Manakan dapat sagu kalau tidak dipecahkan ruyungnya?
Manakan dapat mutiara yang berkerlipan jika takut menyelam ke lautan dalam.
Dalam diri setiap manusia, ada seketul daging.
Jika baik ia, maka baiklah seluruh jiwa manusia itu.
Jika buruk ia, buruklah juga manusia itu...
Seketul daging itu adalah hati,
mari kita lapangkan dada dan belajar mengIKHLASkan hati.
Perjalanan seribu batu bermula dengan satu langkah.
Marilah meneroka dunia pemikiran hamba.
Silakan

Video klip yang tertera boleh dianggap sebagai pembukaan kepada dunia pemikiran dan kesukaan hamba...







-------------------------


-------------------------



Segala yang dipaparkan menggambarkan pemikiran penulis yang turut terserap di dalam setiap penulisan buku dan artikel. Lihat Cara-cara mendapatkan buku tulisan Merah Silu @ Radzi Sapiee. Di atas adalah satu klip video selama hampir setengah jam yang merupakan demo pilot episode yang mahu digunakan untuk mencadangkan satu siri pengembaraan menyusuri sejarah Melayu Islam sekeliling Nusantara untuk siaran televisyen. Entah mengapa ia menemui masalah. Kemudian penulis diberitahu konsepnya diciplak sebuah stesyen televisyen. Lihat Kembara Sejarah Islam Nusantara : The original material...



Ini adalah klip video ulasan buku ketujuh saya "Jejak keluarga Yakin : Satu sketsa sejarah" berserta temuramah yang dibuat siaran langsung di Selamat Pagi Malaysia, RTM1. Lihat Siaran langsung ulasan buku "Jejak keluarga Yakin : Satu sketsa sejarah" dan temu ramah di Selamat Pagi Malaysia.



Penulis juga pernah diminta membuat pembentangan mengenai siri buku "Berpetualang ke Aceh" di Masjid Sultan Salahuddin iaitu masjid negeri Selangor di Shah Alam. Lihat Buku "Berpetualang" dan himpunan ulamak Nusantara yang diketuai ulamak Aceh


-------------------------



Siri novel "Berpetualang ke Aceh" boleh didapati dalam bentuk e-book. Masuk http://www.e-sentral.com/, klik kategori novel am dan taip perkataan "Aceh" pada kotak carian. Atau terus klik Buku 1,Buku 2 dan Buku 3.





Gambar ketika menghadiri satu majlis ilmu, diambil oleh sebuah akhbar harian. Lihat Menghiasi Kosmo Alam Melayu...



Penerbitan trilogi novel "Berpetualang ke Aceh" juga membawa penulis untuk terlibat dengan banyak majlis ilmu. Rujuk kumpulan links artikel di bawah tajuk "Siri Refleksi Sejarah", pada bahagian paling bawah kiri blogspot, . Penulis juga agak aktif dalam aktiviti-aktiviti kedaulatan Melayu dan Islam, dapat menganjurkan majlis-majlis sendiri di merata Semenanjung Malaysia membawa ke luar negara di Aceh. Lihat blogspot Himpunan Kedaulatan Melayu Islam Akhir Zaman (HIKMAH).


Ketika menulis perenggan ini 4 Mei 2015 penulis sedang berusaha untuk mengembangkan isi 3 buku dalam siri "Berpetualang ke Aceh" menjadi 6 buku yang akan membentuk siri baru dipanggil "Siri Pengembaraan Merah Silu". Sebuah syarikat penerbitan telah bersetuju untuk menerbitkan siri lama itu kembali dalam bentuk yang lebih segar - Setiap buku asal dipecah menjadi 2 buku baru yang ditambah maklumat, gambar dan peta berwarna-warni.Pertengahan September 2015 buku pertama siri baru pun selamat diterbitkan. Seminggu lebih kemudian penulis berpeluang bercakap tentangnya secara siaran langsung dalam televisyen lalu membawa wakil penerbit bersama. Lihat video di bawah :-





Awal tahun 2015 turut menyaksikan penulis diambil menjadi penyelidik dan hos satu siri dokumentari yang dipanggil "Daulah Melayu". Projek 13 episod sepanjang sejam setiap satu ini mahu mengenengahkan formula untuk mengembalikan kekuatan bangsa Melayu. Insyaallah projek iakan membawa penulis untuk mengembara ke merata di Malaysia dan Indonesia juga ke beberapa negara dan tempat di Eropah termasuk ke kota London, tempat penulis mengambil ijazah matematik 1991-1995. Siri dokumentari ini dijangka siap untuk tayangan televisyen dalam tempoh 2 tahun.


Pada 13 Mei 2023 buku ke 13 + 1 penulis (pertama setelah yang ke-13 terbit tahun 2019 lalu mula memberikan tumpuan pada pengajian pascasiswazah di ISTAC iaitu Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam di Bukit Tunku, Kuala Lumpur), Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin & Orang Kaya Arsyad telah dilancarkan oleh sejarawan ulung negara, Profesor Emeritus Datuk Dr Abdullah Zakaria Ghazali di rumah penulis. Lihat Majlis pelancaran buku dan rumah terbuka raya 2023 - Melestarikan semangat perjuangan. Beliau yang bertanggungjawab memberikan kata-kata aluan dalam buku turut menjadi pembicara dalam diskusi yang diadakan di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2023 (berlangsung 26 Mei hingga 4 Jun). Lihat Bicara buku Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin di PBAKL 2023. Diskusi ini terakam dalam video atas diikuti video bawah...



Ahad, Januari 01, 2012

Kembara Johor-Riau : Melihat nasib Melayu di Geylang Serai dan Jalan Ampas sebelum berkejar ke Riau

Alhamdulillah. Hari ini Ahad masuklah tahun baru 2012. Sejak Jumaat 2 hari lalu hits counter menunjukkan blogspot ini sudah dikunjungi lebih 500,000 kali, satu pencapaian yang agak mengujakan. Ia memang tidak setanding pencapaian blogspots popular yang banyak sudah melepasi 1 juta pengunjung. Tetapi bagi saya sebagai pemilik blogspot kecil ini yang dimulakan dengan artikel Apa-apa aje le... (ditulis pada 12 November 2006) lebih 5 tahun lalu, ia adalah satu penanda aras yang amat memberangsangkan.

Sukacita juga dimaklumkan hari ini terbitlah artikel yang ke 939 di blogspot ini. Ia tidak lain adalah artikel ini, meneruskan siri baru "Kembara Johor-Riau" yang sedang diselang-selikan dengan siri "Jejak 'Berpetualang ke Aceh'". Maka bersambung kita dari Kembara Johor-Riau : Muar, Singapura, Parit Betak...



Pagi Isnin 12 Disember 2011 kami mengikuti seorang ibu saudara dan suaminya melepasi Sungai Seletar di mana boleh kelihatan pelabuhan Pasir Gudang yang terletak tidak jauh dari bandar raya Johor Bahru.


Asalnya selepas bermalam di rumah mereka di Yishun kami mahu terus masuk kembali ke Malaysia melalui Woodlands. Tetapi mereka mengajak kami bersarapan di Geylang Serai.


Untuk ke sana kami harus turun kembali agak jauh ke selatan menghampiri pusat bandar raya Singapura sedangkan Yishun yang terletak di utara pulau sudah cukup dekat untuk kembali ke Malaysia. Namun kami ikut sama kerana satu tidak mahu menghampakan pelawaan mereka yang begitu teruja mahu membawa kami berjalan. Kedua, kami sebenarnya tidak puas melihat negara ini. Maklumlah masuk pada hari sebelumnya pun sudah lewat petang... sampai ke makam Habib Nuh waktu malam sebelum harus berkejar menemui saudara mara di Yishun...


Dan ketiga saya sudah lama tidak ke Geylang Serai sementara isteri langsung belum pernah sampai.


Semasa membesar di Muar dahulu saya dan keluarga akan pergi ke Singapura sekurang-kurangnya sekali setahun untuk menziarahi saudara mara.



Geylang Serai merupakan satu tempat yang mesti kami kunjungi. Selain menjadi tumpuan masyarakat Melayu Singapura, seorang bapa saudara saya juga pernah berniaga di sini.


Kali terakhir saya singgah kalau tak salah ingatan adalah semasa menuntut di Tingkatan Tiga iaitu lebih 26 tahun lalu. Sejak tahun 2006 saya sudah beberapa kali lagi pergi ke negara pulau ini tetapi sekadar lalu di sekitar Geylang.





Saya baru dapat tahu bangunan lama yang menempatkan kedai-kedai di Geylang Serai telah dirobohkan lalu digantikan bangunan lebih moden. Maka saya pun mahu melihat keadaan.


Kelihatan ia lebih luas dan teratur berbanding dahulu.


Kami makan sebelum melihat kain dan pakaian. Di sini juga ada pasar untuk barangan kering dan basah.


Secara rata apa yang kelihatan adalah baik belaka kerana menunjukkan kemajuan. Tetapi hakikatnya tidak sebegitu saya diberitahu. Secara luarannya ia dan kawasan sekitar telah dimajukan untuk memberi lebih keselesaan kepada orang ramai. Hakikatnya satu kawasan majoriti orang Melayu telah dipecahkan komposisi penduduknya. Apabila rumah pangsa sekitar turut digantikan dengan yang baru, tidak semua dapat kembali ke kawasan ini. Ramai disuruh keluar mencari rumah baru di tempat lain sementara kaum bukan Melayu dibawa masuk ke Geylang Serai.

Saya difahamkan inilah realiti di Singapura di mana setiap kawasan rumah pangsa diatur agar lebih 70 peratus penduduknya berbangsa Cina, sekitar 15 peratus gitu sahaja bangsa Melayu. Alasannya supaya menggambarkan komposisi keseluruhan penduduk negara. Hakikatnya ini dilakukan agar tidak wujud lagi walau satu pun kubu kuat Melayu di pulau ini.



Antara mangsa kemajuan adalah perkampungan Melayu di sebelah kompleks Geylang Serai.



Dahulu, seluruh kawasan ini dan sekitarnya memang kampung Melayu. Kemudian 'dimodenkan' menjadi rumah pangsa dengan kawasan kecil berpagar ini sahaja masih menggambarkan warisan lama apabila dijadikan kampung budaya. Namun inipun hendak dirampas katanya. Kawasan ini sudah ditutup dan saya diberitahu menunggu masa sahaja untuk dirobohkan menjadi kompleks membeli-belah moden.


Hakikatnya orang Melayu di Singapura adalah minoriti yang warisannya kini tinggal menjadi tontonan pelancong. Kalau kita di Malaysia tidak berhati-hati, nasib serupa juga boleh menimpa. Contoh kecil adalah Pasar Seni atau Central Market di Kuala Lumpur di mana dahulu ramai anak seni Melayu mencari makan sambil mempamirkan kebolehan melukis dan sebagainya. Selepas pentadbirannya diambil alih, kalau tak salah oleh satu syarikat di Singapura iapun dicantikkan.

Selepas itu sewa gerai dan ruang kedai dinaikkan berlipat kali ganda sehingga tidak ramai orang Melayu mampu bertahan. Kini ruang untuk mereka tinggal sedikit sahaja sehingga nampak sangat orang Melayu sudah menjadi minoriti di situ. Lihatlah sendiri di sebalik kecantikan dan kecanggihan kedai-kedai. Perhatikan bagaimana keadaan di Central Market hampir menyerupai realiti komposisi masyarakat di Singapura...


Oh. Ketika ini kami sudah berjalan di kawasan lain tetapi berdekatan. Singgah di masjid ini. Lihat artikel Masjid (Mosque of) Khalid, Singapura di blogspot SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART).


Sekitar 50 meter dari masjid tadi pula boleh kelihatan masjid ini.


Pelik juga memikirkan macamana boleh ada 2 buah masjid yang terletak begitu dekat.


Masuk ke dalam baru tersedar. Ni masjid orang Qadiani le. Patutlah terasa lain macam. Lihat sendiri dengan Google apa masalahnya Qadiani ni...


Seterusnya kami lalu di Tanjong Katong. Ingat tak lirik lagu terkenal tahun 60an (ke 70an) ini?

Di Tanjong Katong,
airnya biru,
di situ tempatnya
dara jelita.

Dahulu memang ada tanjung sebab letaknya di tepi laut. La ni laut dah ditambak begitu jauh. Yang ada adalah pembangunan merata...



Seterusnya kami pergi ke Jalan Ampas.


Kawasan ini dahulu terkenal dengan Studio Jalan Ampas di mana banyak filem P. Ramlee diterbitkan. Tapi studio ni dah 'bungkus' sejak tahun 1967 lagi gitu. Katanya kerana filem Melayu tak laku, filem luar dah banyak masuk. Walhal saya difahamkan studio ditutup atas arahan bekas Perdana Menteri Lee Kuan Yew yang risau tentang kesatuan Melayu yang semakin meningkat diterajui tokoh-tokoh filem terkenal. Sekarang yang tinggal cuma kesan-kesan seperti bekas studio yang sudah dijadikan gudang.


Takpa. Kesan pun kesanlah. Janji ada nostalgia...





Baca ini...


Bangunan pejabat studio pun masih ada.


Seterusnya kami pergi ke satu tempat yang menurut bapa saudara saya pernah terletak makam seorang anak perempuan kepada Habib Nuh. Sharifah Zubaidah namanya kalau tak salah ingatan...


Menurut bapa saudara, semasa kecil dahulu dia selalu bermain di sekitar ini. Kemudian dia berpindah dan sudah lama tak datang. Tahu-tahu makam juga sudah dipindahkan, entah ke mana.


Puas melihat tempat-tempat tersebut kami terus ke Johor Bahru melalui Woodlands.


Selepas menyelesaikan satu hal di kawasan berdekatan Tampoi kami kembali ke pusat bandaraya lalu singgah di sini. Lihat Surau (Small praying hall of) Al-Attas, Johor Bahru.


Seterusnya kami ke kompleks jeti di Stulang Laut untuk mendapatkan bot atau feri terakhir iaitu feri jam 5 ke Pulau Bentan. Pulau yang terletak di kepulauan Riau, Indonesia ini banyak sejarahnya. Di situlah watak lama Sang Nila Utama membesar sebelum membuka kerajaan Melayu Singapura. Peristiwa ia dikatakan berlaku sebelum muncul keSultanan Melaka.

Menurut kitab Hikayat Hang Tuah, Bentan adalah tempat pahlawan Melayu tersohor Hang Tuah dan kawan-kawannya membesar sebelum berpindah ke Melaka. Megat Seri Rama yang membunuh Sultan Mahmud dijulang juga disebut berasal dari situ sehingga dikenali sebagai Laksamana Bentan. Pulau itu pernah menjadi tempat beberapa orang Sultan empayar Johor-Riau-Lingga bersemayam, empayar yang mewarisi jajahan takhluk empayar Melaka selepas kejatuhan Kota Melaka ke tangan Portugis tahun 1511. Namun sebab utama kami datang adalah untuk menyambung wasilah kerohanian dengan leluhur Bugis belah ibu saya. Di Bentan terutama di pulau kecil yang bernama Pulau Penyengat menghadap bandar utama iaitu Tanjung Pinang, terdapat makam beberapa orang Yang dipertuan Muda Riau, anak-anak Raja Bugis yang menjadi orang kedua paling berkuasa dalam empayar.



Adapun perjalanan ke Bentan ini adalah perjalanan tambahan yang 'diselitkan' kemudian. Beberapa hari sebelum itu ada kenalan bertanya bagaimanakah caranya jika mahu pergi ke Tanjung Pinang. Sebelum itu saya menyangkakan seseorang itu perlu pergi ke Pulau Batam di selatan Singapura terlebih dahulu kemudian baru boleh menyeberang timur atau tenggara ke Bentan. Pertanyaan tersebut membuat saya mencari maklumat yang lebih tepat di Internet. Lalu baru mendapat tahu terdapat feri terus dari Stulang Laut di Johor Bahru dan tambangnya tidaklah terlalu mahal.


Sebelum itu saya pernah berkira-kira mahu ke Bentan tetapi tidak tahu bila dan apakah cara terbaik untuk sampai ke sana. Apabila mendapat tahu ada feri terus saya semakin teruja. Kebetulan kami memang mahu ke Singapura di mana buku terbaru saya "Jejak keluarga Yakin : Satu sketsa sejarah" memang ditunggu-tunggu saudara mara. Hasil jualan buku itulah yang dibuat belanja.

Di atas kelihatan anak kecil kami Al-Rasyid bersama seorang penumpang yang baru dikenali, seorang warga Malaysia yang selalu berulang alik ke Bentan, katanya untuk satu projek ternakan. Oh. Sebelum itu risau juga saya takut tidak dapat menaiki feri kerana isteri yang sudah sarat mengandung lebih 7 bulan. Takut tidak dibenarkan naik kerana boleh terberanak di atas kapal, tak pun di negeri orang. Alhamdulillah, Allah bersama kami. Seperti keadaannya ketika memasuki Singapura kami tidak menemui apa-apa halangan.

Perjalanan menaiki bot menawarkan pemandangan menarik. Bagi orang seperti saya yang suka membandingkan kedudukan tempat-tempat melalui peta dan gambar satelit seperti boleh dilihat di Internet juga program Google Earth ia adalah satu nikmat yang tersendiri. Dari Stulang Laut bot membelah perairan Selat Tebrau melepasi tempat-tempat seperti Pasir Gudang di Johor juga Seletar dan Pulau Ubin di Singapura. Turut kelihatan kuala Sungai Johor yang luas sebelum bot masuk ke selatan Pulau Tekong sehingga terlihat menara lapangan terbang Changi di timur Singapura. Kemudian ia membelok ke selatan masuk perairan Laut Cina Selatan lalu kelihatan Pulau Batam diikuti Pulau Bentan. Lihat artikel Boat trip to Riau from Johor di blogspot BERPETUALANG KE ACEH.


Kami sampai malam setelah 3 jam perjalanan. Terus disambut seorang kenalan Facebook bernama Raja Syukri yang merupakan warga tempatan. Setelah mendapat penginapan murah beliau membawa kami ke rumah pemangku adat Riau. Rupa-rupanya ada acara menarik lagi bersejarah menunggu dan kami dijemput hadir. Sehingga rancangan untuk menginap 2 malam dipanjangkan lagi satu malam...

Cukuplah cerita untuk hari ini ya. Terima kasih diucapkan kepada Bik Yati dan Uncle Ibrahim yang sudi menyambut kami di Singapura lalu membenarkan kami menginap di rumah mereka. Terima kasih juga kepada Bik Nor dan Uncle Rashid yang turut menyambut dan menemani makan malam serta Uncle Saad yang bersusah payah datang lewat semata-mata untuk memberi kupon khas meletak kereta overnight atau malam hingga ke pagi. Walhal beliau baru sahaja kembali daripada menghadiri majlis perkahwinan jauh di Tenggaroh, Mersing. :]



9 ulasan:

PUTERI berkata...

MS, saya sudah menghubungi Raja Syukri akan pemergian saya ke Tg Pinang...saya kenal beliaupun melalui FB MS..alhamdulillah..Bagaimana hendak tahu jadual Feri dari Stulang Laut ke Bentan itu?

Radzi Sapiee berkata...

Senang aje. Tengok sini... http://www.zon.com.my/ferry.html

Unknown berkata...

salam, saya suka baca bahagian perengan perenggan tentang nasib melayu tu....kita agaknya di sini dah nak ke arah tu jugak kot...

Radzi Sapiee berkata...

Wassalam. Tu le. Marahkan nyamuk kelambu mahu dibakarnya. Silap gaya besok boleh terus telanjang bulat sementara bangsa lain berpakaian semakin mewah. Masa tu negara Islam dah tentu tak menjadi negara berkebajikan pun entah ke mana. Yang ada cuma negara mata sepet yang mana si mata satu mengawal segalanya dari atas, orang Melayu boleh jadi macam Red Indian di Amerika atau Aborigines di Australia.

Nurun Nur 9111 berkata...

salam...

saudara berjalan ke sana sini...sepertinya mencari sesuatu atau seseorang...yang mana masih belum ketemu...dan saya pasti bila sudah ketemu,pasti saudara berhenti dan menetap di tempat kepuasan saudara...

wallahualam...sekadar pandangan...

Radzi Sapiee berkata...

Wassalam. Tak semestinya.

Rasullullah SAW naik Israq dan Mikhraj melepasi tujuh petala langit, melihat semua isi syurga dan neraka melepasi sidratul muntaha sehingga sampai jarak 2 busur dengan Allah Ta'ala. Itu adalah pencapaian paling tinggi boleh dicapai oleh mana2 makhluk. Maka baginda tentulah sudah terjumpa apa yang mahu dicari bukan?

Tetapi adakah baginda duduk diam selepas itu? Tidak. Israq dan Mikhraj berlaku setelah 12 tahun baginda menjadi rasul di mana kerasulan itu sendiri adalah satu kemuncak dalam perjalanan kerohanian. Selepas tahun ke 13 baginda pun berhijrah ke Madina di mana baginda bertemu orang2 yang betul2 dapat menolong mendirikan sebuah negara Islam.

Apakah baginda diam selepas itu? Tidak. Banyak lagi perlu diperbuat selain berlaku Perang Badar, Perang Uhud, Perang Khandaq dan bermacam lagi konflik sambil agama Islam mahu diperluaskan ke seluruh Semenanjung Arab. Pendek kata Rasulullah SAW tidak pernah betul2 berhenti dan menetap sampai ke akhir hayat.

Saudari. Orang yang mengaji Tasawuf sering menyebut Awaluddin Makrifatullah - awal agama itu mengenal Allah. Namun ramai menyangkakan apabila sudah 'sampai' kepada Allah mereka sudah mencapai tingkat tertinggi dalam kehidupan. Walhal ia baru permulaan bagi mereka yang betul2 tahu hakikat sebenar segala bentuk kewujudan baik yang boleh dilihat mahupun yang ghaib dan paling tersembunyi dari pengetahuan. :]

Nurun Nur 9111 berkata...

salam sekali lagi,

maaf saudara,bukan itu maksud saya...dan memang saya akui di setiap titik akan ada permulaan kepada yang baru...

saya tak berapa pasti apa yang saudara cari...dan mungkin saudara juga tak berapa pasti kemana kembara saudara akan pergi...mencari apa sebenarnya kerana takdir itu ilmu Tuhan...kita tak tahu apa yang bakal terjadi di depan melainkan atas izinNya jua...

mungkin kembara saudara masih panjang,mungkin juga sudah hampir bertemu titik pengakhiran kepada satu permulaan...

dan sila jangan salah faham...saya mohon,kerana sudah saya akui di setiap titik perhentian akan wujud permulaan kepada yang lain...

dan jika saudara sudah menetap,saudara pasti meneruskan cerita penghidupan di situ bukan?

itulah maksud saya...

Radzi Sapiee berkata...

Wassalam. Tak mengapa. Setiap dari kita ada peranan, takdir serta qada' dan qadar masing2. Kita secara individu mungkin menghampiri titik rehat seperti yang saudari sebut itu. Ataupun titik rehat itu sudah pun dicapai, tetapi orang lain sahaja yang tak sedar. Tetapi jika ditakdirkan berlakunya malapetaka besar akhir zaman seperti disebut Rasulullah SAW, perang dan sebagainya pada zaman kita di mana ia adalah satu perkara yang wajib berlaku sebelum masuknya zaman keemasan Imam Mahdi, apakah kita dapat berehat di titik kepuasan sendiri atau perlu turun ke medan berkuda dan berpedang memainkan peranan?

p/s: Kalau saya tidak menetap langsung di tempat tinggal sekarang mana mungkin saya boleh beristeri lagi, membesarkan anak dan insyaallah akan mendapat cahaya mata baru tak lama lagi? :]

Nurun Nur 9111 berkata...

salam tahniah dari saya...
samapikan salam buat isteri tercinta...semoga dipermudah melahirkan orang baru nanti...:)