Manakan dapat sagu kalau tidak dipecahkan ruyungnya?
Manakan dapat mutiara yang berkerlipan jika takut menyelam ke lautan dalam.
Dalam diri setiap manusia, ada seketul daging.
Jika baik ia, maka baiklah seluruh jiwa manusia itu.
Jika buruk ia, buruklah juga manusia itu...
Seketul daging itu adalah hati,
mari kita lapangkan dada dan belajar mengIKHLASkan hati.
Perjalanan seribu batu bermula dengan satu langkah.
Marilah meneroka dunia pemikiran hamba.
Silakan

Video klip yang tertera boleh dianggap sebagai pembukaan kepada dunia pemikiran dan kesukaan hamba...







-------------------------


-------------------------



Segala yang dipaparkan menggambarkan pemikiran penulis yang turut terserap di dalam setiap penulisan buku dan artikel. Lihat Cara-cara mendapatkan buku tulisan Merah Silu @ Radzi Sapiee. Di atas adalah satu klip video selama hampir setengah jam yang merupakan demo pilot episode yang mahu digunakan untuk mencadangkan satu siri pengembaraan menyusuri sejarah Melayu Islam sekeliling Nusantara untuk siaran televisyen. Entah mengapa ia menemui masalah. Kemudian penulis diberitahu konsepnya diciplak sebuah stesyen televisyen. Lihat Kembara Sejarah Islam Nusantara : The original material...



Ini adalah klip video ulasan buku ketujuh saya "Jejak keluarga Yakin : Satu sketsa sejarah" berserta temuramah yang dibuat siaran langsung di Selamat Pagi Malaysia, RTM1. Lihat Siaran langsung ulasan buku "Jejak keluarga Yakin : Satu sketsa sejarah" dan temu ramah di Selamat Pagi Malaysia.



Penulis juga pernah diminta membuat pembentangan mengenai siri buku "Berpetualang ke Aceh" di Masjid Sultan Salahuddin iaitu masjid negeri Selangor di Shah Alam. Lihat Buku "Berpetualang" dan himpunan ulamak Nusantara yang diketuai ulamak Aceh


-------------------------



Siri novel "Berpetualang ke Aceh" boleh didapati dalam bentuk e-book. Masuk http://www.e-sentral.com/, klik kategori novel am dan taip perkataan "Aceh" pada kotak carian. Atau terus klik Buku 1,Buku 2 dan Buku 3.





Gambar ketika menghadiri satu majlis ilmu, diambil oleh sebuah akhbar harian. Lihat Menghiasi Kosmo Alam Melayu...



Penerbitan trilogi novel "Berpetualang ke Aceh" juga membawa penulis untuk terlibat dengan banyak majlis ilmu. Rujuk kumpulan links artikel di bawah tajuk "Siri Refleksi Sejarah", pada bahagian paling bawah kiri blogspot, . Penulis juga agak aktif dalam aktiviti-aktiviti kedaulatan Melayu dan Islam, dapat menganjurkan majlis-majlis sendiri di merata Semenanjung Malaysia membawa ke luar negara di Aceh. Lihat blogspot Himpunan Kedaulatan Melayu Islam Akhir Zaman (HIKMAH).


Ketika menulis perenggan ini 4 Mei 2015 penulis sedang berusaha untuk mengembangkan isi 3 buku dalam siri "Berpetualang ke Aceh" menjadi 6 buku yang akan membentuk siri baru dipanggil "Siri Pengembaraan Merah Silu". Sebuah syarikat penerbitan telah bersetuju untuk menerbitkan siri lama itu kembali dalam bentuk yang lebih segar - Setiap buku asal dipecah menjadi 2 buku baru yang ditambah maklumat, gambar dan peta berwarna-warni.Pertengahan September 2015 buku pertama siri baru pun selamat diterbitkan. Seminggu lebih kemudian penulis berpeluang bercakap tentangnya secara siaran langsung dalam televisyen lalu membawa wakil penerbit bersama. Lihat video di bawah :-





Awal tahun 2015 turut menyaksikan penulis diambil menjadi penyelidik dan hos satu siri dokumentari yang dipanggil "Daulah Melayu". Projek 13 episod sepanjang sejam setiap satu ini mahu mengenengahkan formula untuk mengembalikan kekuatan bangsa Melayu. Insyaallah projek iakan membawa penulis untuk mengembara ke merata di Malaysia dan Indonesia juga ke beberapa negara dan tempat di Eropah termasuk ke kota London, tempat penulis mengambil ijazah matematik 1991-1995. Siri dokumentari ini dijangka siap untuk tayangan televisyen dalam tempoh 2 tahun.


Pada 13 Mei 2023 buku ke 13 + 1 penulis (pertama setelah yang ke-13 terbit tahun 2019 lalu mula memberikan tumpuan pada pengajian pascasiswazah di ISTAC iaitu Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam di Bukit Tunku, Kuala Lumpur), Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin & Orang Kaya Arsyad telah dilancarkan oleh sejarawan ulung negara, Profesor Emeritus Datuk Dr Abdullah Zakaria Ghazali di rumah penulis. Lihat Majlis pelancaran buku dan rumah terbuka raya 2023 - Melestarikan semangat perjuangan. Beliau yang bertanggungjawab memberikan kata-kata aluan dalam buku turut menjadi pembicara dalam diskusi yang diadakan di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2023 (berlangsung 26 Mei hingga 4 Jun). Lihat Bicara buku Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin di PBAKL 2023. Diskusi ini terakam dalam video atas diikuti video bawah...



Khamis, April 26, 2012

Wacana manuskrip Melayu - Hang Tuah : Adiwira Dunia Melayu di Wisma Sejarah

Assalamualaikum semua. Kalau ikutkan malam ini  saya mahu bercerita tentang perjalanan kecil yang dibuat untuk menghadiri satu kursus menulis buku kanak-kanak anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka di Tanjung Tuan berdekatan Port Dickson dan apa yang berlaku di sana seminggu lalu. Tetapi ada acara pagi tadi yang terasa lebih elok 'dilepaskan' dahulu. Itupun dah jam 3 pagi baru saya menulis ayat ini. Kembali ke rumah 5 petang siang tadi saya dilanda rasa penat yang amat sangat. Tertidur sehingga Maghrib bangun sebentar kerana waktu solat kemudian tidur balik. Jam 11 malam tadi baru bangun semula untuk menyemak beberapa perkara sebelum memulakan artikel ini... :]



Tadi pagi Rabu saya berkejar ke Wisma Sejarah yang terletak bersebelahan bangunan Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) di Kuala Lumpur.


Ada program wacana manuskrip Melayu - Hang Tuah : Adiwira Dunia Melayu di Dewan Tun Hamdan Sheikh Tahir, Aras 2 bangunan...


Program dikatakan bermula 8: 30 pagi sedangkan saya sampai pun 9:30! 


Lega sungguh saya apabila mendapati program sebenar bermula jam 10. Yang bermula 8:30 itu adalah pendaftaran peserta dan menunggu hadirin juga orang penting sampai...








Di sisi dewan kelihatan ada pameran Hikayat Hang Tuah...




Ada beberapa naskah kitab Hikayat HT...








Ketika saya mengambil gambar pameran acara sudah pun bermula. Tetapi ia baru peringkat warm up. Suasana cuba dijadikan lebih selesa dengan satu persembahan penglipur lara dari orang lama, Pak Ali Badron @ Ali Badron Tarbus @ Cikgu Ali.


Saya pun terus mengambil gambar untuk tatapan pembaca. Nampaknya pameran ini banyak menyerlahkan cerita-cerita pilihan daripada kitab HHT berserta gambar-gambar hiasan. Sila klik pada gambar atau buka dalam windows baru untuk bacaan yang lebih jelas.

Nota : Ada gambar yang teksnya kelihatan bertindih. Ini disebabkan kadar cahaya rendah di kawasan pameran memerlukan saya sentiasa kukuh dan stabil memegang kamera automatik saya sekurang-kurangnya satu saat setiap kali mengambil gambar. Sedangkan kadang kala tangan kita sedikit tergoyang terutama apabila menekan butang tangkap. Mungkin masalah ini boleh diatasi dengan memakai kaca mata 3D. Mungkin teks yang bertindih boleh kelihatan menimbul dan lebih menyerlah... :]

























Puas mengambil gambar pameran baru saya mengikuti acara. Lihat klip video menunjukkan sedikit aksi penglipur lara dan keadaan dalam dewan...



Tidak lama kemudian sesi pembentangan pun bermula. Profesor Emeritus SN (Sasterawan Negara) Dr. Muhammad Haji Salleh membuka makalahnya yang bertajuk "Hang Tuah dalam budaya Alam Melayu". Ketika inilah baru saya sedar, pengacara televisyen untuk stesyen siaran  RTM, saudara Sayed Munawar yang terkenal dengan siri Kembara Buku adalah moderator atau pemudahcara wacana. Semasa sibuk mengambil gambar pameran saya ada ternampak beliau duduk di satu sisi dewan bersama hadirin lain, belum lagi naik ke pentas...

Kenalan ini sudah lama tidak  ditemui. Ketika mengacara program Resensi dalam rancangan Selamat Pagi Malaysia di RTM1 tahun 2007 beliau pernah menemuramah saya tentang siri buku "Berpetualang ke Aceh" (lihat Mengenang ulasan siri buku "Berpetualang ke Aceh" dalam program Resensi, Selamat Pagi Malaysia di RTM1 penghujung 2007....). Beliau kemudian memperkenalkan saya kepada penulis novel thriller terkenal Ramlee Awang Murshid yang mengacara program Resensi tahun 2011. Hasil perkenalan ini buku terbaru saya "Jejak keluarga Yakin : Satu sketsa sejarah" (lihat Sneak peek "Jejak keluarga Yakin : Satu sketsa sejarah") dapat muncul di kaca televisyen penghujung tahun itu. Lihat Siaran langsung ulasan buku "Jejak keluarga Yakin : Satu sketsa sejarah" dan temu ramah di Selamat Pagi Malaysia

Berbalik pada pembentangan, saya dapati isi makalah Prof. Muhammad agak serupa dengan apa yang telah dibentangkannya di Dewan Bahasa Pustaka awal tahun ini. Sila baca sedikit apa yang tertulis dalam artikel Forum Hang Tuah di DBP : Nampaknya Khoo Kay Kim masih bertegas Hang Tuah tidak wujud lalu terus memperkecilkan Melayu. Namun beliau ada menambah ilmu. Misalnya jika pada acara di DBP dahulu beliau menyebut ada 5 sumber tentang Hang Tuah, di sini beliau menambah lagi 4 iaitu guru silat, bomoh, Internet dan musikal/drama lalu memberikan contoh.

Prof. Muhammad juga menyebut bahawa ungkapan "Takkan Melayu hilang di dunia" yang dikatakan keluar dari mulut HT bukanlah daripada kitab Hikayat HT tetapi sebaliknya ungkapan moden yang muncul tahun 1930an dalam cerita mengenai tokoh itu. Kalau tak salah pendengaran, beliau menyebut ungkapan itu dipopularkan oleh A, Samad Ahmad yang ada menulis tentang HT juga membuat transliterasi kitab Sulalatus Salatin atau Sejarah Melayu karangan Bendahara Johor Tun Sri Lanang. Saya lebih tertarik apabila Prof. Muhammad menyebut ada kajian menunjukkan Hang Tuah sebagai berasal dari keturunan seorang tokoh bernama Sekanaq (harap ejaannya betul prof...) yang berasal dari Pulau Singkep, dalam lingkungan kepulauan Riau, selatan dari Pulau Bentan. Duyung yang dikatakan tempat asal HT seperti disebut dalam Hikayat juga terletak di Singkep. Beliau menceritakan bagaimana di pinggir Kota Palembang, Pulau Sumatera ada kuburan tua yang didakwa milik Hang Tuah. Tetapi apabila diselidik dan ditanya lebih mendalam baru penjaga makam mengaku ia adalah pusara seorang Arab.



Ketika menulis perenggan atas baru saya tersedar bahawa apa yang disebut Prof. Muhammad itu bercanggah dengan apa yang bakal disebut pembentang kedua, En. Khalid Hussin. Pengerusi Persatuan Sejarah dan Warisan Melayu Duyong (PESAWAD) ini bercakap atas dasar beliau dan sejumlah penduduk dari Kampung Duyong di Melaka dipercayai berasal dari keturunan Hang Tuah. Makalahnya yang bertajuk "Hikayat Hang Tuah dari sudut pandangan waris keturunan" ternyata menarik kerana mendedahkan banyak perkara yang tidak diketahui umum. Namun ia menimbulkan banyak persoalan yang akan dinyatakan kemudian.

Setelah memberikan kata-kata aluan dan membuat pengenalan diri, persatuan dan tajuk beliau pun mendedahkan cerita yang katanya adalah petikan dari cebisan-cebisan naskah kitab yang dipanggil Hikayat Laksamana Hang Tuah Kampung Duyong (HLHTKD). Kitab itu adalah sambungan daripada cerita seorang kaum kerabat mereka, disebut sebagai nenda bernama Lajim bin Selim oleh Khalid. Kalau tak salah  pendengaran kitab asal  yang kertasnya banyak sudah berkecai diatur balik dan ditransliterasi ke tulisan rumi oleh kerabat beliau yang bernama Md Yaacob Abdullah. Biar diletakkan cerita dari HLHTKD yang disebut Khalid dalam point form : -

1. Hang Tuah dan ibu bapanya memang sedia asal memakai gelaran Tun. Hang Tuah asalnya bernama Tun Tuah, bapanya Tun Mahmud dan ibunya Tun Lela Wati berasal dari kerajaan Bukit Siguntang di Palembang tetapi berhijrah ke Melaka kerana menjadi buruan kerajaan Majapahit lalu menukar nama, Tun Tuah menjadi Hang Tuah, Tun Mahmud menjadi Hang Mahmud dan Tun Lela Wati menjadi Dang Merduwati, nama-nama yang digunakan dalam teks popular Hikayat Hang Tuah.

2. Mereka dan pengikut-pengikut mereka singgah di Pulau Besar, Melaka di mana ayahanda kepada Tun Lela Wati mendapat sakit tua lalu mangkat dan dimakamkan di sana, begitu juga sahabatnya Tun Malakat. 

3. Tun Mahmud dan isterinya Tun Lela Wati menetap di Pulau Besar selama 40 hari sebelum berpindah ke kampung di Sungai Temu (sekarang dipanggil Padang Temu). Ketika mudik lalu berehat di kuala sungai timbul seekor ikan berupa ikan duyong lalu Tun Mahmud pun menamakan kampung itu Kampung Duyong. Di situlah mereka menetap, di situlah Hang Tuah dilahirkan pada waktu Subuh. Maka timbullah nama Duyong atau Duyung yang disebut sebagai tempat asal Hang Tuah dalam Hikayat Hang Tuah. 




Namun biar diingatkan cerita-cerita yang disebut Khalid ini tiada dalam Hikayat Hang Tuah yang dikenali ramai. Nampaknya ia adalah cerita-cerita dalam kitab terasing yang disimpan pihaknya dan keluarga, Ada banyak lagi cerita-cerita yang orang ramai tak biasa dengar termasuk satu kisah di sebalik hal pertikaman Hang Tuah dan Hang Jebat juga semasa kedatangan Portugis ke Melaka dan kenapa kuasa Barat untuk dapat menjajah Melaka tanpa dihalang Hang Tuah dan sahabat-sahabatnya. Tak perlulah dipanjangkan sangat. Biar disebut, Khalid menambah Hang Tuah membawa diri ke Palembang kerana fitnah lalu bersumpah tidak akan kembali lagi ke Melaka walaupun kerajaan itu menghadapi masalah diserang Portugis. Beliau akhirnya mangkat dan dimakamkan di sana.

Nah. Prof. Muhammad menyebut bahawa Hang Tuah berasal dari Duyong di Pulau Singkep tapi Khalid menyatakan tempat asalnya adalah Kampung Duyong di Melaka. Prof. Muhammad menambah kuburan tua di Palembang yang dikatakan milik Hang Tuah sebenarnya adalah pusara seorang Arab, Khalid menyebut Hang Tuah mangkat dan dimakamkan di Palembang. Sekali lagi biar diberitahu, perbezaan ketara ini cuma saya sedari ketika mula menulis artikel ini sekitar jam 3 pagi Khamis. Semasa mendengar pembentangan Khalid pula hati saya menyebut ada yang tak kena. Ia mempersoalkan asal-usul ibu bapa Hang Tuah dari Bukit Siguntang. Persinggahan ke Pulau Besar dan beberapa hal lain pula terasa seperti berasal dari perkhabaran ghaib yang perlu diperhalusi lagi kerana takut dicemari tipu daya makhluk halus jin.


Selepas pembentangan sampailah masa untuk bersoal jawab. Disebabkan masa terhad cuma empat orang sahaja dapat ke hadapan di mana cuma saya dan seorang warga Libya yang pandai berbahasa Melayu sahaja bertanyakan soalan, dua lagi mahu menyatakan pendapat atau menunjukkan pengetahuan. Warga Libya muncul sebagai orang pertama ke hadapan. Pada mulanya pelik juga saya apabila mendengar orang bercakap Melayu fasih tetapi ada tajwid Arab. Rupa-rupanya memang orang Arab. Beliau bertanya tentang kewujudan manuskrip-manuskrip lama Melayu yang pernah dilihatnya di Tanah Arab.

Saya tampil sebagai orang ketiga ke hadapan. Belum sempat memperkenalkan diri, pemudahacara Sayed Munawar sudah memotong lalu memperkenalkan saya sebagai Merah Silu. Kemudian baru saya dapat menyebut nama yang lebih dekat pada isi kad pengenalan iaitu Radzi Sapiee. Adapun pihak PESAWAD yang diterajui Khalid sering bercakap tentang satu naskah kitab Hikayat Hang Tuah yang katanya ditulis oleh sepupu Hang Tuah bernama Tun Kolah. Ia telah diserahkan untuk penjagaan dan simpanan Perpustakaan Negara ataupun PNM.

Oh. Ingin dinyatakan di sini. Saya dapat tahu tentang wacana ini apabila seorang sahabat yang berasal dari Kesang di sempadan Muar-Melaka tetapi berkerja di Putrajaya memberitahu tentangnya seminggu lalu. Namun saya mendapat jemputan rasmi dari PNM hari Selasa iaitu sehari sebelum acara bermula. Wacana ini adalah anjuran bersama Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, PNM serta Persatuan Sejarah Malaysia dengan kerjasama Akademi Pengajian Melayu dan Jabatan Sejarah Universiti Malaysia. Kalau tak salah Dewan Bahasa dan Pustaka terlibat juga dan pengacara majlis ada menyebut ini adalah acara ke 7 yang serupa dengannya, diadakan di premis pihak-pihak yang terlibat.

Soalan saya mula-mula ditujukan kepada Khalid. Apakah cerita yang disebutnya sebagai petikan dari Hikayat Laksamana Hang Tuah Kampung Duyong Melaka atau HLHTKDM itu adalah sama dengan yang terdapat dalam Hikayat Hang Tuah oleh Tun Kolah. Ini kerana ia lain benar dengan isi kitab HHT yang pernah saya baca sampai habis sekurang-kurangnya dua kali. Soalan susulan ditujukan kepada Prof. Muhammad, apakah pandangannya terhadap cerita yang disebut Khalid, bagaimana dia menilainya dari sudut keabsahan sejarah. Kerana saya khuatir apa yang dipegang Khalid dan PESAWAD itu bersifat terlalu subjektik, ada tokok tambah untuk memperbesar-besarkan hal dan kepentingan keluarga.


Ini adalah gambar ketika penutupan majlis. Pembentang dan tetamu-tetamu terhormat diberi cenderamata dari pihak penganjur.


Oh. Tentang soalan tadi, kata Khalid apa yang disebut dalam pembentangannya sama dengan apa yang tertera dalam Hikayat Hang Tuah versi Tun Kolah. Saya pula memang tak tahu kerana tidak pernah membacanya. Walaupun pihak PNM menyatakan sudi membiarkan saya mengkaji jika mahu saya menolak. Ini kerana ia dibuat dalam tulisan jawi dan bacaan saya dalam tulisan itu boleh dikatakan merangkak. Bayangkan hendak membaca kitab HHT yang dirumikan pun boleh jadi penat kerana memakan lebih 500 muka surat inikan cuba menelaahnya dengan bacaan dalam tulisan yang kita tidak lancar!

Prof. Muhammad pula seperti berkias apabila mengingatkan cerita-cerita yang dibincangkan harus berteraskan sejarah. Seharusnya ada rujukan silang yang boleh dipadankan dengan cerita-cerita yang lebih memiliki authority seperti terdapat dalam misalnya kitab Sulalatus Salatin yang sudah menjadi rujukan ramai tentang sejarah Melayu buat sekian lama. Kemudian baru saya diberitahu pihak lain, Prof. Muhammad tidak bersetuju dengan apa yang dinyatakan Khalid, begitu juga halnya beberapa pengkaji lain. Malah mereka mengharapkan agar seseorang dari kalangan hadirin dapat mengemukakan soalan seperti yang saya tanyakan.

Senang cerita, kesimpulan yang diberi Prof. Muhmmad adalah kajian belum mencukupi. Orang Melayu tak cukup baca dan masih banyak berkhayal. Cukup...


Ini pula suasana selepas makan tengah hari di bilik VIP.


Profesor Abdullah Zakaria dari Jabatan Sejarah UM (sedang mengambil gambar ini) meminta saya bergambar sama. Ketika ini Prof. Muhammad sedang ditemu ramah media.


Oh. Semasa di meja makan tadi banyak juga yang dibincangkan. Saya duduk semeja dengan pengerusi Persatuan Sejarah Malaysia, Dato' Hashim (kiri sekali dalam gambar) yang merupakan hadirin terhormat dan Prof. Muhammad. Turut duduk semeja adalah Sayed Munawar dan Khalid.

Antara perkara yang saya bawa bincang adalah tempoh pemerintahan raja-raja yang dikatakan berketurunan Iskandar Zulkarnain. Saya dapati, dengan mencampurkan tempoh-tempoh pemerintahan yang disebut dalam kitab Sulalatus Salatin versi Raffles 18, juga dikenali sebagai versi Raja Bongsu (versi lain tidak lengkap tempoh pemerintahan), ia dapat diselarikan dengan kewujudan Alexander the Great dari Macedonia (dikatakan sekitar 330 Sebelum Masihi), Raja Nurshirwan Adil dari Parsi (sekitar 570 Masihi) dan Raja Rajendra Chola di India (sekitar 1020-1044 M). Saya terlupa bahawa bacaan saya itu adalah berdasarkan kitab SS terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka yang diselenggarakan dan ditransliterasi dari jawi kepada rumi oleh Prof. Muhammad! 

Maka itu biar diberitahu terutama kepada Prof. Muhammad. Terima kasih atas usaha Prof membuat kitab SS versi Raja Bongsu ini senang dibaca. Saya percaya, disebabkan usaha Prof lah kerajaan Melaka sekarang dapat menetapkan tarikh pengasasan Melaka sebagai 1262 M, bukan lagi sekitar 1400 M seperti diterima pakai selama ini akibat kajian Barat yang nampaknya memiliki motif tertentu. Disebabkan isi kitab SS itulah saya dapat memulakan langkah untuk mengusahakan sesuatu yang diharapkan dapat lebih memartabatkan hak kita ke atas tanah ini sebagai orang Melayu, insyaallah! :]

Oh. Encik Khalid ada meminta saya agar memperbesarkan nama Hang Tuah di Intenet. Saya rasa nama HT tidak perlu diperbesarkan lagi kerana ia memang sudah cukup besar. Apa yang diperlukan adalah usaha agar cerita Hang Tuah tidak dianggap dongeng. Maka itu harus diasingkan bahagian yang mungkin ditokok-tambah dengan hal sebenar sehingga tiada keraguan lagi bagi sesiapa pun bahawa Hang Tuah itu memang  benar-benar wujud secara nyata, bukan sekadar watak dalam mitos dan khayalan. Untuk itu biar diberitahu saya sudah lama membuat usaha ke arah ini. Rujuk beberapa artikel lama saya :-








12 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Misteri Hang Tuah seumpama misterinya kewujudan bangsa Melayu di Nusantara ini.

Asal usul Hang Tuah misterinya seumpama misterinya asal usul Raja Melayu Purba.

(Raja Melayu 'pertengahan' telah diketahui asal-usulnya, begitu juga asal-usul raja Melayu sekarang)....


Itulah hakikat istimewanya bangsa Melayu yang banyak misteri. Kerana misteri itulah bangsa Melayu berbeza dengan yang lain dan sering menjadi tumpuan masyarakat dunia timur dan barat....

Hang Tuah sebenarnya wujud sama seperti manusia lain. Hubungan Hang Tuah dengan gurunya Sang Adi Putra membuatkan ramai yang meyakini bahawa Hang Tuah tidaklah terlalu misteri... yang cuma tidak dapat dibuktikan melalui sejarah sahaja...

Tanpa Nama berkata...

hang tuah cuma sendiwara kisah dongengan manusia terdahulu yang telah di karyakan sesuai cerita dizaman silam .. sampai bila melayu terus diperbodohkan dijaja dengan cerita penglipur lara jika benar kenapa masih belum ditemui bukti sejarah yg kukuh yg bukan dari andaian pakar sejarah.. terima lah hakikat bahawa hang tuah memang tak wujud sama sekali ... lupakan sejarah hang tuah dan bangkit kan melayu yg menjadi jati diri bangsa...

Tanpa Nama berkata...

Anon 10:40

Nampaknya kamu adalah salah seorang mangsa kelicikan Inggeris serta mereka yang tamak kuasa. Pakatan mereka inilah merosakkan sejarah untuk menghilangkan jati diri Melayu!

Tanpa Nama berkata...

Tun Dr. Mahathir seorang doktor yang menjadi ahli politik berjaya. Sejarah telah mengajar beliau untuk berjaya. Ungkapan beliau, Melayu Mudah Lupa membuktikan bahawa bangsa Melayu hari ini malas untuk belajar sejarah. Apa yang terjadi kepada bangsa Melayu hari ini disebabkan bangsa itu mudah lupa.

Jatidiri ialah tidak mudah terpengaruh dengan dongengan orang luar.

Tanpa Nama berkata...

Terdapat banyak pihak daripada ahli akademik bertaraf professor phd sehinggalah rakyat marhain berkata tentang kewujudan Hang Tuah. Adakah prof itu sama pemikiran dengan orang biasa, berhujah dengan khayalan

Tanpa Nama berkata...

nak kaji sejarah Hang Tuah kenalah kaji sejarah Nusantara. bukan kaji sejarah Hang Tuah satu sumber sahaja

yang malas belajar sejarah perhatikan aja dan fikir pakai otak. jangan asyik dok menafikan saja!

Tanpa Nama berkata...

Hang tuah tidak asing pada dunia tasawuf....yang dipangil adiputra salah sorang dari wali songo...makam ht ada di melaka tapi dah x da tanda di hakis pantai...masjid kpg hulu tempat bersuluk satu ketika dulu..

GW berkata...

Salam...saya ada menyimpan salinan hikayat hang tuah yang ditulis oleh tun kolah. Yaacob abdullah yang disebut adalah datok sedara saya. Salinan yang saya simpan adalah yang dibuat oleh PNM untuk keluarga yaacob abdullah. Tak lalu nak membacanya...heheh....mungkin nanti akan saya serahkan kepada Pesawad. Untuk makluman kita pernah minum teh halia bersama kat area masjid india dengan rakan saya iaitu raizul. Kalau ingat laa...heheh

Skudal berkata...

menarik kisah hang tuah ni.. banyak yang kita tak tahu lagi rupanya... harap kisah beliau tak hilang begitu saja

Tanpa Nama berkata...

Ada 7 soalan dng 1 jwapan tentng Hang Tuah: Soalan 1. Knapa Hang Tuah ada perigi sendiri. 2. Kenapa bilik tidur Hang Tuah diasingkan wktu berguru. 3. Kenapa Hang Tuah serahkan kekasih wnita org daratnya pada Sultan. 4. Kenapa Hang Tuah Sanggup berikan sirih pelupa pada Tun Teja, supaya boleh melupakan dia. 5. Kenapa Taming Sari tak jadi tikam Hang Tuah selepas menendang dada Hang Tuah. 6. Kenapa Dtk Bendahara tak jadi bunuh Hang Tuah sebaik sja Hang Tuah membuka dada untuk ditikam. 7. Kenapa Hang Tuah ghaib???????...Jwapannya: SEBAB HANG TUAH GAY.

Tanpa Nama berkata...

BKN GAY...KHUNSA!!! ADA BUAH DADA!!!

Unknown berkata...

Btul jgk ye...klu x ghaib...bila mandikan mayat masa Hang Tuah mati...x ke haru dibuatnya!!!