "Daulah Melayu". Projek 13 episod sepanjang sejam setiap satu ini mahu mengenengahkan formula untuk mengembalikan kekuatan bangsa Melayu. Insyaallah projek iakan membawa penulis untuk mengembara ke merata di Malaysia dan Indonesia juga ke beberapa negara dan tempat di Eropah termasuk ke kota London, tempat penulis mengambil ijazah matematik 1991-1995. Siri dokumentari ini dijangka siap untuk tayangan televisyen dalam tempoh 2 tahun.


Pada 13 Mei 2023 buku ke 13 + 1 penulis (pertama setelah yang ke-13 terbit tahun 2019 lalu mula memberikan tumpuan pada pengajian pascasiswazah di ISTAC iaitu Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam di Bukit Tunku, Kuala Lumpur), Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin & Orang Kaya Arsyad telah dilancarkan oleh sejarawan ulung negara, Profesor Emeritus Datuk Dr Abdullah Zakaria Ghazali di rumah penulis. Lihat Majlis pelancaran buku dan rumah terbuka raya 2023 - Melestarikan semangat perjuangan. Beliau yang bertanggungjawab memberikan kata-kata aluan dalam buku turut menjadi pembicara dalam diskusi yang diadakan di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2023 (berlangsung 26 Mei hingga 4 Jun). Lihat Bicara buku Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin di PBAKL 2023. Diskusi ini terakam dalam video atas diikuti video bawah...



Khamis, Januari 26, 2012

Jejak "Berpetualang ke Aceh" : Mengenang 3 malam di Langsa, tempat pertama kali bertapak di Aceh

Assalamualaikum para pembaca yang dihormati sekalian. Sedar tak sedar kita sudah memasuki bulan Rabiulawal, 10 hari lagi akan menyambut Maulidur Rasul yang juga disebut Maulud Nabi, hari kelahiran Nabi Muhammad SAW. Maka itu biar disambung cerita perjalanan Medan-Banda Aceh yang dibuat 2-13 November 2011. Bersambung dari Jejak "Berpetualang ke Aceh" : Pulau Kampai , keberadaan kerajaan Haru dan faktor Sheikh Abdul Qadir Jilani.



Pagi Khamis 10 November, kami keluar dari sebuah rumah penginapan. Melihat tajuk artikel sebelumnya yang ada nama Sheikh Abdul Qadir al-Jilani, teringat saya pada apa yang berlaku di sempadan Sumatera Utara-Aceh ketika pertama kali cuba masuk ke Aceh 8 tahun lalu. Oh. Gambar di atas ini diambil di Langsa, bandar besar pertama yang boleh ditemui apabila memasuki Aceh daripada Pengkalan Brandan. Selepas meninggalkan Pulau Kampai seterusnya Pengkalan Susu kami masuk ke Aceh dalam kegelapan malam... tak dapatlah menunjukkan kepada isteri pintu gerbang sempadan yang ada kenangannya yang tersendiri. Maka biar dikongsi bahagian berkaitan yang telah diceritakan dalam buku kedua saya "Berpetualang ke Aceh : Membela syiar yang asal" (terbit Mei 2007). Biar diletakkan panjang lebar... daripada mukasurat 25-31. Panjang tu. Jadi saya ditambah tajuk-tajuk kecil untuk memudahkan pembacaan ya. :]



Pagi Khamis, 8 haribulan Januari 2004. Setelah selesai solat Subuh berjemaah di masjid Kampung Babussalam, Rasyid pun bersiap-sedia untuk memasuki Aceh. Pemuda itu bersarapan di warung hadapan masjid lalu terjumpa seorang penduduk kampung yang menawarkan untuk menghantarnya ke persimpangan jalan besar menghala ke Pengkalan Brandan, laluan utama bas daripada Medan ke Aceh... Dengan membonceng motosikal tetapi bukannya free, harus membayar ongkos 2,000 Rupiah.

Setelah menunggu setengah jam di persimpangan, dapatlah sebuah bas menuju ke Langsa, bandar Aceh yang terdekat... Tetapi sekali lagi Rasyid kena ‘cekik’ dalam bab tambang. Kalau semalam, dia terpaksa membayar 20,000 Rupiah untuk menaiki beca dari Tanjung Pura ke Babussalam, kali ini terpaksa membayar jumlah yang sama untuk tambang bas ke Langsa pula. Padahal mengikut kata Apin semasa di Medan, ini adalah harga tambang bas Medan ke Langsa, dua kali jarak Medan ke Tanjung Pura.

Apa boleh buat, pemuda kelahiran Muar, Johor itu tidak tahu selok-belok tempatan. Kalau tidak setuju dengan harga yang dikemukakan, senang sahaja, kata budak yang mengambil tambang. Turun bas dan tunggu kenderaan lain... Dia boleh meletakkan harga sesuka hatinya kerana perkhidmatan bas di sini tidak menggunakan tiket. Tidak ada harga tetap yang tercatit... Ikut ikhsan orang yang mengambil tambang. Itu sahaja...

Rakyat tempatan biasanya tidak akan bertanyakan harga. Bayar sahajalah ikut berapa yang orang biasa beri. Ini tak, sudahlah tidak tahu berapa tambang yang biasa orang beri, daripada gaya bahasa dan percakapan pun orang boleh tahu Rasyid adalah orang luar, orang Malaysia yang selalunya berduit. Maka itu, pada orang Indonesia yang mengambil tambang bas, apa salahnya “pangkah” lebih? Sabor ajelah... Yang penting selamat


Debaran ingin masuk ke Aceh yang sedang darurat


Dalam perjalanan ini, anak Malaysia itu tidak henti-henti berzikir dan berdoa dalam hati agar dapat masuk ke Aceh tanpa sebarang halangan. Sebelum ini dia telah beberapa kali diingatkan bahawa peluang untuk memasuki bumi Serambi Mekah yang sedang bergolak ketika itu amat tipis sekali. Aceh sedang dalam keadaan darurat dan di bawah pemerintahan tentera. Buat masa ini tidak ada seorang pun orang luar yang dibenarkan masuk ke sana. Maka itu, ramai juga yang menganggap pemuda ini cuma menempah maut kerana hendak memasuki kawasan perang. Macamlah sudah tidak ada kerja lain boleh dibuat. Buang tebiat agaknya...

Rasyid hanya berserah bulat-bulat kepada Allah Subhanahuwata’ala. Pemuda ini sudah begitu lama kempunan hendak ke Aceh, lebih setahun menyimpan hasrat yang kuat... Makin ditunda makin terasa tidak bernyawa. Samada dapat masuk atau tidak, hidup atau mati biar Tuhan sahaja menentukan. Dia pasrah menerima segala kemungkinan. Setelah hampir dua jam menyusuri jalan, bas itupun sampai ke sempadan Sumatera Utara-Aceh. Ada pula military checkpoint, pos kawalan askar di hadapan…

“Alamak,” Rasyid mula risau. Jantungnya berdegup laju tetapi cuba dikawal dengan mengatur pernafasan dan menenangkan perasaan. “Tidak mengapa,” hati kecilnya memujuk pula. “Ini cuma pemeriksaan biasa, routine check. Tidak ada apa-apa yang perlu dirisaukan.”

Bas yang mengandungi lebih 30 orang penumpang itupun berhenti. Seorang askar bersenjatakan machine gun, nampak seperti jenis M16 naik untuk memeriksa kad pengenalan, juga dipanggil ketepe oleh penduduk tempatan... Dari perkataan singkatan KTP untuk kad tanda pengenalan.

Rakyat Aceh menggunakan kad pengenalan yang berlainan rupa dari warga Indonesia lain, dengan warna merah putih seperti bendera Republik Indonesia sebagai latarbelakang kerana wilayah itu terletak di bawah pentadbiran autonomi khas. Maka itu mereka tidak banyak disoal di sempadan kerana sekadar ingin kembali masuk ke wilayah sendiri. Tetapi rakyat Indonesia yang bukan berasal daripada Aceh jenuh juga hendak menjawab soalan, datang dari mana, mengapa hendak masuk ke wilayah itu... Apakah ada urusan keluarga, pekerjaan ataupun perniagaan?

Rasyid cuba buat-buat tidak tahu, pura-pura tertidur di kerusi bas untuk mengelak daripada disoal. Tetapi percubaan ini rupa-rupanya “tidak laku”. Jika rakyat Indonesia pun boleh disiasat begitu teliti, inikan lagi rakyat Malaysia yang tidak tahu selok-belok tempatan, tidak ada alamat rumah, hotel ataupun kenalan yang ingin dituju di Aceh. Setelah menyoal hampir seluruh isi bas, askar itu menggerakkannya lalu bertanyakan kad pengenalan. Mahu tak mahu, dia terpaksa menyerahkan paspot antarabangsa Malaysia sebagai pengenalan dengan harapan itu sudah cukup untuk membawanya masuk ke wilayah yang sedang darurat itu.

Askar itu keluar membawa paspot yang diberi bersama dua tiga keping kad pengenalan milik warga Indonesia untuk diteliti di pos kawalan. Nampaknya, ada juga rakyat tempatan yang dicurigai kedatangan mereka, tak tahulah kenapa. Mungkin kerana muka mereka ada iras pejuang puak pemisah GAM (Gerakan Aceh Merdeka)? Tidak lama kemudian, askar itu naik kembali ke atas bas lalu memulangkan kad-kad pengenalan tersebut kepada pemiliknya yang dipanggil satu persatu. Rasyid pula disuruh turun keluar lalu ditanya jika mempunyai surat perjalanan yang sah.

“Surat perjalanan yang bagaimana pak?” tanya pemuda itu.

“Surat daripada pemerintah Indonesia mengizinkan masuk ke Aceh,” kata sang askar. “Ini perlu kerana kamu bukan warga Indonesia.”

Rasyid terdiam sejenak. Memang dia pernah diberitahu tentang ini tetapi sengaja tidak mengendahkannya. Akhirnya pemuda itu terpaksa mengaku tidak memiliki surat begitu. Mendengarkan ini, askar itupun mengarahkan pemandu bas supaya meneruskan perjalanan tanpa Rasyid. Nampaknya dia sudah “kantul”, sudah “tersangkut” di sempadan…


Ditahan askar di sempadan


Nasib baiklah pemuda ini sempat menahan bas sebelum ia bergerak. Kalau tidak beg galas yang mengandungi segala barang keperluannya juga turut dibawa bersama. Lagilah merana, sudah jatuh ditimpa escalator.

Muhammad al Aminul Rasyid sedar dia mungkin menghadapi masalah besar kerana cuba memasuki Aceh tanpa dokumen yang sah, ketika wilayah itu sedang darurat dan ketika seseorang itu boleh disyaki sebagai seorang anggota puak pemisah GAM buruan pihak pemerintah. Tetapi pemuda ini cuba buat muka selamba, seperti tidak ada apa-apa yang berlaku walaupun jantungnya agak berdebar-debar... Maklumlah tempat itu dikelilingi ramai askar yang lengkap bersenjata. Apa sahaja boleh berlaku, kalau nasib tidak menyebelahinya. Mengikut kata beberapa orang yang ditemui di Medan, juga di Tanjung Pura dan Kampung Babussalam, seseorang itu boleh dibunuh askar jikalau diyakini terlibat dengan puak pemisah.

Memang kehadirannya menimbulkan syak wasangka. Mana ada orang berani masuk ke wilayah yang sedang bergolak kecuali rakyat tempatan, orang yang mempunyai saudara-mara di situ atau ada kena-mengena dengan pihak yang sedang berperang, samada Tentera Nasional Indonesia (TNI) atau puak pemisah. Walaupun Rasyid memiliki paspot Malaysia dengan gambar dan namanya tertera jelas, dia boleh dituduh sebagai seorang anggota GAM yang telah menggunakan atau merampas paspot orang lain lalu memalsukannya untuk mengaburi mata pihak berkuasa. Jika ini berlaku, lagilah nyawanya dikira “halal” untuk ditamatkan. Lagilah naya...

Di sebelah pos pula terdapat sebuah kereta perisai menandakan askar-askar di kawasan sempadan mempunyai kelengkapan yang cukup untuk menangani serangan kecil dan sederhana. Di seberang jalan, tidak sampai 50m di hadapan, terdapat sebuah pos yang lebih besar, siap dengan sebuah bangunan pejabat dan berek askar serta beberapa buah lagi kereta perisai. Nampaknya seperti pejabat military police, polis askar. Ke hadapan sedikit, melepasi pintu gerbang sempadan Aceh-Sumatera Utara pula terdapat sebuah lagi pos, untuk askar di bawah pemerintahan darurat Aceh.

Apapun, Rasyid sedikit lega kerana ketika itu pos tempatnya ditahan cuma dijaga empat orang askar sedangkan di pos seberang jalan, kelihatan tidak kurang 20 orang askar, masing-masing bersenjatakan machinegun. Bayangkan jika anda ditenung begitu ramai askar bersenjata dengan muka serius lagi garang. Mahu tidak gelabah? Buatnya ditembak kita terus?


'Ditemuduga' askar Indonesia


Pemuda itu memberikan salam sambil melemparkan senyuman. Bukankah senyuman itu satu sedekah? Sekurang-kurangnya dapat juga mencairkan muka mereka yang kelihatan seperti hendak menelan orang. Selesa sedikit keadaan,,, Dia pun diarahkan duduk.

“Kamu orang Malaysia ya?” soal seorang askar, nampaknya berpangkat sarjan, paling tinggi di antara mereka yang hadir di pos itu.

“Ya, pak,” jawab Rasyid mengangguk.

“Mahu apa kamu ke Aceh?” dia menyambung.

“Saya ingin melawat kampung halaman nenek moyang saya pak,” pemuda itu menjawab jujur. Memang itu tujuan utamanya ke Aceh.

Askar itu meneliti air mukanya sejenak. Kemudian bertanya: “Apakah kamu tidak tahu Aceh sedang gawat sekarang, darurat? Kamu tidak dengar dalam beritakah hari-hari ada orang mati, ada orang kena tembak?”

“Saya tahu pak.”

“Habis, kenapa masih lagi mahu ke Aceh? Kamu tidak takut mati?”

Rasyid terdiam sejenak. Apakah yang patut dijawab? Seorang kawan di Malaysia pernah berpesan supaya jangan mendedahkan kaitan sebenar dirinya dengan bumi Serambi Mekah, tidak tahulah kenapa. Tetapi pemuda itu tidak mahu berbohong kerana itu adalah prinsip hidupnya. Hmm… Kalau setakat mengaku bahawa nenek-moyangnya berasal dari sana, apa salahnya. Tidak perlu memberitahu siapa sebenarnya mereka…

Pemuda itupun menjawab: “Saya sudah lama teringin hendak melawat kampung nenek moyang saya pak. Sudah lebih setahun kempunan hendak merasai suasana kehidupan di sana, sejak mendapat tahu nenek-moyang saya berasal dari Aceh. Soal hidup mati saya serahkan kepada Allah. Biar Dia yang menentukan. Yang penting, saya mesti sampai ke sana pak”

Sarjan itu menyoal latarbelakang Rasyid berkaitan Aceh - adakah tahu berbahasa Aceh. Pemuda itu jawab tidak. Apakah masih ada saudara-mara di sana. Dia jawab tidak tahu. Sudah berapa lama keluarganya meninggalkan Aceh? Katanya adalah sekitar 300 tahun dahulu. Kalau begitu bagaimana hendak mencari kampung halaman dan saudara-mara? Rasyid menjawab dia tahu tempat asal mereka iaitu di tapak kerajaan Samudera Pasai berdekatan bandar industri Lhoukseumawe.

Askar-askar lain memasang telinga meneliti perbualan mereka berdua. Nampaknya mereka cuba membaca air muka dan isi hati Rasyid. Dari gerak-hatinya, pemuda itu tahu, dia juga sedang ‘ditilik’ secara ghaib... Untuk memastikan dia bercakap benar atau tidak, atau dia ada tujuan lain...

Kemudian sarjan itu bertanya: “Kamu kerja apa di Malaysia?”

“Saya sudah lama tidak bekerja pak,” pemuda itu berterus-terang.

“Dahulu kamu kerja apa?” dia terus bertanya.

Rasyid terdiam lagi. Kali ini dia terpaksa berfikir dengan lebih teliti apa yang patut dijawab. Kalau boleh dia tidak mahu memberitahu dia pernah bekerja sebagai wartawan kerana pernah diingatkan bahawa askar-askar di sini amat curiga terhadap wartawan luar. Tetapi pemuda itu tidak boleh berbohong walau apapun yang bakal terjadi. Itu adalah prinsip hidupnya.Dan jika teragak-agak hendak menjawab pula, mereka akan lebih curiga kerana Rasyid juga pernah diberitahu, terdapat kemungkinan besar askar di sini akan menganggapnya sebagai seorang mata-mata, seorang perisik yang mempunyai latihan ketenteraan kerana berani masuk seorang diri ke Aceh dalam keadaan wilayah itu sedang gawat, darurat.

Keadaan akan lebih teruk lagi jika dia disyaki terlibat dengan GAM. Dalam suasana darurat, puak pemisah boleh diperlakukan sesedap rasa! Tidak perlu jadi anggota, cukup jika disyaki bekerjasama atau simpati dengan mereka. Kata orang, inipun sudah cukup untuk membolehkan nyawa seseorang itu melayang di hujung senapang atau machinegun

Memang TNI sedang melancarkan operasi secara besar-besaran untuk memburu anggota GAM di merata ceruk rantau. Malah Rasyid pernah mendengar cerita, ramai rakyat biasa Aceh, orang-orang kampung dan para nelayan yang melarikan diri dari peperangan dengan menyeludup masuk ke Malaysia terpaksa dihalau-balik pihak berkuasa tempatan atas bantahan kerajaan Indonesia di Jakarta.. Kemudian ditembak mati askar sebaik sahaja sampai balik ke perairan Aceh atas tuduhan mereka adalah anggota GAM. Begitulah juga yang boleh terjadi terhadap sesiapa sahaja yang dituduh terlibat dengan puak pemisah... Nyawa mereka sangat murah...

Kalau Rasyid disyaki seorang wartawan pula, dia masih boleh ditangkap kerana cuba masuk ke bumi Serambi Mekah sedangkan memang terdapat perisytiharan menyatakan orang luar dilarang masuk semenjak perintah darurat mula dikuat-kuasakan. Dan nyawa pemuda itu juga masih terancam kerana mengikut satu laporan media baru-baru ini seorang wartawan, tidak ingat daripada mana, telah ditangkap GAM untuk disoal-siasat tetapi kemudiannya dibunuh... Itupun kalau betul dia dibunuh puak pemisah...


Disyaki terlibat dengan puak pemisah yang memberontak?


Walaupun laporan rasmi yang diwar-warkan saluran berita rasmi yang dikuasai kerajaan pusat menyebut wartawan itu dibunuh GAM, cerita-cerita sumber lain pula menyatakan dia sebenarnya ditembak curi oleh sniper, penembak tepat jarak jauh TNI supaya GAM dipersalahkan. Biasalah... Inilah yang dinamakan perang saraf, perang propaganda...

Rasyid tidak boleh berfikir terlalu lama bagaimana hendak menjawab soalan yang dikemukakan askar di sempadan Aceh-Sumatera Utara. Takut nanti dituduh cuba mereka-reka cerita dan menyembunyikan hakikat yang sebenar. Lalu dia mengaku pernah bekerja sebagai seorang wartawan.

Sarjan itupun menoleh ke arah rakan-rakannya sambil tersenyum. Seolah-olah puas hati, yakin yang dia sudah dapat menduga tujuan sebenar pemuda itu teringin sangat hendak masuk ke wilayah darurat itu.

Dia pun bertanya: “Kalau begitu kamu mahu tahu apa yang berlaku di Aceh? Kamu mahu menyiasat dan mahu bikin laporan?”

Anak muda ini tahu kenapa askar itu berkata begini. Dia telah berkali-kali diingatkan bahawa banyak perkara buruk yang melanggar adab tatasusila dan hak kemanusiaan telah berlaku di bumi Serambi Mekah... Bagaimana rakyat Aceh ditindas, kampung-kampung dan sekolah mereka dibakar... Kaum lelaki dibunuh atas tuduhan terlibat dengan GAM sementara para wanita diperkosa dan diperlakukan sesuka hati. Tetapi ini sengaja disembunyikan pihak berkuasa yang nampaknya memang mahu rakyat Aceh lenyap dari mukabumi. Sebab itu mereka tidak sukakan wartawan, kecuali mereka yang terang-terang berpihak kepada TNI…

Cepat-cepat Rasyid menjawab: “Tidak! Saya memang ingin melawat kampung nenek-moyang. Saya sudah lama meninggalkan pekerjaan sebagai wartawan. Lagipun saya dahulu wartawan sukan, bukan wartawan politik. Tidak ada kena-mengena dengan semua ini!”.

Memang pemuda ini pernah menjadi wartawan sukan selama tiga tahun, selepas bertugas di meja berita nasional selama dua tahun.

Seorang askar lain menyampuk: “Entah-entah kamu ini mata-mata tak?” Seorang lagi pula berkata kepada rakan-rakannya sambil tersenyum sinis: “Entah-entah GAM cuba menyamar jadi orang Malaysia!”

Darah Rasyid mula menyirap. “Tidak!” dia bertempik. “Bukankah saya sudah beritahu banyak kali, saya cuma mahu melawat kampung nenek-moyang. Susah sangatkah hendak percaya saya tidak ada sebab lain datang ke sini kecuali hendak melihat tanah asal tumpah darah keluarga?”

Kali ini dia memang marah, tidak tenang dan terkawal seperti awal tadi. Walaupun sedang berhadapan dengan empat orang askar bersenjata, walaupun terdapat lebih 20 orang lagi dengan machinegun menunggu di seberang jalan, Rasyid tidak peduli. Biar pun nyawanya boleh melayang, dia tetap yakin, hidup dan mati di tangan Tuhan bukan di tangan orang...



Berjalan kaki melalui kawasan pasar untuk ke tengah bandar. Adapun sambungan seterus sedutan menceritakan pengalaman saya ditahan polis di bandaraya Lyon, Peranchis pertengahan 1995 kerana disyaki terlibat dengan puak pelampau Islam. Ketika itu beberapa bandar raya termasuk Paris asyik dibom orang. Hmm. Pada mulanya saya mahu melompat terus, menyambung cerita di sempadan Aceh. Tetapi apabila difikirkan balik elok juga dikongsi cerita di Peranchis yang ada dinukilkan pada mukasurat 32-34 buku "Membela syiar yang asal"...


Rasyid pernah ditahan polis lalu disumbat ke dalam lokap di Peranchis. Ini berlaku kerana dia disyaki terlibat dengan gerakan militan Islam yang dikatakan bertanggungjawab mengebom beberapa bandaraya utama di negara itu terutama di Paris dan Lyon. Peristiwa yang dirasakannya agak lucu ini berlaku ketika pemuda itu hampir menamatkan pengembaraan mengelilingi Eropah selama sebulan, ketika pertengahan tahun 1995... Siapa sangka, dalam keadaan cuba menjimatkan perbelanjaan perjalanan kerana kekurangan wang, dia telah diberi penginapan percuma di sebuah “hotel” milik polis di negeri orang?

Mengikut kebiasaan budget traveller iaitu pengembara jimat belanja yang banyak berkeliaran di sekeliling Eropah terutamanya para penuntut universiti yang baru menamatkan pengajian, pengembaraan sebegini memerlukan belanja sekitar 1000 Pound Sterling (ketika itu dalam RM5000), RM1500 untuk tiket serbaguna menaiki keretapi dan sesetengah perkhidmatan bas di benua itu, selebihnya untuk makan dan minum serta penginapan di hotel-hotel murah dan youth hostel, tempat penginapan belia. Tetapi anak muda ini berjaya melaksanakan pengembaraannya meliputi 11 buah negara dengan belanja RM500 sahaja! Dengan cara hitchiking, menumpang kenderaan orang termasuk kereta, van daging pun ada malah lori trailer besar dengan lebih 20 tayar seperti yang dilihat dalam siri kartun Transformers (yang boleh bertukar jadi robot Optimus Prime). Dia juga dapat menjimatkan belanja dengan tidur bersepah dalam sleeping bag di tepian jalanan... Atau mana sahaja tempat yang dirasakannya aman.


Nama Nabi kita, Muhammad dikaitkan dengan keganasan


Semasa itu penampilan Rasyid tidak kelihatan Islamic langsung, tak nampak pun apa-apa ciri Islam. Anak muda ini memakai seluar jeans yang koyak besar di lutut, baju lusuh dengan rantai kayu ala orang asli Afrika di leher., bukannya berjubah berserban atau berjanggut panjang. Cuma dia ditahan polis ketika sedang berjalan-jalan seorang diri dengan sebuah beg galas yang agak besar di tengah-tengah kota Lyon, pada waktu tengah malam. Bila ditanya polis apakah yang dibuatnya di situ, Rasyid tidak dapat menjawab kerana tidak tahu berbahasa Peranchis. Mereka pula tidak faham bahasa Inggeris, apalagi bahasa Melayu. Apalagi, communication breakdown lah jawabnya! Dia cuma faham apabila mereka meminta paspot. Tetapi bila paspot dibuka, tertera pula nama Muhammad...

“Muhammad?” mereka menyahut dengan mata terbeliak besar terperanjat. Kemudian memandang muka masing-masing seolah-olah kehairanan...

Rasyid pula yang terpinga-pinga. Apakah yang pelik sangat tentang nama “Muhammad”? Bukankah itu nama baik-baik, nama seorang Nabi? Apakah orang Peranchis tidak pernah mendengar nama Muhammad?

Hendak dijadikan cerita, ketika itu Lyon dan Paris sedang kecoh akibat kes pengeboman, mengikut laporan berita, oleh puak militan Islam. Cuma Rasyid sahaja yang tidak peka keadaan semasa kerana sibuk dengan perkelanaan. Dia pun diangkut ke balai tanpa banyak cerita. Kelihatan ramai orang Arab atau mereka dengan paras-rupa Arab ditahan dan disoal-siat. Nampak gayanya, mereka disyaki terlibat dengan puak militan Islam dan Rasyid juga sedang menerima nasib yang sama. Apalagi, tak pasal-pasal kena masuk lokap...


Pengalaman masuk lokap di Peranchis


Anak kelahiran Muar, Johor ini masih boleh tersenyum malah ketawa gelihati memikirkan apa yang berlaku. Entah kenapa, dia tidak terasa takut walau pun sedikit! Seolah-olah sudah tidak kisah hidup mati lagi, tidak peduli apapun yang akan terjadi. Beberapa orang polis yang menggeledah beg serta pakaiannya naik hairan melihatnya ketawa, tersenyum dan tersengih seperti orang gila. Walaupun sudah dipaksa bertelanjang bulat malah nyaris-nyaris kena anal probe anak muda itu tetap selamba seolah-olah semua ini cuma gurauan senda!

Lebih pelik, Rasyid yang pernah ‘disegani’ rakan-rakan di sekolah dan kolej kerana sifat panas baran yang menyebabkannya sering bergaduh dan bertekak dengan pihak berwajib langsung tidak marah-marah. Tidak timbul walau sedikit pun rasa hendak memberontak apalagi hendak melawan. Sebaliknya dia merasa begitu tenang, seolah-olah sedang melihat sebuah wayang gambar 3-Dimensi yang sedang memaparkan diri sendiri sebagai pelakon utama... Terasa semua yang berlaku ini tidak lebih daripada satu lagi pengalaman untuk dibuat iktibar, dalam liku-liku kehidupan penuh ranjau yang lebih panjang dan mencabar...

Pemuda ini cuma naik angin selepas agak lama merengkuk di dalam lokap, itupun kerana tidak dapat melelapkan mata setelah lama berbaring di atas pangkin.... Terasa letih yang amat sangat tetapi tidak dapat berehat. Udara dingin malam pula menggigit dalam hingga ke tulang sedangkan jaketnya telah diambil polis untuk disimpan. Penghuni lokap-lokap bersebelahan bising-bising, memekik melolong tidak tentu pasal tak henti bagai tidak ada kesudahan... Entah apalah bahasa yang dipakai, sekejap bunyi seperti bahasa Peranchis, sekejap bahasa Arab. Pendek kata, ada bermacam-macam kerenah dalam lokap.

Apa yang membuat Rasyid paling marah, sampai satu peringkat, dia terasa hendak terkencing sangat tetapi tidak dibenarkan ke tandas untuk melepaskan hajat. Pemuda itu menghentam kaca lokap beberapa kali sambil memberikan isyarat tetapi tetap tidak dipedulikan. Akhirnya dia pun kencing di atas simen lokap. Mana boleh terus ditahan-tahan? Barulah ada polis memberi perhatian... Tetapi sudah terlambat, lokap sudah hancing dibasahi air ‘keramat’...

Keesokan harinya barulah Rasyid dapat keluar, setelah disoal-siasat seorang pegawai yang tahu berbahasa Inggeris. Itupun terpaksa bertekak lebih sejam kerana pegawai ini seboleh-boleh mahu mencari kesalahannya walaupun anak muda itu tidak melanggar apa-apa undang-undang Peranchis kecuali berjalan kaki melalui terowong bawah tanah di Lyon untuk kegunaan kenderaan bermotor. Nampak gaya, pegawai polis ini adalah seorang detektif. Tetapi anak Malaysia itu agak petah mematahkan setiap hujah sehingga pegawai itu terpinga-pinga kehairanan! Siapa sangka, pemuda berpakaian buruk di hadapannya ini cukup berani menjawab, pintar pula berkata-kata seperti seorang peguam...

Setelah gagal ‘mengorek’ kesalahan lain atau mengaitkannya dengan pihak militan Islam, pegawai itu menukar taktik dengan menegur Rasyid kenapa Visa yang membolehkannya memasuki beberapa buah negara (dipanggil Schengen Visa) sudah luput tarikh. Memang Visa yang digunakan untuk memasuki tanah besar Eropah melalui pelabuhan Calais di Peranchis lebih tiga minggu sebelum itu telah tamat tempoh... Tetapi kerajaan Peranchis telah mengisytiharkan rakyat Malaysia tidak perlu lagi memakai Visa untuk ke negara itu. Perisytiharan ini dikuatkuasakan sejurus sebelum dia memasuki Peranchis buat kali kedua, melalui Monaco, setelah santai beberapa hari di Switzerland kemudian Italy.

Rasyid tahu tentang perisytiharan ini semasa di England lagi, setelah terbaca rencana suratkhabar Melayu di Malaysia Hall, London yang memperincikan beberapa isi perjanjian dua-hala terbaru di antara Malaysia dengan Peranchis. Dia pun mencabar pegawai polis Peranchis itu untuk menghubungi kedutaan Malaysia atau pihak berkuasa negaranya sendiri untuk memastikan kebenaran kenyataan ini. Pemuda itu yakin dia berada di pihak yang benar sehingga sanggup ‘mengugut’ akan menjadikan peristiwa penahanannya di lokap polis Lyon sebagai satu isu politik antarabangsa jika tidak dilepaskan segera.

Apapun, itu dahulu, di Peranchis, tahun 1995... Zaman Rasyid kurang matang, tidak ingat dunia kalau datang panas baran. Sekarang tahun 2004, di Indonesia, di sempadan Aceh yang sedang darurat dilanda perang. Kini, dia bukan berdepan dengan polis tetapi empat orang tentera dengan machinegun, tidak lupa juga, lebih 20 orang askar bersenjata di seberang jalan. Silap haribulan nyawanya boleh terbang on the spot, melayang mati katak! Askar-askar ini boleh mendakwa Rasyid orang GAM atau terlibat dengan puak pemisah... Boleh beri alasan terpaksa bertindak ganas kerana dia didapati mengancam keselamatan.



Berehat sarapan berdekatan masjid. Makan mee Aceh! Sambung lagi sedutan... dari mukasurat 35-40...


Rasyid menarik nafas dalam-dalam untuk menenangkan fikiran. Tidak guna marah-marah, bukan boleh selesaikan masalah. Anak muda ini sudah banyak cool down, sudah belajar menjadi lebih tenang beberapa tahun kebelakangan, sudah tahu berfikir panjang. Walaupun hatinya sudah kering, tidak takut kehilangan nyawa kerana sering melalui dugaan hidup yang berat termasuk hilang pekerjaan yang disukai akibat politik pejabat, hilang beberapa orang anggota keluarga yang disayangi akibat panggilan Ilahi, hilang anak dan isteri kerana perceraian malah hilang wanita kesayangannya kini, Nur akibat perselisihan faham dan fitnah orang... Walaupun dia sering dituduh gila dan tidak betul kerana sibuk menziarahi makam-makam lama mencari jawaban, apalah gunanya mati sebelum sampai ke tempat yang ingin dituju? Bukankah itu sia-sia namanya?

Kalau hendak mati pun, biarlah setelah hajatnya selesai, setelah terjawab segala persoalan.Lagipun pemuda ini ingin mencontohi teladan para wali terutama Sultanul Awliya Sheikh Abdul Qadir Al-Jilani... Mesti banyak bersabar melalui segala dugaan hidup, dan jangan sesekali bercakap bohong. Lalu dia pun membuka sedikit rahsia tujuannya ke Aceh - untuk menyambung wasilah kerohanian peribadi di bumi Serambi Mekah.

“Dahulu, semasa umur 18 tahun saya pernah mengaji kitab Tasawuf Hamzah Fansuri (wali besar Aceh),” anak muda ini menyusun kata. “Lama kemudian baru saya dapat tahu bahawa nenek-moyang saya berasal dari Aceh. Dapat tahu pula ada makam mereka masih wujud di sana. Makin lama saya rasa makin perlu menziarahi mereka, rasa seperti dipanggil-panggil ke Aceh. Kalau tidak hati saya tidak tenang. Bapak tentu fahamkan?”

Sarjan itu terdiam. Memang Rasyid ketika itu nampak sedikit seperti orang yang beragama. Walaupun tidak memakai jubah malah berambut panjang melepasi bahu, baju pun setakat t-shirt buruk dengan sehelai seluar jerut, tetapi adalah juga kopiah di atas kepala... Dan sepanjang disoal-siasat, pemuda itu dapat menjaga tata-tertib berbahasa walaupun ada masanya dia nyaris-nyaris naik angin, nyaris juga hilang pertimbangan...


Wasilah kerohanian sebagai asbab penyelamat?


Orang Indonesia agak faham bila disebut tentang wasilah kerohanian. Di sini terdapat banyak madrasah dan pesantren mengajar ilmu Sufi, bercakap tentang masalah hati serta perkara-perkara ghaib. Banyak pengajian Tasawuf dikenali secara terbuka, ramai juga manusia yang menuntut pelbagai jenis ilmu batin termasuklah jenis yang bukan-bukan, jenis yang mencampur-adukkan sihir dengan zikir, yang batil dengan yang haq.

Hal-hal yang melibatkan kerohanian adalah perkara biasa di Indonesia kerana dari segi amalan beragama, negara itu memakai konsep Pancasila yang cuba menyama-ratakan setiap fahaman dan anutan pegangan manusia lalu boleh menerima penganut Kristian, Hindu dan Buddha setara dengan Islam. Masyarakat di sana juga lebih bebas daripada di Malaysia dalam hal-hal sebegini sehingga muncul bermacam aliran fahaman yang kalau di negara Islam lain mungkin senang-senang akan diharamkan kerana dituduh sesat. Malah terdapat banyak aliran-aliran kebatinan yang mengaku Islam tetapi menolak solat dan puasa bergerak secara terang-terangan tanpa perlu takut dituduh murtad lalu dihukum oleh pihak yang berkuasa.

Daripada rupa-paras dan loghat percakapan, sarjan di pos kawalan tentera sempadan Sumatera Utara-Aceh tempat Rasyid disoal-siasat nampaknya orang berketurunan Jawa. Tentu dia faham apabila pemuda ini mengaku ingin menyambung wasilah kerohaniannya di Aceh. Di pulau Jawa, perkara sebegini lagilah biasa kerana penduduk di sana selalu pergi ke kuburan tua terutama makam para wali Songo untuk mencapai sesuatu hajat. Malah Presiden-presiden Indonesia seperti Sukarno, Suharto dan Gus Dur rajin menziarahi makam untuk mendapatkan petunjuk! Belum lagi cerita orang besar-besar yang pergi ke Pantai Selatan kononnya berjumpa dengan Nyi Roro Kidul, ratu ghaib yang menjaga laut di selatan pulau itu.

Askar-askar di pos kawalan memandang tepat ke muka Rasyid. Seolah ingin menduga betulkah dia hendak ke Aceh untuk menyambung wasilah kerohanian... Atau ini cuma alasan untuk menutup satu tujuan lain? Suasana hening seketika. Setelah beberapa detik, barulah ada orang bersuara...

“Beginilah bapak,” sarjan itu membuka kata, kali ini sedikit hormat dengan airmuka lembut menunjukkan simpati... Mungkin tersentuh dengan pengakuan anak muda itu. “Bapak nampak tak papan tanda itu?” dia menunjuk pada papan kenyataan di sebelah pintu gerbang sempadan.

“Oh... saya tidak perasan tadi,” Rasyid menjawab. Padahal memang ada ternampak tadi tetapi sengaja tidak mahu melihat. Tipu sunatlah tu…

“Di situ tertulis orang luar tidak dibenarkan masuk ke daerah militer Aceh. Tidak ada seorang pun boleh buat masa ini,” dia menyambung

“Takkan tidak ada jalan langsung?” pemuda itu meminta kepastian.

“Minta maaf pak, enggak ada!” dia menjawab. “Kecuali kalau sudah mendapatkan surat izin Menteri Kehakiman di Jakarta... Baru boleh dibenarkan masuk. Atau tunggu sahaja darurat tamat...”

“Alamak,” spontan keluar perkataan ini daripada mulut Rasyid. “Bagaimana bisa mendapatkan kebenaran dari Jakarta? Ini memakan masa lagi. Malah belum tentu boleh dapat. Aduh... Dari jauh datang ke sini. Darurat entah bila mahu tamat. Berapa lama saya harus menunggu lagi?”


Petanda daripada Sheikh Abdul Qadir al-Jilani?


Askar-askar ini tidak menjawab. Pemuda itu pula termenung jauh memikirkan apakah yang patut dibuat. Di sebalik semua yang berlaku, dia masih lagi mengharap agar diberi jalan untuk masuk ke Aceh. Mana tahu ada askar lain akan ke sana dan dia boleh menumpang sama? Akhirnya Rasyid membuat keputusan untuk membuat solat Dhuha. Biar Allah SWT sahaja menentukan gerak seterusnya. Mana tahu ada petunjuk baru dari ‘atas’? Ada jalan dari arah yang tidak disangka-sangka akan muncul nanti?

“Beginilah pak,” dia membuka mulut. “Biar saya solat Dhuha dahulu. Tenangkan fikiran pak. Saya sudah datang dari jauh untuk ke Aceh, apa salahnya jika saya berehat-rehat sedikit di sini. Tentu bolehkan pak?”

Tidak ada seorang askar pun membantah. Malah mereka penuh hormat menunjukkan arah ke sebuah masjid kecil, cuma sepelaung jaraknya di belakang pos kawalan , ditabiri beberapa baris pohon kelapa sawit.

Memang kawasan itu dikelilingi ladang kelapa sawit saujana mata memandang... Hingga menyeberangi sempadan Sumatera Utara-Aceh jauh ke dalam. Terbetik juga di hati Rasyid untuk menyeludup masuk... Rasanya dia mampu menghilangkan diri di sebalik celahan pokok. Tetapi ini kawasan askar. Karang tak pasal-pasal pula kena tembak. Sia-sia aje mati katak...

Pemuda itu berjalan kaki ke masjid meninggalkan beg galasnya di pos kawalan. Pasti askar-askar itu akan merasa curiga jika dia membawa sekali beg itu menuju ke masjid yang cukup dekat dengan sempadan tetapi cukup jauh pula daripada pos, pintu gerbang sempadan dan jalan besar untuk memungkinkannya menyeludup masuk ke Aceh. Sebaik sahaja sampai, Rasyid tersentak melihat nama masjid tertulis di atas sekeping papan - Masjid Qadiriyah, sempena nama Tariqat yang diasaskan mengikut ajaran Sultanul Awliya, raja segala wali Sheikh Abdul Qadir Al-Jilani!

Kebetulan Sheikh Hamzah Fansuri, penulis karya Tasawuf yang pertama dikenali pemuda itu (semasa Rasyid berumur 18 tahun), wali besar Aceh yang juga dikenali sebagai bapa persuratan Melayu kerana karya kesusteraannya pernah menulis, beliau mendapat wasilah kerohanian daripada Sheikh Abdul Qadir Jilani. Apakah itu satu petanda yang anak kelahiran Muar, Johor itu akan dapat masuk ke bumi Serambi Mekah?

Selesai solat Dhuha, Rasyid kembali ke pos kawalan. Dia mengambil tempat duduk lalu terlihat sesuatu yang tidak kena dengan beg galas yang ditinggalkan. Zipnya tidak tertutup kemas, seperti sudah dibuka orang. Menyedari beg itu diteliti, seorang askar mengaku telah membukanya untuk memeriksa kandungan di dalam. Rasyid terus membuka dan memeriksanya sendiri untuk memastikan tidak ada apa-apa barang hilang. Alhamdulillah semuanya ada, selamat... Paspot Malaysia miliknya pun dipulangkan dan dia dibenarkan meneruskan perjalanan, asal bukan ke bumi Serambi Mekah.

Anak muda berketurunan Aceh ini terus duduk menghadap pintu sempadan tanah asal nenek-moyangnya di seberang untuk melepaskan rasa kempunan. Askar-askar itu tidak pula melarang. Begitu lama dia menyimpan hasrat untuk masuk ke sana, sekarang baru dapat melangkah dengan wang simpanan penghabisan... Dengan tanpa kerja untuk menyara hidup, tanpa sokongan keluarga, tanpa anak dan isteri, tanpa teman dan kawan-kawan malah tanpa Nur, satu-satunya wanita yang dapat memahami dirinya, tanpa bumbung yang layak dipanggil tempat tinggal sendiri, tanpa home sweet home yang amat didamba-dambakan seumur hidup.... Terasa begitu sepi, sebatang kara jiwanya. Yang tinggal cuma harapan untuk mendapatkan jawaban kepada segala persoalan yang membelenggu diri sejak kecil lagi, juga angan-angan ingin memulakan hidup baru di bumi Serambi Mekah.


Dapat jejak dan cium tanah Aceh pun jadilah...


Rasyid sangat berharap untuk masuk ke Aceh Darussalam. Walaupun ia sedang darurat, bagi pemuda itu, tanah asal nenek-moyangnya tetap daerah kesejahteraan... Tempat harapan untuk berjumpa kebahagian hidup yang dicari-cari selama ini, mungkin home sweet home yang sebelum ini cuba dicari di merata tempat termasuk serata ceruk rantau Malaysia, malah sampai ke England dan merata benua Eropah tetapi belum dapat ditemui. Rasyid juga berharap untuk menemukan titik penamat bagi pengembaraan nyaseumur hidup kerana sudah amat letih berkelana ke sana ke mari. Dia terasa perlu sangat berehat di tempat yang sesuai dan serasi dengannya, mungkin di kampung halaman asal nenek moyangnya di Aceh? Tetapi apa boleh buat, setelah begitu lama mencari jalan, dia boleh pula tersangkut di pos kawalan tentera ini, tidak sampai 100 ela pun dari sempadan…

Perasaannya mula bergolak. Dada mulai sebak. Kelopak mata yang tadinya kering, pasrah menerima Takdir mula bergenang dengan air mata. Sukahatilah kalau orang hendak kata dia seorang yang sentimental tetapi itulah yang dirasanya ketika itu. Halus, tetapi dalam membelah jiwa.

Rasyid berdoa dalam hati: “Ya Allah ya Tuhan ku, Engkau sahaja yang dapat memahami apa yang melanda jiwa hambamu yang dhaif ini. Engkau tahu bagaimana aku merindui untuk kembali ke tanah asal nenek-moyangku. Engkau jua yang menggerakkan diri ini untuk mengembara dan terus mengembara hingga sampai ke sini. Maka itu berilah aku sesuatu untuk melegakan pergolakan dalaman jiwaku ini. Sesuatu Ya Allah…”

Perasaan untuk melangkah masuk ke Aceh semakin mendesak. Mesti menyeberangi sempadan yang terbentang di hadapan walau setakat untuk menjejakkan kaki di bumi itu sejenak. Dapat mencium tanahnya pun jadilah. Cukup setakat untuk menyatakan rasa rindu mahu kembali ke tanah-air nenek moyang, juga menyatakan kepada roh para almarhum yang dia suda mencuba setakat yang mampu untuk kembali ke sana, cuba menyambung wasilah kerohanian keluarga sejauh mana yang dapat.

Darah Aceh yang mengalir di dalam tubuhnya tidak dapat berdiam lagi... Mahu sahaja dia berlari menyeberangi sempadan... Pedulikan askar, senapang dan machinegun. Tetapi dia masih lagi waras, masih dapat berfikir dengan tenang. Setelah memikirkan segala kemungkinan, Rasyid tergerak untuk meminta izin menyeberang ke sempadan... Setakat seminit dua untuk melegakan perasaan, jadilah... Takkan itupun tak boleh?

Alhamdulillah, askar-askar yang menjaga pos kawalan tidak membantah apalagi menghalang. Malah sarjan yang mengetuai mereka memandang penuh simpati lalu mengangguk memberikan kebenaran. Mungkin kerana mereka sedar perasaan yang terbuku di hati anak Malaysia ini? Malah mereka memberikan isyarat kepada polis tentera di pos yang lebih besar di seberang jalan supaya memberikata laluan sementara... Grant safe passage kata Orang Putih... Maka tidak adalah gangguan. Cuma mereka berpesan, jangan pergi lebih jauh daripada tugu yang berdiri bersebelahan pintu gerbang sempadan. Kalau tidak… Ah… Faham-faham sahajalah... Kalau tidak mereka tidak akan bertanggungjawab terhadap apa-apa kecelakaan...

Rasyid faham pihak tentera mempunyai hak untuk bertindak kasar malah terus menembaknya jika dia melanggar arahan. Apapun, kebenaran yang diberikan sudah cukup memberi semangat. Apa lagi, pemuda itupun terus melangkah malah berlari anak ke arah pintu masuk Aceh Darussalam. Sampai sahaja ke seberang, dia mendongak ke arah langit mengucapkan syukur kepada Ilahi kemudian tunduk menyembah bumi, mencium tanah bumi Serambi Mekah yang telah lama diidam-idamkan untuk dijejaki.

Memang, perlakuan Rasyid kelihatan ganjil, dramatik sehingga semua yang melihat terasa pelik. Tetapi dia tidak mempedulikan pandangan orang... Yang penting, perasaan yang bergolak dapat dilegakan walau cuma dapat menjejak tanah Aceh tidak sampai sepuluh kaki ke dalam, walau tidak sampai sepuluh minit melepaskan dendam! Alhamdulillah... Terubat juga sedikit luka di hati kemudian barulah berpatah balik untuk pergi.




Peristiwa ditahan di sempadan lalu disuruh berpatah balik itulah yang menyebabkan saya dapat mengenali tempat bernama Pengkalan Brandan diikuti Pengkalan Susu, Teluk Haru dan Pulau Kampai tanpa dirancang. Rujuk balik Jejak "Berpetualang ke Aceh" : Pulau Kampai , keberadaan kerajaan Haru dan faktor Sheikh Abdul Qadir Jilani dan artikel sebelumnya Jejak "Berpetualang ke Aceh" : Jeti bercat kuning dan masjid di Pengkalan Brandan. Kemudian baru saya ke Medan untuk mencari ikhtiar baru masuk ke Aceh. Sedutan berkenaan sudah diletakkan di dalam artikel Jejak "Berpetualang ke Aceh" : Raya Haji di Medan... dan penceritaan sebenar pun bermula hampir 2 bulan lalu. Selepas itu baru saya mencuba lagi masuk ke Aceh. Di atas adalah gambar Masjid Raya Langsa yang menjadi tempat pertama saya bertapak setelah selamat masuk. Biar diletakkan ceritanya panjang lebar... daripada muka surat 205-206 buku "Membela syiar yang asal".


Esok pagi Jumaat, selepas solat Subuh, Rasyid pun bergerak ke Aceh. Seperti biasa, dia sengaja menaiki kenderaan “lompat-lompat”, ambil van ke kota Binjai dan berhenti sarapan di sana, kemudian naik van lain ke Tanjung Pura lalu singgah bersolat Jumaat di Masjid Raya Azizi. Selesai itu, barulah ke Pengkalan Brandan untuk berjumpa kawan-kawan di masjid raya sana serta menunaikan solat Asar. Kawan-kawan ini sempat bergurau : “Kalau kamu tersangkut lagi di sempadan, jumpalah kami balik di sini ya!”

Selepas minum kopi dan menikmati sejenis makanan tempatan bernama ‘serabi’ di warung belakang masjid, anak muda inipun menuju ke jalan besar menghala ke Aceh. Setengah jam kemudian, dapatlah sebuah bas daripada Medan untuk masuk ke bumi Serambi Mekah. Walaupun bas bukan ekspres ini akan bergerak hingga ke Banda Aceh, destinasi terakhir di penghujung utara Sumatera lebih 400km ke utara, pemuda ini memilih untuk turun di Langsa, bandar terdekat di Aceh, sekitar 80km daripada sini. Entah kenapa, dia terasa perlu untuk ke sana dahulu walaupun destinasi utama sebenarnya ialah tapak kerajaan Samudera Pasai di Geudong, berhampiran bandar industri Lhokseumawe, 100km lagi ke utara Langsa.

Sepanjang perjalanan, hati Rasyid berdebar-debar... Tak henti-henti dia berdoa agar diberikan jalan masuk tanpa sebarang halangan. Sampai sahaja ke Besitang kira-kira 15km lagi dari sempadan, jantungnya mula berdegup kencang. Pemuda itupun memaksa dirinya tidur sambil menyerah kepada Ilahi. Bukan seperti percubaan pertama masuk ke Aceh dahulu di mana dia buat-buat tidur setelah bas ditahan askar, kali ini Rasyid memang mahu lelap. Biarlah tidak tahu apa yang berlaku sepanjang perjalanan ini asalkan dapat masuk ke sana... Dan kali ini pemuda itu betul-betul tertidur!

Sesekali, Rasyid terbangun dalam keadaan cemas, tersentak teringatkan sekatan askar apabila bas terhenjut-henjut di jalan yang kurang rata atau di selekoh... Terus dia melihat ke luar tingkap, sudah masuk Acehkah belum? Timbul pula rasa tidak confident. Maka anak Malaysia ini tidur lagi sambil cuba mententeramkan hati... Sampai satu ketika, langit semakin gelap menandakan masuk waktu Maghrib. Kelihatan rumah-rumah kampung serta pemandangan desa yang tidak pernah dilihat dalam perjalanan terdahulu. Apakah sudah sampai ke Aceh? Dia masih belum yakin lalu tidur lagi… Logiknya, biarlah tidak tahu apa-apa daripada dada berdebar sentiasa. Tidak lama kemudian, baru ternampak sebuah papan tanda mengatakan dia sudah berada di Temiang, Aceh. Timbul sedikit rasa lega...

Apapun Rasyid belum boleh betul-betul menarik nafas lega selagi tidak sampai ke Langsa. Dia pernah diberitahu, terdapat banyak lagi pos kawalan askar atau polis di sepanjang jalan besar daripada sempadan Sumatera Utara - Aceh sampai ke Banda Aceh. Maka belum tentu lagi selamat...

Sampai di sebuah pekan, bas ini berhenti. Ketika itu sudah agak malam. Alamak, hatinya berdebar lagi. Kenapa berhenti ini? Hendak kata sudah sampai Langsa ini nampaknya bukan Langsa... Rupa-rupanya pemuda itu perlu bertukar kenderaan kerana bas ini akan meneruskan perjalanan ke Banda Aceh melalui jalan lain. Setengah jam kemudian barulah dia sampai ke bandar Langsa, sahih, bukan mimpi atau angan-angan... Alhamdulillah, Rasyid telah berjaya melepasi sekurang-kurangnya dua atau tiga pos kawalan askar atau polis lalu berjaya bertapak di Aceh!




Ini pula adalah menara di hadapan masjid. Di sinilah saya bermalam di Langsa 8 tahun lalu. Kita sambung dengan sedutan seterusnya, daripada mukasurat 206-208.


Malam itu dia duduk termenung lama di tangga Masjid Raya Langsa, masjid besar cantik yang memiliki kubah seperti sebuah mahkota raja-raja... Terasa seperti sedang bermimpi pula, sama rasanya semasa kali pertama sampai ke London 13 tahun lalu. Di hadapannya pula berdiri sebuah menara unik, berkubah warna merah jambu dengan rekabentuk seperti kelopak-kelopak kecil menjulur keluar daripada sekeliling sisinya.

Tiba-tiba Rasyid deja vu lagi. Seperti pernah nampak menara unik ini dalam mimpi atau bayangan lampau... Hmm... Rasanya pernah juga dilihat secara zahir tetapi di mana ya?. Dia mula mengimbas kembali bentuk-bentuk bangunan yang pernah menarik perhatiannya sepanjang hidup. Banyak... Beribu-ribu kerana graduan Matematik berjiwa seni ini agak peka terhadap rekabentuk yang terserlah, daripada berbagai rekabentuk masjid baru dan lama di merata Semenanjung Malaysia hingga ke bangunan-bangunan pencakar langit di Eropah seperti Menara Natwest di London... Teringat juga sebuah bangunan yang kelihatan seperti gereja dari jauh tetapi rupanya bangunan moden setinggi 70 tingkat di Frankfurt, Germany.

Hah... baru ingat. Menara unik di Langsa ini bentuknya lebih kurang seperti Masjid Jamek Putrajaya di hadapan bangunan Jabatan Perdana Menteri. Memang ada persamaan dari segi rekabentuk yang dikatakan berasal dari Timur Tengah, juga warnanya yang merah jambu... Bercorak-corak dengan motif tertentu, siap dengan bentuk kelopaknya sekali. Bezanya, bangunan di hadapan ini sedikit “kurus” dan ia sebenarnya sebuah menara azan yang dikelilingi kolam-kolam air yang mengandungi ikan selain berfungsi sebagai tempat wudhuk, ambil air sembahyang orang ramai.

Tiba-tiba Rasyid terfikir, apakah wujud makna tersirat mengaitkan bangunan di Masjid Raya Langsa ini dengan Masjid Jamek Putrajaya? Jika menara unik ini di kelilingi kolam air wuduk, masjid Putrajaya pula dikelilingi tasik besar buatan manusia. Jika Masjid Putrajaya berhadapan bangunan Jabatan Perdana Menteri yang lebih besar dan terletak lebih tinggi dengan kubah besar berwarna hijau terserlah, menara azan di Langsa ini pula berhadapan dengan masjid besar berkubah tinggi seperti mahkota raja-raja. Tetapi jika Masjid Putrajaya boleh diibaratkan seperti menara di Aceh ini, bukankah ia sepatutnya berada di bawah naungan mahkota yang berlandaskan roh Islam? Seperti naungan raja-raja, contohnya Sultan-sultan Aceh dahulukala yang amat memuliakan Syariat Rasulullah SAW.


Masjid dan menara di Langsa simbolik pemerintahan negara?


Secara zahir dan simbolik, masjid di Malaysia itu telah diletakkan di bawah bangunan kerajaan yang melambangkan sistem demokrasi ciptaan Yahudi yang boleh dikuasai mana-mana manusia buruk akhlak... Asalkan mereka pandai bertopengkan sifat-sifat mulia dan berjaya mengambil hati rakyat lalu memenangi pilihanraya. Pemuda itu teringat kitab Tajus Salatin yang bermakna “Mahkota Raja-raja”, kitab yang mengandungi panduan untuk menjadi raja-raja yang mulia berdasarkan amalan-amalan Tasawuf yang suci lagi luhur... Bukan seperti buku The Prince karangan pemikir politik Itali Niccolo Machievelli yang menggalakan manusia bersifat serigala agar menyorok di sebalik bulu kambing biri-biri... Matlamat menghalalkan cara menyebabkan agama, bangsa dan negara boleh dijual-beli.

Malam itu, selepas menjamakkan solat Maghrib dan Isyak, Rasyid berkenalan dengan imam serta pengunjung tetap Masjid Raya Langsa. Mereka banyak bertanyakan asal-usul serta tujuannya ke situ... Maka pemuda ini terpaksa berterus-terang mengenai niatnya mahu menziarahi kampung halaman nenek moyang serta makam-makam mereka di samping menyambung wasilah kerohanian. Dia perlu menyatakan ini secara jujur kerana ketika itu, orang Aceh rata-ratanya curiga... Darurat kerana pertempuran bersenjata yang berlanjutan antara Gerakan Aceh Merdeka (GAM) dengan Tentera Nasional Indonesia (TNI) membuat semua pihak perlu berhati-hati. Mereka takut anak Malaysia ini mungkin seorang mata-mata, seorang pengintip yang dihantar pihak pemerintah di Jakarta untuk mengintai aktiviti orang Aceh di sini. Atau mungkin dia orang GAM yang menyamar sebagai pengembara? Ahli puak pemisah yang sedang hangat diburu polis atau pihak tentera lalu cuba menyorok di masjid ini?

Apapun, kedua-duanya boleh mendatangkan masalah dan rakyat Aceh sudah letih dengan semua ini. Peperangan demi peperangan telah melanda bumi Serambi Mekah sejak Portugis cuba menjajah 500 tahun dahulu diikuti pencerobohan Belanda yang mengisytiharkan perang tahun 1873, perang yang berlanjutan selama 70 tahun. Ini diikuti pertempuran bersenjata GAM-TNI yang membawa kepada darurat sekarang membuatkan rakyat Aceh menjadi kurang percaya terhadap muka-muka yang tidak dikenali.

Memang sejak dari awal lagi, semasa di Medan juga di Kampung Babussalam dan Pengkalan Brandan malah di Pulau Kampai yang orangnya agak terpinggir daripada masyarakat luar, Rasyid telah diberitahu agar berhati-hati apabila sampai ke Aceh... Takut pihak yang menyokong kerajaan pusat akan menganggapnya sebagai orang GAM sementara mereka yang menyokong GAM pula menganggapnya mata-mata tentera kerajaan pusat. Kalau tidak pun anak Malaysia ini mungkin dituduh sebagai mata-mata atau pengintip daripada luar yang ingin membuat kacau dengan melaga-lagakan kedua-dua pihak... Seperti agen perisikan Amerika Syarikat CIA, Mossad daripada Israel atau mana-mana pihak luar yang inginkan Aceh terus sengsara sampai bila-bila. Mengikut perkiraan umum, mana ada orang luar berani masuk ke sebuah wilayah darurat yang sedang dilanda perang, seorang diri pula tanpa mengenali sesiapa? Selalunya, cuma mata-mata atau pakar intelligence tentera sahaja yang berani berbuat begini, itupun kerana mereka memiliki kepakaran serta sokongan logistik untuk mengelak daripada maut bila perlu. Mana ada orang sanggup menggadai nyawa begitu sahaja kecuali orang gila? Atau mungkin Rasyid sebenarnya sudah gila?

Sebab itu Rasyid terus-terang mengaku ingin menyambung wasilah kerohanian di makam-makam lama terutama makam Sultan Malikus Salih, pengasas kerajaan Samudera Pasai yang amat dihormati masyarakat Aceh... Masih ramai manusia percayakan perkara di luar batas fikiran logik, lebih-lebih lagi jika ia melibatkan watak-watak bertaraf raja dan wali. Maka itu orang-orang di Masjid Raya Langsa dapat menerima yang anak Malaysia itu berani masuk ke sini seorang diri tanpa mengenali sesiapa kerana memang ada panggilan kerohanian untuknya masuk ke Aceh. Dia pun mengambil kesempatan ini untuk memohon bermalam di masjid kepada imam... Lalu pak imam mengenalkannya kepada Che Mat, si penjaga masjid...



Adapun kawasan menara ini sehingga kini selalu dijadikan tempat berehat. Sambung sedutan... daripada mukasurat 208.

Malam itu, Jumaat malam Sabtu, 16 haribulan Januari 2004 bersamaan 24 Zulkaedah 1424 Hijrah, buat pertama kali dalam hidupnya Rasyid merasa tidur di Aceh, tanah tumpah darah asal nenek moyangnya yang sudah lama ingin dijejaki. Lebih seronok lagi, dia mendapat tempat di ruang dalam menara azan yang rupanya seakan-akan Masjid Putrajaya “kurus” tadi!

Ruang yang menjadi tempat tidur serta penginapan penjaga masjid, Che Mat dengan seorang lagi pengunjung tetap masjid iaitu Abang Baktiar ini dikelilingi pagar-pagar besi sebagai sempadan, juga air kolam yang melantunkan kilasan cahaya menari-nari mengikut riak dan alunan air di permukaan sampai ke dinding dan siling menara. Terasa seperti berada di dalam air pula... Agaknya inilah yang dirasakan seorang moyang Raja-raja Melaka dahulukala iaitu Raja Suran... Mengikut ceritanya, raja besar benua Hindi berketurunan Iskandar Zulkarnain ini turun menziarahi kerajaan laut dengan memasuki peti kaca istimewa seperti kapal selam purbakala!

Hmm... Seronok juga melayan perasaan dalam menara ini, seolah-olah berbaring di bawah laut. Satu sahaja masalahnya - terlalu banyak nyamuk bermaharajalela, ganas-ganas dan besar-besar belaka, seperti nyamuk tiruk pun ada. Apapun, masalah ini dapat diatasi dengan menyapu “Autan”, sejenis krim anti-nyamuk yang ada dijual merata. Lagipun perasaan gembira amat yang terpancar akibat berjaya masuk ke Aceh mengatasi segala-galanya.

Alhamdulillah, setelah percubaan pertama terhalang seminggu lalu, Rasyid dapat juga masuk ke sini. Bayangkan, setelah lebih dua minggu meninggalkan hiruk-pikuk Kuala Lumpur, setelah lebih setahun berangan-angan hendak ke kembali ke tanah asal nenek moyangnya, setelah seumur hidup teraba-raba mencari asal-usul diri di merata ceruk rantau sampai ke benua Eropah, dia sekarang berada di bumi bertuah ini... Allah!

Walaupun ia cuma di Langsa, 40km sahaja daripada sempadan Aceh- Sumatera Utara, pada anak muda kelahiran Muar, Johor ini, dia sudah pun berada di dalam lingkungan wilayah asal keSultanan lama Perlak yang pernah ditinggalkan Keramat Kuala Bidor 1,000 tahun lalu. Dan ini juga termasuk di dalam lingkungan kerajaan Samudera Pasai yang diasaskan Sultan Malikus Salih lebih 700 tahun dahulu kerana Perlak telah diserapkan ke dalam kerajaan tersebut penghujung abad ke 13 Masihi. Dalam sedar tidak sedar, tiba-tiba terpacul keluar daripada mulutnya perkataan ini: “Menjunjung kasih nenda, cucunda sudah hampir kembali ke pusat tanah air sejati... Tunggulah cucunda sampai ya... Insyaallah tak lama lagi?”


Pusing dahulu keliling menara. Sebenarnya saya pernah membawa isteri ke sini pertengahan 2009. Lihat artikel lama Ke makam Sultan Malikus Salih - Menggamit kenangan lama di Langsa....


Ketika itu isteri sedang 6 bulan mengandungkan anak kecil kami Muhammad Al-Aminul Rasyid. Dalam perjalanan Medan-Banda Aceh 2-13 November 2011 pula Rasyid sudah berumur lebih sedikit 2 tahun sedangkan isteri sedang 6 bulan mengandungkan anak baru. Dapatlah dia bersama merasa berbaring di atas lantai tempat saya menginap 8 tahun lalu.


Sesungguhnya lawatan kali ini sungguh istimewa... sangat istimewa. Jika dahulu, Januari 2004 saya pergi sendirian ketika Aceh masih darurat dilanda perang, Jun 2009 pula saya pergi bersama isteri setelah beberapa tahun darurat ditamatkan akibat berlakunya peristiwa Tsunami yang menelan nyawa lebih 200,000 rakyat Aceh 26 Disember 2004. November 2011 baru saya dapat membawa anak yang namanya telah lebih awal diabadikan dalam siri trilogi novel "Berpetualang ke Aceh", siri yang buku pertamanya "Berpetualang ke Aceh : Mencari diri dan erti" terbit Jun 2006. Nama tersebut merujuk kepada diri saya sambil buku menceritakan pengalaman sebenar yang berlaku.


Kemudian saya membawa anak dan isteri masuk ke dalam masjid. Sekarang biar diletakkan cerita berkaitan dari buku kedua saya "Berpetualang ke Aceh : Sirih pulang ke gagang?" yang terbit November 2007... dari mukasurat 39-40...


Rasyid melangkah masuk ke Masjid Raya Langsa lalu menunaikan solat sunat Dhuha. Entah mengapa, selesai sahaja berdoa meminta petunjuk daripada Allah SWT dalam meneruskan perjalanan, terbetik pula untuk menoleh ke belakang. Ternampaklah seorang tua yang agak tinggi lampai, putih kemerahan kulitnya sedang duduk seperti antara dua sujud lebih 10 saf di belakang. Ada suatu tarikan terpancar daripada kelibatnya...

Lama juga pemuda itu memerhatikannya, adalah dekat 15 minit. Hati kecilnya berkata dia mesti berjumpa orang tua itu. Tidak lama kemudian, orang itu bangun lalu mula berjalan bertongkat terbongkok-bongkok meninggalkan masjid. Rasyid terus bergegas mendapatkannya.

Sampai sahaja ke sisinya, anak muda itu memberi salam lalu bertanya: “Pakcik-pakcik… Pakcik hendak pergi ke mana ini?”

Orang tua itu menoleh perlahan memandangnya lalu tersenyum dan menjawab: “Tidak ada ke mana, cuma mahu ke warung minuman sahaja.”

Rasyid memerhatikan rupa bentuk dan air mukanya. Nampak seperti orang beramalan tinggi. Memandangkan dia memang sudah agak tua, jalan bertongkat terbongkok-bongkok dan amat perlahan pula, pemuda itupun menawarkan diri untuk menolong memapahnya sampai ke warung.

Setelah hampir melepasi kawasan masjid, orang itu bertanya: “Sudah solat Dhuha?” Rasyid jawab sudah. Kemudian terus memapah pakcik itu ke warung makan terdekat lebih kurang 100m daripada masjid.

Orang tua itu memesan secawan kopi dan sepinggan makanan tempatan, sudah lupa apa. Pemuda itu memesan makanan yang sama. Kemudian barulah mereka mengenalkan diri dan bercerita.

Orang tua berumur sekitar 90an ini memberitahu dia berasal daripada Temiang, berdekatan sempadan tempat Rasyid pernah ditahan askar dahulu. Katanya, dia selalu berulang-alik ke Langsa, juga ke Perlak yang terletak lebih kurang 40km ke utara, tidak ingat atas urusan apa.

Dalam sedar tak sedar, anak muda kelahiran Muar,Johor ini mengaku hendak ke Aceh untuk menyambung wasilah kerohanian. Mungkin kerana mengharapkan sedikit petunjuk daripada orang tua ini? Che Mat dan Abang Bakhtiar yang tidur menumpang di menara azan masjid telah mengingatkan akan terdapat banyak perhentian dan pos askar sepanjang perjalanan ini... Dapat sampai ke Langsa pun Alhamdulillah kerana buat masa ini tiada orang luar, orang bukan warga Indonesia dibenarkan masuk kecuali ada surat keizinan atau dokumen perjalanan daripada Jakarta.


Ayat Lima dan kitab Majmuk Sharif


Tidak lama kemudian, orang tua itu mengeluarkan duit untuk membayar harga makanan dan minuman. Pemuda itu beritahu tidak payah, biar dia sahaja yang bayar. Selesai itu, dia meminta Rasyid memapahnya menghala balik ke masjid. Anak muda itu menurut sahaja... Dalam perjalanan, orang tua itu tiba-tiba bertanya: “Kamu tahu Ayat Lima?”.

Ayat Lima? Rasyid menjawab tidak tahu. Memang dia tidak pernah mendengar sebelum ini… Kata orang tua itu, ayat ini bagus untuk orang-orang yang suka berkelana, sebagai pelindung dalam perjalanan daripada musuh dan mara-bahaya. Pemuda itu mengaku tidak pernah tahu pun tentang kewudujan ayat ini. Lagipun memang dia jahil tentang banyak perkara... Orang tua itu kata tak apa. “Nanti kamu beli Majmuk Sharif.”

Majmuk Sharif? Nama itupun dia belum pernah dengar sebelum ini. Terasa sangat dirinya bodoh. Ayat Lima tidak tahu, Majmuk Sharif pun tak pernah dengar. Habis tu camno? Rasyid pun bertanya apakah itu...

Pakcik itu tersenyum. Katanya Majmuk Sharif ialah sebuah kitab kecil yang mengandungi banyak ayat-ayat serta Surah-surah pilihan daripada Al Quran yang bagus dan berguna untuk keadaan-keadaan tertentu... Misalnya Ayat Lima untuk berjalan jauh dan menghadapi musuh!

“Tidak mengapa nak,” katanya lembut. “Sekejap lagi saya akan tunjuk di mana kamu boleh dapatkan kitab Majmuk Sharif.”

Setelah berjalan hampir beberapa tapak ke kawasan masjid, orang tua itu menuding ke arah sebuah gerai menjual kitab-kitab agama, betul-betul di luar pintu pagar tempat mereka keluar tadi. Ait? Tadi pemuda itu tidak sedar pun ada gerai kat situ. Agaknya sebab dia tidak cukup ambil perhatian akan apa yang berlaku di sekelilingnya? Allah! Gerai buku yang terletak betul-betul di luar pintu kawasan masjid pun boleh tak sedar ada?

“Ambil yang itu,” dia memberikan arahan sambil menuding ke arah kitab kecil berwarna hijau gelap dengan tulisan Jawi di kulitnya, besar sedikit dari tapak tangan. Rupa-rupanya terdapat beberapa edisi kitab Majmuk Sharif di situ, kalau tidak salah ingatan, tiga atau empat jenis, ada yang menggunakan tulisan Rumi, ada yang bercampur dengan Jawi...

Pakcik itu sengaja menyuruh Rasyid membeli kitab yang terkecil, yang isinya semua tulisan Jawi, langsung tiada Rumi. Kemudian dia mengajak pemuda itu duduk di atas pangkin kayu berdekatan lalu meminta kitab Majmuk Sharif yang baru dibeli. Orang tua itupun membukanya untuk mencari Ayat Lima. Dia masih ingat lagi mukasuratnya, iaitu 91.




Untuk melihat lagi rupa masjid lihat artikel lama Masjid Raya (Main mosque of) Langsa di blogspot SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART). Sambung sedutan... daripada mukasurat 41-42...


Setelah terjumpa ayat yang dimaksudkan, pakcik itu meminta sebatang pen lalu menandakan awal dan akhir ayat itu yang merupakan gabungan ayat-ayat tertentu daripada empat Surah Al-Quran yang berturutan dicampur sepotong ayat daripada Surah Al Ra’ad. Maka itu juga ayat-ayat ini dikenali sesetengah orang sebagai Ayat Empat. Ayat itu bermula begini:

Alam tara ilal mala’i min bani Israila min baqdi Musa iz qala linabiyyil lahumub ‘as lana malikan nuqotil fi sabilillah.

Orang tua itu menuding jari pada perkataan di penghujung ayat itu lalu berkata: “Fi sabilillah” sama seperti bahagian yang tertulis. Dia menoleh ke arah muka Rasyid kemudian menunjukkan satu lagi bahagian dalam ayat seterusnya yang mengandungi perkataan “Fi sabilillah.”

“Lihat maksudnya… Keluar ke jalan Allah, Insyaallah kita selamat! Musuh tidak nampak, semua sekatan akan lepas.” Kemudian menunjukkan bahagian akhir Ayat Lima itu, perkataan dalam kurungan yang berbunyi:

Qayyumu yarzuku maiyasha ‘ul quwwah.

“Quwwah, maknanya kuat. Kukuh!” dia menambah. Rasyid pun disuruh membaca kuat faedah Ayat Lima yang tertulis sebelum permulaan ayat. Bunyinya: “... tiada dibaca oleh seseorang pada muka seterunya melainkan menang dan keras dan tiada dibaca pada hadapan orang yang takut akan kejahatannya melainkan daripada akan dia (ditolong) oleh Allah Ta’ala akan kejahatannya dan tiada dibaca pada hadapan orang yang merampas di jalan atau binatang yang buas-buas atau orang yang aniaya atau yang jahat melainkan daripada Allah Ta’ala (diselamatkan) akan yang membaca akan dia daripada kejahatan mereka itu...”

“Hafal ayat ini,” katanya. “Saya sudah hafal. Senang! Setiap kali hendak berjalan jauh, baca. Jumpa musuh baca, hembuskan ke mukanya.”

Kemudian dia menyuruh pemuda itu menyalin potongan ayat dan zikir yang disebutnya. Katanya untuk diamalkan harian dalam hidup... Dinukilkan di dalam ruangan kosong di dalam kitab Majmuk Sharif itu.

Rasyid pun menurut dalam keadaan merangkak-rangkak menulis Jawi. Maklumlahlah, sudah lama tidak menulis Jawi, akhir sekali semasa di darjah lima sekolah agama kerajaan Johor, 22 tahun yang lampau!

Melihatkan Rasyid asyik tersekat-sekat menulis dalam Jawi, pakcik itu mengambil pen daripada tangan pemuda itu lalu menulis sendiri... Siap dengan gambarajah seorang manusia bersongkok dengan hatinya tertera nama Allah. Pada akhir ayat-ayat yang diberi, tercatit sepotong doa yang berbunyi: “Ya Allah, lepaskan aku daripada gangguan jin dan manusia yang jahat-jahat yang dengki kepadaku. Kuserahkan kepada Allah.”

“Amalkan ini setiap malam,” katanya memberikan panduan. “Kemudian baca Surah Ya Sin sampai habis sebelum tidur.”

Selepas itu dia memberi dua pesanan. Satu, potong rambut sehingga pendek sampai ke telinga sepertinya. Jangan di simpan panjang lagi... Semasa itu, rambut Rasyid panjang melepasi bahu, adalah lebih setahun tidak dipotongnya.... Kurang terurus pula, nampak berserabut seperti orang gila pun ada… Kedua orang tua itu menyuruhnya berbai’at dan mengambil ijazah Tariqat Naqshabandiah daripada khalifah di Kampung Babussalam, Tanjung Pura, kampung kerohanian yang pernah dilawatinya 10 hari lalu.


Setelah itu kami mengambil becak atau beca bermotor untuk menjejak lagi sedikit tempat-tempat yang pernah saya singgahi 8 tahun lalu.


Kelihatan di sini makam kaum keluarga pemerintah tradisi tempatan. Lihat artikel lama Makam Teuku Langsa (Tombs of the Teuku of Langsa).



Ini pula masjid di sebelah makam yang kelihatan seperti tak siap. Rasanya tak banyak beza keadaannya ketika saya sampai Jun 2009 mahupun Januari 2004.


Oh. Semasa berada di Masjid Raya Langsa saya ada memanjat naik menara di hadapan lalu melihat sekeliling Langsa. Dilihat dengan mata kasar tiada apa-apa yang istimewa tentang bandar sederhana besar ini. Tetapi bagi saya yang pernah bertungkus-lumus hingga ke peringkat menyabung nyawa untuk masuk ke Aceh ketika perang Januari 2004, Langsa terasa begitu istimewa sehingga pernah menyamakannya dengan London... dari segi rasa ketika pertama kali sampai. Baca sedutan berkaitan daripada buku "Sirih pulang ke gagang?", mukasurat 27-29...


Langsa, Langsa, Langsa.... Rasyid tidak pasti kenapa, mungkin kerana sudah terlalu lama mengharap untuk masuk ke Aceh... Di Langsa yang jauhnya cuma 40km daripada sempadan Sumatera Utara-Aceh, tempat pemuda itu tersangkut lalu dihalau balik menghala ke Medan lebih seminggu lalu, dia merasakan seolah-olah sedang berada di dalam dunia fantasi yang kelihatan begitu muluk. Cuacanya dirasakan lain, suasana pun lain dari yang lain. Warna-warna segala benda yang kelihatan, daripada bangunan masjid tempatnya menginap sampai ke warung-warung kecil di pasar awam, juga bunyi-bunyi di sekitar, daripada burung-burung berkicauan sehingga ke hiruk-pikuk kenderaan di jalanan, semuanya terasa jauh lebih hidup daripada biasa sehingga menggetarkan jiwa!

Entah kenapa, Rasyid merasakan dirinya seolah-olah sedang berada di dalam sebuah lukisan hidup yang segala rupa-bentuknya terlebih terang daripada realiti biasa yang hambar. Walaupun sebenarnya tidak ada apa-apa yang begitu istimewa tentang bandar ini kecuali ia adalah bandar pertama bumi Serambi Mekah yang berjaya dijejakinya setelah sekian lama, segalanya kelihatan begitu terserlah.Benarlah kata pepatah Inggeris: Beauty is in the eye of the beholder – Kecantikan terletak pada pandangan mata si pelihatnya.

Langsa bukanlah Disneyland, tempat hiburan yang menjadi impian ramai kanak-kanak malah sesetengah orang dewasa termasuk Rasyid sendiri untuk dilawati. Bukan juga kota peranginan seperti Phuket dengan pantainya yang indah menghadap Laut Andaman yang membiru atau kota lama yang menyimpan banyak kesan sejarah seperti Melaka.

Di kalangan rakyat Indonesia sendiri, ia bukan tempat yang mesti dilawati apabila sampai ke Aceh. Langsa cuma sebuah kota sederhana besar yang penuh dengan bangunan-bangunan, kedai dan pejabat... Ada masjid besar, ada tempat makan, ada pasar tempat orang berjual-beli, ada hiruk-pikuk orang ramai dan kenderaan berjalan-jalan di merata tempat, sama seperti di mana-mana kota. Tetapi pada pemandangan pemuda ini, ia kelihatan begitu istimewa sekali... Langsa terasa seperti Disneyland campur Phuket campur mana-mana tempat yang menarik bagi orang lain, jauh lebih istimewa daripada Medan atau mana-mana destinasi lain yang pernah dilawati sejak berada di Sumatera, Indonesia dua minggu ini.


Perasaan serupa ketika pertama kali sampai ke London 1991


Mungkin perasaan terdekat pernah dialaminya adalah ketika pertama-kali menjejakkan kaki di kota London, awal musim luruh tahun 1991. Rasyid yang sebelum itu tidak pernah sampai ke mana-mana tempat di seberang laut kecuali Singapura dan tidak pernah menaiki kapalterbang seumur hidup masih ingat betapa terujanya dia apabila pesawat MAS yang dinaikinya menghampiri lapangan terbang Heathrow.

Fasten your seatbelt. We are now approaching Heathrow airport, London! “ teringat pengumuman ketua juruterbang setelah lebih 13 jam membelah udara tanpa-henti. Pesawat Jumbojet Boeing 747 yang dinaiki mula bergegar akibat penurunan laju daripada paras ketinggian 11,000 kaki ke paras laut. Dada pemuda itu berdebar-debar penuh harapan setelah lebih lima tahun mengidam untuk ke England - Dia pernah dibuang kolej kerana masalah disiplin dan nyaris-nyaris tidak dapat menyambung pengajian ke sana.

Kapalterbang mendarat lalu mengisi tempat yang disediakan. Aerobridge disambungkan kepada pintu pesawat dan penumpang mula keluar.

“Wow!” terkeluar reaksi awal melihat lapangan terbang utama Britain itu, salah sebuah lapangan terbang paling sibuk di dunia. “Canggih!”

Kelihatan beberapa blok bangunan gergasi dikelilingi berpuluh pesawat pelbagai jenis dan saiz milik pelbagai syarikat. Terasa jauh bezanya dengan Lapangan Terbang Subang (ketika itu KLIA belum wujud) yang terasa begitu kecil dan third-world, begitu ketinggalan zaman.

Rasyid yang berpakaian segak dengan sepasang suit hitam lengkap milik almarhum Atuk Muar berserta kemeja putih bertali-leher (ramai juga orang menyangkakannya seorang businessman!) berjalan keluar menuju ke tempat pemeriksaan immigresyen. Setelah beratur lebih kurang 15 minit sampailah gilirannya untuk diperiksa. Pemuda itupun menghulurkan paspot dan embarkation pass. Sambil itu bersiap-sedia dengan financial guarantee letter, surat sokongan yang menyatakan dia mempunyai sumber kewangan yang cukup untuk bermastautin di London, dikepilkan bersama surat tawaran untuk mengikuti pengajian ijazah sarjana muda dalam bidang Matematik di University College of London, sebuah universiti terkemuka di England yang termasuk di dalam kelompok besar University of London.

Pegawai yang bertugas meneliti rupa-paras pemuda itu sambil membandingkannya dengan gambar serta maklumat yang tertera di dalam paspot. Tak banyak beza gambar dengan orangnya...

I see, you come here for study, sir…” katanya seraya membelek visa pelajar di dalam paspot. “May I see your other supporting documents?” dia bertanya pula.

Rasyid menghulurkan surat-surat sokongan yang disediakan. Nampaknya teliti juga pegawai ini. Takut pemuda ini terrorist agaknya…

I see you got everything in order,” katanya, puas-hati setelah meneliti segala dokumen yang di beri lalu mengecop paspot.

Welcome to London, sir! Enjoy your stay here!” ucapnya dengan senyuman mesra seraya memulangkan semua dokumen-dokumen itu.

Anak muda itu melangkah lega. Secara rasmi, dia sudah berjaya memasuki London. Awal tadi, ada juga rasa takut kalau terjadi apa-apa yang tidak diingini. Dia pernah mendengar cerita ada orang Malaysia yang ditahan pihak immigresyen lalu dihantar-balik dengan penerbangan seterusnya kerana masalah tertentu. Tak pastilah kenapa...

Rasyid pergi ke ruang bersebelahan untuk mengambil beg-beg pakaian dan keperluan di ruang menunggu bagasi lalu melangkah masuk ke ruang utama terminal. Sebaik sahaja melangkah keluar, terdengar satu laungan dengan satu suara yang agak familiar, biasa didengarnya…

“Abang! Sini, sini!”

Ah… Buah hati lamanya yang sampai seminggu lebih awal sudah sedia menunggu. Kota London, sudah sampai masa untuk kita berkenalan...

Hmm. Mengenangkan balik apa yang berlaku juga membuat saya terfikir akan beberapa mimpi kebelakangan ini yang melibatkan kota London. Sungguh, kadangkala saya terasa rindu hendak menjejakkan kaki lagi ke sana... maklumlah pernah menetap 4 tahun di kota kebanggaan masyarakat Inggeris itu, banyak perkara berlaku termasuk perubahan kecenderungan daripada ilmu matematik dan sains kepada hal-hal kerohanian dan ilmu Tasawuf, perubahan yang nyaris-nyaris menyebabkan saya gagal memperolehi ijazah dalam bidang Matematik, bidang pilihan saya sejak berumur 18 tahun gitu. Tapi tu le... nak pegi duit takda. Maka itu biar disambung sedutan bab London... daripada mukasurat 30-32...


Banyak sungguh pengalaman baru hari itu. Setelah pertama kali menaiki kapal-terbang, pertama kali ke seberang laut, pertama kali ke London, pertama kali melihat lapangan terbang canggih seperti Heathrow, itulah pertama kali dia merasakan cuaca selain iklim khatulistiwa di tanah-air... Ketika itu England baru masuk musim luruh . Suasananya berangin sejuk dengan suhu sekitar 15 darjah Celsius., terasa berbeza sungguh dengan suhu 30 darjah di Malaysia.

Rasyid juga buat pertama kali merasa naik keretapi bawah tanah London Underground yang sering diceritakan orang.. Pemuda itu masih ingat perasaan pelik tetapi seronok apabila keretapi sampai di stesyen bawah tanah Heathrow di bawah lapangan terbang diikuti pengumuman aneh: “Mind the gap!

Perkataan sama tertera di beberapa tempat sepanjang tepian pelantar.

“Apa ini, ‘Mind the gap!’, Mind the gap!’” dia bertanya seraya mengajuk…

Rupa-rupanya ia satu peringatan supaya berhati-hati apabila melangkah masuk ke dalam keretapi... Jangan sampai terjatuh kerana ada ruang sehingga selebar 1 kaki di antara pelantar dan keretapi.

Buah hati lamanya seronok melihat Rasyid begitu teruja. Itulah kali pertama dia melihat pemuda yang biasanya suka berseluar jeans dan t-shirt itu begitu segak memakai suit lengkap! Penumpang lain pula kelihatan hairan melihat seorang ‘businessman’ dengan beg-beg besar serta haversack di belakang memeluk seorang gadis berpakaian ranggi dengan muka seperti pelajar 15 tahun. Sudahlah masing-masing buat perangai macam jakun, seperti rusa masuk kampung pun ada, seorang kelihatan begitu dewasa, seorang lagi seperti bawah umur…

Setengah jam kemudian, keretapi bawah tanah itupun sampai ke Marble Arch, stesyen terdekat ke Malaysia Hall, tempat tumpuan pelajar dan warga-kerja Malaysia di London. Rasyid dan buah hati lama keluar menaiki escalator naik ke permukaan. Kelihatanlah sebuah arca besar yang diperbuat daripada batu mar-mar (sebab itu dipanggil Marble Arch) di tengah persimpangan jalan, bersebelahan taman terkenal kebanggaan rakyat tempatan Hyde Park.

Dari situ, mereka berjalan kaki menghala ke utara melepasi Malaysia Hall dan beberapa blok bangunan untuk ke rumah sewa wanita itu di Baker Street, sebuah kawasan perumahan yang agak ekslusif, terkenal dengan watak khayalan detektif ternama Sherlock Holmes ciptaan penulis Arthur Conan Doyle. Selepas berehat sebentar dan bertukar pakaian yang lebih selesa (apalagi, seluar jeans dan t-shirt kegemaran Rasyid lah tetapi mesti memakai sweater sekali kerana sejuk), pemuda itupun memulakan penjelajahan pertamanya di kota itu.. Destinasi pertamanya - Oxford Street, lebuh membeli-belah utama London.

Memang seronok bersiar-siar di sepanjang lebuh membeli-belah terkenal dunia yang menjangkau jarak 3km itu sambil singgah window shopping, cuci-cuci mata di gedung-gedung membeli-belah gergasi seperti Selfridge’s, Marks & Spencer dan Debenham’s. Pasangan yang memang suka berjalan kaki jauh bersama-sama sejak mereka berkenalan di Kuala Lumpur itu juga menjenguk beberapa kedai lain... Sambil melepasi lebuh-lebuh terkemuka seperti Regent Street dan menyelit-nyelit di tengah kebanjiran penduduk tempatan dan pelancong yang memenuhi hampir setiap inci kaki lima, rasanya tidak kurang lima kali lebih padat daripada keramaian di Jalan Tuanku Abdul Rahman ketika hujung minggu!

Pemandangan lautan manusia yang mengkagumkan itu dihiasi pula dengan deretan bas-bas dua tingkat London Transport berwarna merah, juga teksi-teksi besar berwarna hitam yang rupanya saling tak tumpak seperti kereta Rolls Royce lama. Masing-masing menjadi identiti tersendiri kota metropolitan terkenal dunia yang menampung sekitar 10 juta penduduk itu. Sampai ke stesyen Tottenham Court Road di penghujung timur Oxford Street, sebuah kawasan yang juga dikenali sebagai West End, Rasyid dan buah hati lama berjalan menghala ke utara sehingga menghampiri kawasan kampus University College of London yang akan menjadi tempat pemuda itu menyambung pengajian tinggi.

Mereka singgah sebentar di kedai buku kedua terbesar di London iaitu Dillon’s bersebelahan bangunan University of London Union, sebuah bangunan tiga tingkat sebesar pasaraya Batu Road Supermarket di Chow Kit ataupun gedung membeli-belah Mydin di Masjid India tetapi penuh dengan buku-buku pelbagai tajuk dan bermacam-macam subjek yang belum pernah ditemui pemuda itu di Malaysia. Apa yang membuat dia lebih seronok, itulah kedai buku pertama yang ditemuinya seumur hidup di mana seseorang itu boleh membaca apa-apa buku selama mana mereka suka sambil duduk bersila di atas lantai atau bersandar di tepi dinding. Malah pemuda itu cuba berbaring di atas lantai yang beralas permaidani... Tiada pula pembantu kedai yang menegur atau menghalaunya keluar. Ah... Terasa bagai berada di syurga dunia pula!


Seperti bermimpi di siang hari...


Rasyid keluar dengan senyuman lebar sampai ke pipi.

Tiba-tiba dia menoleh ke arah buah hati lama. “Cubit saya!” katanya...

“Hah? Apa dia?” wanita itu bertanya hairan.

“Cubit saya!”

“Kenapa?”

“Alah… Cubit sahajalah… Jangan banyak tanya!”

Gadis cantik berwajah budak sekolah menengah itupun mencubitnya.

“Kuat lagi! Kuat-kuat!” kata pemuda itu.

Buah hati lamanya menurut sehingga terbeliak mata…

“Adoi!” baru dia menjerit.

“Eh, kenapa awak ini? Buang tebiat ke?” wanita itu semakin pelik.

“Tidak ada apa-apa,” kata Rasyid tersengih seperti kerang busuk. “Sahaja-sahaja, hendak pastikan saya tidak bermimpi!”

Mereka ketawa riang lalu meneruskan perjalanan... Kali ini menghala ke selatan melepasi School of Oriental, African and Slovanic Studies, British Museum, seterusnya stesyen Holborn untuk menyusuri lebuh Kingsway hingga ke Aldwych, lokasi sebuah universiti pengajian ekonomi yang terkemuka di dunia, London School of Economics, tempat buah hati lama itu menuntut.

Dalam hari pertamanya di London, pemuda itu juga sempat bersantai di tempat-tempat tumpuan pelancong terkemuka yang sering menghiasai poskad antarabangsa, tempat-tempat seperti Trafalgar Square dan Piccadily Circus. Hari itu sahaja, dia berjalan kaki lebih 10km! Belum dikira hari-hari berikutnya membelek barangan antik di Camden Town atau menikmati hiburan jalanan termasuk orkestra kecil four piece classical music di Covent Garden, tempat tumpuan warga seni jalanan di kota London, tempat yang pernah memberi rakyat Malaysia yang sealiran ilham untuk menerbitkan Central Market di Kuala Lumpur. Belum dicampur hari-hari kemudian santai di taman-taman bunga seperti Hyde Park dan Regent’s Park atau menikmati angin tepian Sungai Thames sambil melihat jam besar Big Ben atau jambatan tergantung Tower Bridge. Pendek kata, cukup banyak tempat menarik di sana. Sesetengahnya begitu unik membuatkan seseorang itu tersenyum lebar sampai ke pipi. Boleh ditulis sebuah buku semata-mata untuk menceritakan semua ini...

Ah... Memang indah rasanya berjalan di tempat begini... Tetapi itu di London, kota megah yang namanya sahaja boleh dikatakan dikenali seluruh penduduk bumi. Cuma terdapat beberapa buah kota sahaja di dunia yang boleh diletakkan sebaris dengannya seperti kota New York, Paris dan Tokyo… Berapa ramai pula manusia yang mengenali kota Langsa di Aceh? Siapa pula yang teringin sangat hendak pergi ke bandar yang terletak 40km ke utara sempadan Sumatera Utara-Aceh itu selain mereka yang mempunyai keluarga di sana?


Langsa ketika saya pertama kali sampai 8 tahun lalu bukan sahaja terasa seperti kali pertama sampai ke London. Timbul rasa aneh di luar pemahaman dan pemikiran biasa, satu rasa yang sebenarnya pernah menjadi 'makanan ruji' buat saya sejak kecil hinggalah berlaku perubahan tertentu ketika menjejak dewasa. Sambung sedutan. Daripada mukasurat 33-35.


Rasyid memandang Masjid Raya Langsa dengan kubah besarnya seperti mahkota raja. Pandangan dialih kepada bangunan menara azan di hadapan yang di kelilingi kolam-kolam berisi ikan tetapi sebenarnya tempat mengambil wuduk... Kelihatan seperti Masjid Jamek Putraya ‘kurus’ .

“Ah!” getus hatinya. “Memang nampak lain macam.”

Dia memandang sekeliling. Pepohon di tepian, warung-warung makanan dan minuman serta pasar menjual barangan basah juga kelihatan lain daripada yang lain... Terasa bagai berada di planet lain pun ada, padahal ini semua adalah pemandangan biasa, tiada apa-apapun yang istimewa…

Hmm... Mungkin dia sudah terkeluar daripada keadaan fikiran dan minda biasa, kata Orang Putih, alternative state of mind… Dahulu Rasyid pernah mempersoalkan kenapa sesetengah lukisan yang menunjukkan sesuatu bangunan, objek ataupun tempat kelihatan lain macam, nampak begitu cerah dan hidup melangkaui realiti biasa. Misalnya lukisan Sunflower atau bunga matahari oleh pelukis Belanda terkenal, Van Gogh... Warnanya dilukis terlebih terang daripada biasa seolah-olah berasal daripada dunia yang lain, out of this world. Mungkin seperti di alam bunian agaknya sedangkan bangunan, objek atau tempat yang dilukiskan kelihatan tawar dan hambar apabila dilihat dengan mata kepala sendiri di dunia nyata...


Warna-warni tiba-tiba menjadi hidup


Sampai satu ketika, beberapa tahun lalu, ketika sedang berehat menikmati teh tarik di sebuah kedai makan yang bangunannya dari jenis lama, jenis sebelum Perang Dunia Kedua atau pre-war shops, di tepian Jalan Tuanku Abdul Rahman di tengah kesibukan kotaraya Kuala Lumpur, barulah pemuda itu faham. Sedang Rasyid duduk termenung, tiba-tiba dia terasa lain macam... Rasa hening dan tenang yang amat sangat sementara deria dan pancainderanya terasa lebih peka daripada biasa.

Apa yang berlaku agak memeranjatkan... Tiba-tiba sahaja keadaan sekeliling nampak begitu menarik, warna-warnanya begitu mengesankan. Bayang-bayang cawan teh tarik nampak begitu hidup membelah cahaya matahari kuning keemasan. Para pelanggan sedang berbual, pelayan kedai berulang-alik memenuhi permintaan, tukang masak menunjukkan kepakaran di celah-celah asap yang berkepul-kepul naik ke atas... Orang ramai lalu lalang di luar malah kereta-kereta banyak dengan hiruk-pikuk yang sebelum ini membingungkan semuanya kelihatan indah dan bergerak begitu cantik dan teratur... Seperti sebuah orkestra, sebuah pergerakan yang telah dichoreographkan. Poetry in motion, puisi dalam pergerakan.

Masyaallah! Baru dia teringat. Keadaan dan perasaan yang dialami di Langsa adalah satu keadaan yang terbit apabila jiwa terasa hening.... Bila seseorang dapat melihat dunia tanpa hiruk-pikuk dan kecelaruan pemikiran yang sentiasa hendak mengupas dan menghukum keadaan sekeliling, bila kita dapat menerima segala keadaan, Takdir, Qada dan Qadar, baik dan buruknya dengan redha tanpa apa-apa harapan dan prasangka atau terbetik di hati sedikit pun untuk mengubah keadaan.

Inilah rupa alam apabila kita betul-betul redha menerima segala sesuatu, dapat menerima apa sahaja yang wujud dan terjadi sebagai yang terbaik dicipta dan diatur Allah SWT yang mana setiap sesuatu yang dijadikan tidak ada yang sia-sia, semuanya ada sebab tertentu di bawah ilmu dan kebijaksanaanNya. Barulah pemuda itu sedar betapa indahnya dunia ini kalau sahaja semua orang dapat melihatnya daripada kacamata yang benar, sudut pandangan Haq. Seperti disebut Wali besar dan sasterawan lama Aceh, Sheikh Hamzah Fansuri dalam sebuah syairnya:

Dirimu itu seperti zilal (bayang)

Jangan kau pandang pada waham dan khayal

Jika pandangmu itu pada rupa Jamal

Kamulah da’im beroleh wisal

Baru dia faham kenapa ada pelukis mengabadikan pemandangan mereka terhadap sesuatu objek, tempat atau keadaan dengan cara yang begitu hidup... Walaupun pada orang lain, apa yang dilukis itu tidak pernah kelihatan begitu secara nyata. Dan baru Rasyid teringat bahawa dahulu, dia sering terasa begini, dapat melihat keindahan di sebalik segala sesuatu, hatta pada seekor ulat yang sedang memakan daun sampai ke batu-batu kerikil dan pasir di tepian jalan yang ada masanya kelihatan seperti lombong intan berlian dengan permata yang indah-indah lagi bergemerlapan.


Melihat syurga di dalam sekuntum bunga liar


Satu masa dahulu begitulah cara pemuda ini melihat dunia yang nyata. Derianya terasa begitu ceria dan peka sehingga dapat mendengar setiap deruan angin yang bertiup seperti menyapa lembut seraya berzikir membawa gelombang Maujud Ilahi . Kicauan burung terdengar seperti simponi orkestra dengan alunan sakti yang indah lagi mengasyikkan. Setiap dedaunan pohon seperti mengandungi hutan belantaranya yang tersendiri, setiap batu ibarat planet-planet yang penuh kehidupan dan aktiviti.

Agaknya inilah keadaan yang pernah diceritakan seorang penyajak Inggeris, sudah lupa siapakah namanya, kalau tak silap Rudyard Kipling:

To see the world in a grain of sand,

To see heaven in a wild flower…

Melihat dunia di dalam sebutir pasir, melihat syurga di dalam sekuntum bunga liar… Begitu dalam maksud yang tersurat dan tersirat. Oh… Baru teringat. Bukan Rudyard Kipling tetapi William Blake… Empat rangkap pertama sajak “Auguries of Innocence” yang tulisannya berbunyi:

To see a World in a Grain of Sand

And a Heaven in a Wild Flower,

Hold Infinity in the palm of your hand

And Eternity in an hour.

Hah! Lebih kurang begitulah Rasyid dahulu… Sentiasa berada dalam keadaan itu. Sampailah satu ketika selepas tamat zaman remaja di mana dia mula terasa seperti seolah-olah telah terputus pertalian peribadinya dengan Tuhan... Sudah ada suatu tembok pemisah menghalang pancaran kerohanian, gelombang daripada ‘atas’ yang dapat memberikan keheningan dalam diri walaupun ketika keadaan sekeliling kalut sekalut-kalutnya.



OK. Tajuk artikel ini iaitu "Jejak 'Berpetualang ke Aceh' : Mengenang 3 malam di Langsa, tempat saya pertama kali bertapak di Aceh" diberi kerana Januari 2004 dahulu saya sempat menginap 3 malam di Langsa, di menara hadapan masjid raya... sebelum mengatur langkah untuk masuk lebih jauh lagi di Aceh. Perjalanan November 2011 pula adalah kali ke 3 saya sampai ke Langsa. Dan jika 8 tahun lalu saya sampai seorang diri kemudian bersama isteri Jun 2009, kali ini kami sampai bertiga, bersama anak kecil kami Rasyid yang namanya digunakan dalam buku.

Walaupun dalam perjalanan November 2011 isteri saya berbadan dua lagi, yang betul-betul boleh dikira sampai adalah saya, isteri dan Rasyid... kerana anak dalam perut masih bertaraf kandungan walaupun sudah sarat 6 bulan. Maka ada 3 kali 3 atau 333 (3 malam di Langsa tahun 2004, 3 kali saya sampai, dan perjalanan terbaru datang ber-3). Terasa ada semacam kesinambungan dengan artikel akan datang siri "Kembara Johor-Riau" yang akan dibuat dalam tempoh beberapa hari lagi insyaallah... kerana ia juga ada faktor 333. Tunggu... :]



1 ulasan:

Unknown berkata...

PENGKHIDMATAN PAKET TOUR DAN SEWA KENDERAAN UNTUK LAWATAN YANG BERBALOI DENGAN FAMILY KAT INDONESIA.

Assalamualaikum Tuan/Puan.


Salam dari Kita Holidays Travel & Tour Indonesia.
Kalau Tuan/Puan nak melawat ke Indonesia, jangan risau hati sila hubungi :

KITA HOLIDAYS TRAVEL & TOUR INDONESIA
Tour operator & Travel Agency

Kami menyediakan PAKET TOUR UNTUK PADANG dan BUKITTINGGI, BANDA ACEH, MEDAN, JAKARTA dan BANDUNG, JOGJAKARTA, SURABAYA, BALI MUSLIM TOUR, dan LOMBOK.

Dan kami juga mempunyai PENGKHIDMATAN KENDERAAN SAHAJA dengan harga yang sangat berpatutan untuk PADANG dan BUKITTINGGI, ACEH, MEDAN, JAKARTA dan BANDUNG dengan driver yang mesra, educated, baik hati, sopan, suka menolong dan sudah lama berpengalaman dalam memberikan pengkhidmatan pada pelancong dari Malaysia.

Kami berusaha menjadikan lawatan Tuan/Puan sangat berbaloi dan bermakna dengan famili dan rakan-rakan di masa percutiannya.

Contact person :

1. Amsyahril
( Director )

Mobile : +62 852 6300 7445 ( WhatsApp )

2. Riko Adryansyah
( Tour & Transportation Manager )

Mobile : +62 813 6565 4104 ( WhatsApp )

E-Mail : am_holidays@yahoo.com / kita_holidays@yahoo.com / kitaholidays@yahoo.com.