Manakan dapat sagu kalau tidak dipecahkan ruyungnya?
Manakan dapat mutiara yang berkerlipan jika takut menyelam ke lautan dalam.
Dalam diri setiap manusia, ada seketul daging.
Jika baik ia, maka baiklah seluruh jiwa manusia itu.
Jika buruk ia, buruklah juga manusia itu...
Seketul daging itu adalah hati,
mari kita lapangkan dada dan belajar mengIKHLASkan hati.
Perjalanan seribu batu bermula dengan satu langkah.
Marilah meneroka dunia pemikiran hamba.
Silakan

Video klip yang tertera boleh dianggap sebagai pembukaan kepada dunia pemikiran dan kesukaan hamba...







-------------------------


-------------------------



Segala yang dipaparkan menggambarkan pemikiran penulis yang turut terserap di dalam setiap penulisan buku dan artikel. Lihat Cara-cara mendapatkan buku tulisan Merah Silu @ Radzi Sapiee. Di atas adalah satu klip video selama hampir setengah jam yang merupakan demo pilot episode yang mahu digunakan untuk mencadangkan satu siri pengembaraan menyusuri sejarah Melayu Islam sekeliling Nusantara untuk siaran televisyen. Entah mengapa ia menemui masalah. Kemudian penulis diberitahu konsepnya diciplak sebuah stesyen televisyen. Lihat Kembara Sejarah Islam Nusantara : The original material...



Ini adalah klip video ulasan buku ketujuh saya "Jejak keluarga Yakin : Satu sketsa sejarah" berserta temuramah yang dibuat siaran langsung di Selamat Pagi Malaysia, RTM1. Lihat Siaran langsung ulasan buku "Jejak keluarga Yakin : Satu sketsa sejarah" dan temu ramah di Selamat Pagi Malaysia.



Penulis juga pernah diminta membuat pembentangan mengenai siri buku "Berpetualang ke Aceh" di Masjid Sultan Salahuddin iaitu masjid negeri Selangor di Shah Alam. Lihat Buku "Berpetualang" dan himpunan ulamak Nusantara yang diketuai ulamak Aceh


-------------------------



Siri novel "Berpetualang ke Aceh" boleh didapati dalam bentuk e-book. Masuk http://www.e-sentral.com/, klik kategori novel am dan taip perkataan "Aceh" pada kotak carian. Atau terus klik Buku 1,Buku 2 dan Buku 3.





Gambar ketika menghadiri satu majlis ilmu, diambil oleh sebuah akhbar harian. Lihat Menghiasi Kosmo Alam Melayu...



Penerbitan trilogi novel "Berpetualang ke Aceh" juga membawa penulis untuk terlibat dengan banyak majlis ilmu. Rujuk kumpulan links artikel di bawah tajuk "Siri Refleksi Sejarah", pada bahagian paling bawah kiri blogspot, . Penulis juga agak aktif dalam aktiviti-aktiviti kedaulatan Melayu dan Islam, dapat menganjurkan majlis-majlis sendiri di merata Semenanjung Malaysia membawa ke luar negara di Aceh. Lihat blogspot Himpunan Kedaulatan Melayu Islam Akhir Zaman (HIKMAH).


Ketika menulis perenggan ini 4 Mei 2015 penulis sedang berusaha untuk mengembangkan isi 3 buku dalam siri "Berpetualang ke Aceh" menjadi 6 buku yang akan membentuk siri baru dipanggil "Siri Pengembaraan Merah Silu". Sebuah syarikat penerbitan telah bersetuju untuk menerbitkan siri lama itu kembali dalam bentuk yang lebih segar - Setiap buku asal dipecah menjadi 2 buku baru yang ditambah maklumat, gambar dan peta berwarna-warni.Pertengahan September 2015 buku pertama siri baru pun selamat diterbitkan. Seminggu lebih kemudian penulis berpeluang bercakap tentangnya secara siaran langsung dalam televisyen lalu membawa wakil penerbit bersama. Lihat video di bawah :-





Awal tahun 2015 turut menyaksikan penulis diambil menjadi penyelidik dan hos satu siri dokumentari yang dipanggil "Daulah Melayu". Projek 13 episod sepanjang sejam setiap satu ini mahu mengenengahkan formula untuk mengembalikan kekuatan bangsa Melayu. Insyaallah projek iakan membawa penulis untuk mengembara ke merata di Malaysia dan Indonesia juga ke beberapa negara dan tempat di Eropah termasuk ke kota London, tempat penulis mengambil ijazah matematik 1991-1995. Siri dokumentari ini dijangka siap untuk tayangan televisyen dalam tempoh 2 tahun.


Pada 13 Mei 2023 buku ke 13 + 1 penulis (pertama setelah yang ke-13 terbit tahun 2019 lalu mula memberikan tumpuan pada pengajian pascasiswazah di ISTAC iaitu Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam di Bukit Tunku, Kuala Lumpur), Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin & Orang Kaya Arsyad telah dilancarkan oleh sejarawan ulung negara, Profesor Emeritus Datuk Dr Abdullah Zakaria Ghazali di rumah penulis. Lihat Majlis pelancaran buku dan rumah terbuka raya 2023 - Melestarikan semangat perjuangan. Beliau yang bertanggungjawab memberikan kata-kata aluan dalam buku turut menjadi pembicara dalam diskusi yang diadakan di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2023 (berlangsung 26 Mei hingga 4 Jun). Lihat Bicara buku Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin di PBAKL 2023. Diskusi ini terakam dalam video atas diikuti video bawah...



Jumaat, Januari 13, 2012

Jejak "Berpetualang ke Aceh" : Pulau Kampai , keberadaan kerajaan Haru dan faktor Sheikh Abdul Qadir Jilani

Assalamualaikum semua. Walaupun lambat, sementara masih lagi ada baki hari Jumaat biarlah dibuat penceritaan perjalanan Medan-Banda Aceh yang bersambung dari artikel Jejak "Berpetualang ke Aceh" : Jeti bercat kuning dan masjid di Pengkalan Brandan. Adapun tarikh hari ini agak istimewa buat saya kerana ada faktor nombor 131... 13 Januari 2012 bersamaan 13/1... . Kita teruskan cerita...


Puas melihat Pengkalan Brandan kami pun mengambil 'angkut' meninggalkannya...


Sampai di satu tempat bertukar kenderaan yang lebih besar.


Boleh agak apakah kenderaannya?



Ya. Kami menaiki bot... untuk membelah perairan yang dipanggil Teluk Haru. Bot diambil dari tempat yang dipanggil Pengkalan Susu. Sasaran kami adalah sebuah pulau yang dipanggil Pulau Kampai. Lihat artikel Boat ride to Pulau Kampai di blogspot BERPETUALANG KE ACEH.



Selepas setengah jam begitu belayar, sampailah ke pulau. Biar diletakkan sedutan berkenaan dari buku kedua saya "Berpetualang ke Aceh : Membela syiar yang asal" (terbit Mei 2007)... daripada Bab 8 mukasurat 140...


Baru dua tiga hari di Pengkalan Brandan, Rasyid telah mendapat berpuluh orang kenalan baru. Pengunjung tetap masjid raya yang suka melepak di serambi sudah jadi seperti rakan lama. Setiap kali tidak tahu apa hendak dibuat terutama pada waktu petang, dia cuma perlu ke sana untuk mengisi masa lapang menghilangkan rasa jemu. Ramai kaki berborak dan para penglipur lara. Ada sahaja kisah untuk dikongsi bersama, tidak kurang lawak jenaka meringankan bebanan jiwa. Dan di serambi masjid besar yang terletak sekitar 40km daripada sempadan Aceh inilah anak Malaysia yang sudah lebih tiga tahun asyik menziarahi kuburan lama ini mendapat tahu tentang kewujudan seorang wanita cantik bernama Mas Merah…

Mula-mula, Rasyid tidak berapa mahu mengambil tahu apabila kawan-kawan ini menyebut tentang sebuah makam lama di Pulau Kampai, 25km ke utara Pengkalan Brandan, dalam perjalanan menghala ke Aceh juga. Dia lebih sibuk memikirkan apakah yang perlu dibuat untuk masuk ke wilayah yang sedang darurat itu sambil menunggu petunjuk, isyarat ataupun gerak muncul daripada “atas”. Namun mereka terus memujuk... Kata kawan-kawan ini, anak kelahiran Muar, Johor itu harus ke sana dahulu kerana tujuan utamanya hendak ke Aceh adalah untuk menziarahi makam-makam lama terutama makam raja-raja dan para wali yang ada kaitan dengan cerita-cerita lama yang dicarinya. Dan makam di Pulau Kampai itu ada cerita dan sejarahnya yang tersendiri, lagi dianggap keramat dan amat dihormati penduduk setempat. Mulalah timbul minat Rasyid untuk mengetahui lebih lanjut... Lalu terkeluarlah cerita Mas Merah, seorang perempuan cantik yang pernah diculik sekumpulan enam perompak yang mengganas di perairan sekitar Pulau Kampai. Teringat pula cerita filem Enam Jahanam yang menonjolkan seniman negara, Allahyarham Tan Sri P. Ramlee...



Dahulu, lebih 7 tahun lalu ketika pertama kali sampai di sini Aceh masih dalam darurat akibat peperangan antara puak pemisah GAM (Gerakan Aceh Merdeka) dengan TNI (Tentera Nasional Indonesia). Pulau Kampai terletak sangat dekat dengan sempadan Aceh-Sumatera Utara lalu menjadi satu tempat lintasan dan perlindungan para pejuang GAM sambil diburu tentera dari Jakarta. Sekarang zaman aman senang sedikit kalau orang luar mahu datang. Alhamdulillah sampai juga hajat saya membawa isteri dan anak...




Sambil melihat aturan rumah-rumah dan bangunan teringat deja vu lama yang pernah diceritakan dalam buku... melompat ke muka surat 153...


Malam itu, ketika sedang keluar bersiar-siar di pekan Pulau Kampai, Rasyid mengalami déjà vu lagi... Terasa pernah melihat rumah serta kedai di sekeliling yang teratur elok mengikut grid atau aturan segi empat siap dengan suasana selepas Maghrib yang agak riuh, dengan ramai orang berjalan kaki santai ke sana ke mari di selang seli gelak ketawa riang. Di sini tidak ada kereta langsung... Basikal pun sedikit apalagi motosikal. Rumah-rumahnya yang serupa dengan rumah estate yang biasa terdapat di ladang kelapa sawit pula terang benderang dengan tingkap dan pintu terbuka luas, penghuni masing-masing berlonggok di halaman atau di tepian jalanan berbual dengan jiran atau menegur orang yang lalu lalang. Pemuda ini teringat pernah bermimpi melihat suasana yang sama beberapa tahun yang lampau... Cuma semasa itu dia tidak tahu di manakah letaknya suasana yang dilihatnya itu dan kenapa boleh bermimpi tentangnya. Baru sekarang terjumpa dengan suasana yang sama, rupa-rupanya inilah tempatnya...

Malam itu juga Rasyid sempat bertemu dengan ketua kampung yang baru sahaja beberapa hari dilantik, seingatnya tidak sampai tiga hari pun! Hamba Allah inilah yang menceritakan serba sedikit tentang sejarah sebenar Mas Merah tetapi pemuda ini pula tidak ingat secara terperinci... Cukuplah setakat tahu bahawa Mas Merah ialah seorang penyanyi yang terkenal suatu masa dahulu kerana suara merdu serta kecantikannya... Kerana itu dia telah diculik enam orang perompak yang pernah mengganas di Teluk Aru sebelum diselamatkan pemuda yang bakal menjadi suaminya nanti.

Selepas itu, Lelek membawanya ke sebuah majlis tahlil serta maulud yang menarik. Dia dapat melihat lebih 100 orang hadirin turut serta... Seorang yang bertindak sebagai ketua membacakan ayat-ayat serta bait memuji kemuliaan dan kebesaran Rasululllah SAW. Sampai bahagian tertentu, ia terus disambut semua hadirin. Memang menarik sungguh!



Adapun sedutan di atas dibuat tanpa menyebut siapakah itu Lelek dalam cerita.




Maka saya pun membawa anak dan isteri ke masjid menurut langkah yang pernah dibuat lebih 7 tahun. Lihat artikel Masjid (Mosque of) Baiturrahman, Pulau Kampai di blogspot SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART). Baru kena dengan sedutan... daripada muka surat 147-148.


Seperti di Pengkalan Brandan, anak muda ini terus berkenalan dengan beberapa orang penduduk tempatan. Di antara mereka, terdapat seorang tua yang berasal daripada tanah Jawa tetapi telah lebih dua puluh tahun bermastautin di Pulau Kampai. Rasyid tidak ingat nama sebenarnya... Semua orang memanggilnya Lelek, kata mereka panggilan untuk pakcik dalam bahasa Jawa. Matanya yang sepet seperti hendak terkatup sentiasa dan kepalanya yang botak licin mengingatkan Rasyid kepada watak kartun Mr. Magoo yang selalu ditontonnya semasa zaman kanak-kanak dulu. Tetapi tidak seperti watak katun yang bakhil dan pemarah itu, Lelek yang berumur hampir 80 tahun ini amat baik orangnya dan selalu memakai kopiah.

Lelek bertindak sebagai penunjuk jalan atau tourist guide sepanjang Rasyid berada di Pulau Kampai. Dia juga menyediakan teratak buruknya sebagai tempat penginapan, katanya lebih selamat daripada tidur di masjid, takut diganggu orang jahat nanti... Orang tua itu menasihati Rasyid supaya melaporkan diri, sekali di pos askar, sekali lagi di pos polis yang juga bertindak sebagai imigresyen Indonesia, kalau tak salah ingatan dipanggil sebagai Brimob supaya tidak timbul apa-apa masalah nanti. Lagipun semua orang luar diwajibkan melaporkan diri kepada pihak berkuasa lebih-lebih lagi kerana pulau itu terletak tidak berapa jauh daripada Aceh yang sedang bergolak... Takut-takut ahli puak pemisah GAM (Gerakan Aceh Merdeka) yang diburu tentera menyamar lalu menyelinap masuk ke sini.

Setelah selesai apa yang patut termasuk meninggalkan kad pengenalan Malaysia di pos polis, Rasyid pun mengikuti Lelek bersiar-siar melihat keadaan sekeliling sambil berkenalan dengan penduduk tempatan, terutama jiran di sekeliling rumah. Semasa di masjid tadi, pemuda ini sempat memberitahu tujuannya ke pulau itu adalah untuk melawat makam Mas Merah. Maka setelah selesai menikmati makan tengahari murah di sebuah warung berdekatan, Lelek pun membawanya ke sana.



OK. Apabila bertanya kepada orang yang ditemui di masjid dan sekitarnya tentang Lelek mereka nampaknya tidak ingat atau tahu nama itu. Tetapi apabila diterangkan bagaimanakah orangnya baru mereka menyambut : "Oh, Lelek Rejo!". Ya, Lelek Rejo. Cuma pakcik itu dahulu menyuruh saya memanggilnya Lelek sahaja. Sayangnya dia sudah kembali ke rahmatullah setahun dua lalu gitu. Tak mengapa. Kita sambung sedutan muka surat 148...


Dari teratak Lelek yang terletak sepelaung daripada masjid, mereka berjalan kaki melepasi sebuah sekolah rendah dan padang permainan penuh pasir bercampur serpihan kulit siput dan kerang... Terserempak sebuah bangunan sebesar bangsal kecil yang mengandungi satu kesan sejarah.

“Di dalam ini ada makam purba,” kata orang tua itu. “Kata orang, ada kena mengena dengan Raja Aceh juga. Kamu mahu melihat dahulu?”

Makam purba? Kena-mengena dengan Raja Aceh? Ah... rupanya ada lagi makam lain yang boleh diziarahi. Tetapi niat awal Rasyid adalah pergi ke makam Mas Merah... “Tak mengapalah Lelek. Biar kita ke makam Mas Merah dahulu. Lepas itu baru kita lihat makam yang ini,” jawabnya.

“Sukahati kamulah nak. Aku mana-mana pun boleh,” kata Lelek, selamba. Memang ada gaya watak kartun Mr. Magoo...



Jika dahulu saya meminta Lelek membawa ke makam Mas Merah terlebih dahulu, kali ini saya membawa isteri dan anak ke makam panjang lebih awal. Ini kerana kedudukannya memang lebih dekat dari masjid. Lihat Makam-makam panjang di (The long tombs at) Pulau Kampai. Sekarang biar diletakkan sedutan berkaitan daripada buku "Membela syiar yang asal" di mana ceritanya berlaku setelah pergi ke makam Mas Merah... dari muka surat 152.


“Bagaimana sekarang? Mahu lihat makam yang lagi satu,” tiba-tiba Lelek mengejutkan Rasyid daripada lamunan nostalgia kenangan lama.

Terpana sebentar pemuda itu kebingungan. Apa yang berlaku telah meninggalkan kesan penyesalan yang tidak terhingga sampailah sekarang... Bukan mudah hendak melupakan kenangan silam, apalagi jika melibatkan orang yang tersayang. “Aa.. ah... Boleh lah,” dia menjawab lemah...

Dalam keadaan separuh sedar, Rasyid cuma menurut sahaja langkah Lelek pergi ke makam purba yang tidak diketahui asal-usulnya. Setakat yang penduduk tempatan tahu, makam itu sudah wujud lama sebelum nenek-moyang mereka berhijrah ke Pulau Kampai, tiga atau empat generasi yang lampau. Lelek membukakan pintu bangunan makam yang tidak berkunci lalu masuk ke dalam. Kelihatanlah dua makam yang agak panjang, masing-masing dua tiga kali panjang daripada mana-mana kuburan biasa...

Makam-makam itu tidak sama saiznya. Makam yang lebih panjang ditandai batu nesan Aceh seperti tombol pintu besar atau buah catur askar bersegi enam seperti pernah dilihat Rasyid di Makam Tok Pasai, Kuala Kedah dan Makam Syed Yassin di Bukit Puteri, Kuala Terengganu. Makam lebih pendek pula ditandai batu nesan Aceh bersayap seperti terdapat di Makam Sultan Alauddin Riayat Shah Melaka di Pagoh, Muar serta Makam Sultan pertama Perak, Sultan Muzaffar Shah di Bota Kanan, Perak.

Kebanyakan penduduk menganggap makam-makam ini milik pasangan suami isteri - yang lebih panjang milik seorang lelaki kerana saiz serta batu nesan seperti tombol, yang pendek milik perempuan lebih-lebih lagi kerana batu nesannya bersayap. Mereka tidak tahu batu nesan bersayap begini biasa digunakan kerabat diraja lelaki terdekat... Serupa dengan batu nesan para Sultan termasuk pengasas keSultanan Samudera dan Pasai, Sultan Malikus Salih berdekatan Lhoksuemawe, Aceh juga Sultan-sultan Aceh yang kebanyakkannya diabadikan di Banda Aceh, hujung utara Sumatera. Batu nesan tombol pula biasanya menandakan pemiliknya adalah bangsawan bertaraf ulamak yang mempunyai kaitan dengan keSultanan Aceh...

Tiba-tiba terbetik di fikirannya, mungkin makam dengan batu nesan bersayap ini adalah makam Sultan Malikul Mansur yang ingin dicari dan makam di sebelahnya pula makam guru serta Perdana Menteri baginda iaitu Said Semayamuddin? Apakah Pulau Kampai yang rata-rata mendatar tanpa bukit, tidak seperti lazimnya bentuk geografi kebanyakan pulau sebenarnya adalah Padang Maya yang diSsebut di dalam Hikayat Raja-raja Pasai?

Makam ini memang terletak di atas padang ... Padang sekolah rendah yang diliputi pasir dengan serpihan kulit siput dan kerang. Bezanya, hikayat itu membayangkan Padang Maya sebagai terletak di antara Temiang dan Jambu Ayer, kedua-dua lokasi di utara sedangkan Pulau Kampai terletak lebih 40km ke selatan Temiang. Apapun, pemuda itu pasti makam purba ini memang mempunyai kaitan dengan Malikul Mansur kerana seperti makam Keramat Kuala Bidor di Perak (seperti tersebut di dalam “Berpetualang ke Aceh: Mencari Diri dan Erti”), ia dikatakan pernah dijaga oleh seekor harimau yang tempang satu kakinya, dikenali sebagai harimau tepok...



Biar diingatkan cerita dalam buku dibuat berdasarkan ingatan semata-mata tanpa ada rekod perjalanan baik dalam bentuk gambar mahupun tulisan. Ingatan saya tentang batu nesan di makam yang lebih panjang masih boleh dipakai tetapi makam lebih pendek mungkin boleh dipertikaikan. Ini kerana walaupun batu nesannya berkepak seperti di makam Sultan Malikus Saleh ada kelainan pada bentuk kepala yang kelihatan menunjukkan ia milik orang perempuan. Nampaknya saya sudah silap membuat penilaian apabila cuba mengaitkannya dengan Sultan Malikul Mansur, cucu Sultan Maliku Saleh. Tak mengapalah. Itu daripada pengalaman lebih 7 tahun lalu di mana saya begitu taksub ingin mencari jejak Malikul Mansur yang tidak diketahui makamnya di mana...


Dalam bangunan makam panjang ini turut terdapat sepasang batu nesan yang telah tercabut.



Saya diberitahu ia milik orang Kedah yang paling awal berhijrah ke Pulau Kampai, katanya sekitar abad ke 18 Masihi.



Oh. Biar diberitahu ziarah kami ke makam ini sebenarnya ditemani seorang ahli masjid yang nenek moyangnya berasal dari Pulau Pinang. Beliau seterusnya membawa kami melepasi beberapa rumah warga tempatan.



Sekarang baru kita melawat makam Mas Merah. Baru boleh diletakkan cerita panjang lebar buku, dari muka surat 140-142 bermula dari perenggan selepas sedutan yang telah diletakkan pada gambar ke-5 artikel ini, gambar isteri dengan anak memegang beg selepas keluar dari bot...


Beberapa hari sebelum berangkat meninggalkan Kuala Lumpur, pemuda ini sempat singgah di rumah seorang kawan untuk mengambil balik sebuah barang peribadi miliknya yang telah lebih tiga bulan ditinggalkan di sana, barang yang menurut nasihat seorang rakan lain elok dibawa bersama ke Aceh kerana mungkin akan jadi berguna di sana. Kebetulan ketika berada di rumah itu, filem Enam Jahanam yang sudah berapa tahun tidak ditontonnya sedang disiarkan di televisyen. Lebih menarik lagi, ada pula watak sokongan utama bernama Mas Merah (ke Masmira? Yang pasti bunyinya macam Mas Merah), isteri kepada Tantari, seorang saudagar kain yang dilakonkan seniman agung berketurunan bangsawan Aceh itu.

Mengikut cerita filem, Mas Merah adalah anak kepada mahaguru silat yang mengajar Tantari ilmu perajurit di dalam sebuah gua terpencil di sebuah negeri. Anak gadis yang menemani bapanya bermastautin di gua itu juga bertugas menyediakan makanan untuk murid-murid bapanya yang berjumlah sekitar 20 orang. Di sinilah Tantari yang tidak henti-henti asyik berlatih bermain senjata tekpi berjaya menarik perhatian Mas Merah.

Seperti lazimnya dalam cerita-cerita sebegini, mereka jatuh cinta. Apabila tempoh perguruan hampir tamat, pasangan ini tidak dapat membendung rasa untuk bersama. Mahaguru pun menikahkan mereka. Pesannya kepada Tantari, jagalah Mas Merah baik-baik. Tantari bersumpah akan menjaga isterinya bersungguh-sungguh walau terpaksa menggadaikan nyawa. Setelah tamat perguruan, beliau pun membawa isterinya pulang ke kota lalu meneruskan kehidupan sebagai seorang saudagar kain.

Pada satu malam, Mas Merah telah mengajak suaminya bergambar bersama di kedai mereka tetapi Tantari terpaksa keluar kerana ada urusan. Tinggallah Mas Merah seorang diri menunggu Cina tukang gambar daripada kedai berdekatan datang seperti yang dijanjikan. Tidak disangka datang pula enam orang perompak ganas bergelar Enam Jahanam... Penjahat tidak berperikemanusiaan itupun tertarik dengan rupa-paras Mas Merah lalu mula mendekatinya. Cina tukang gambar yang sudah tua cuba melarang tetapi terus dibunuh Enam Jahanam. Orang-orang sekeliling pula telah lama ca alif but kerana tiada seorang pun yang berani berhadapan dengan para pengganas ini. Mas Merah yang tidak mampu mempertahankan diri pun dirogol bergilir-gilir sebelum dibunuh dengan kejam.

Apabila Tantari kembali, dia terkejut melihat kedainya tunggang-langgang. Dan alangkah terperanjatnya melihat isteri tersayang mati terkulai dalam keadaan menyedihkan. Beliau teringat sumpahnya untuk mempertahankan Mas Merah walau terpaksa menggadaikan nyawa lalu bertekad akan mencari dan membunuh orang yang empunya angkara.

Kebetulan Cina tukang gambar sempat mengambil gambar kesemua anggota Enam Jahanam. Setelah diberitahu orang sekeliling, itulah gambar si perompak, Tantari pun tahu siapa yang perlu dicari... Lalu keluarlah dia menyandang balik tekpi berkembar yang sudah lama digantung di dinding rumah untuk pergi memburu dan membunuh ahli kumpulan itu satu demi persatu. Muncul pula watak bernama Laksamana Damburi yang akan menjadi kawan karib Tantari ketika memburu penjahat-penjahat ini.

Dipendekkan cerita, setelah beberapa hari mengembara, Tantari pun selesai membalas dendam. Kebetulan rumah Laksamana Damburi terletak tidak jauh daripada tempat anggota terakhir Enam Jahanam dibunuh... Beliau pun mengajak rakannya bertandang, terjumpa pula adik perempuan Laksamana yang mukanya saling tak tumpah seperti muka Mas Merah!

Tantari menyangkakan itulah mendiang isterinya datang hidup kembali. Dalam keadaan itu, bapa Laksamana Damburi pula kembali ke rumah. Rupa-rupanya dialah mahaguru yang mengajar Tantari ilmu perajurit di gua terpencil dahulu dan adik kepada Laksamana pula adalah saudara kembar Mas Merah! Jadilah happy ending... Tantari dapat berkahwin dengan kembar Mas Merah yang seiras seperti mendiang isterinya dahulu. Tammat...

Semasa menonton cerita ini di Kuala Lumpur, Rasyid kurang memberi perhatian tentang Mas Merah, apalagi kaitannya dengan apa yang akan berlaku di Pengkalan Brandan nanti. Dia lebih banyak memikirkan tentang cara Laksamana Damburi membahasakan diri sebagai “Nanda” apabila bercakap dengan bondanya. Teringat pula nendanya, almarhum Atuk Perak, suami Nenek yang dikenali orang kampungnya sebagai “Nanda”.

Kebetulan kampung itu mempunyai kaitan rapat dengan keluarga Laksamana Perak. Seolah-olah ada sesuatu yang hendak diberitahu, ada petunjuk untuk Rasyid mencari cerita-cerita lama di dalam perjalanannya “Berpetualang ke Aceh.” Inilah yang menyebabkan pemuda ini pasti dia mesti ke Pulau Kampai lebih-lebih lagi apabila mendapat tahu perairan di sekitar pulau itu bernama Teluk Aru, berdasarkan nama sebuah kerajaan lama iaitu Haru yang pernah wujud suatu masa dahulu.

Kitab Sejarah Melayu menyebut Haru pernah menjadi sebuah negeri besar yang setaraf dengan Melaka dan Pasai... Kerana cuma “raja dua buah negeri itu sama besarnya dengan Raja Melaka, tua muda sekaliannya berkirim salam jua.” Semasa itu, awal zaman kegemilangan Melaka, sekitar awal abad ke 15 Masihi, Haru merupakan sebuah kerajaan yang hebat lagi kuat dengan sempadan utaranya di Temiang, melepasi sempadan Aceh-Sumatera Utara sekarang dan sempadan selatannya beratus kilometer jauh ke Rokan, sekarang ini di dalam wilayah Riau. Tetapi kitab itu tidak menyatakan Haru setaraf dengan Melaka dan Pasai kerana keluasan wilayah dan jajahan takluknya. Sebaliknya ia mendapat penghormatan itu kerana kebesaran raja serta ketinggian daulatnya. Siapakah Raja Haru ini sehingga boleh menjadi setaraf dengan Raja Melaka dan Pasai?



Ini pula sedutan dari muka surat 148-149 yang bersambung selepas akhir perenggan yang diletakkan di bawah gambar ke-10, gambar yang menunjukkan padang berdekatan makam panjang.


Mereka pun menyusur ke belakang sebuah rumah yang terletak tidak jauh daripada bangunan makam tadi. Sampailah ke makam Mas Merah yang dilindungi sebuah pondok kecil berbumbung... Di sebelahnya, di dalam lingkungan pondok yang sama, terdapat sebuah lagi makam yang serupa, yang batu nesannya juga disaluti kain kuning menandakan pemiliknya juga dianggap keramat atau mempunyai titisan darah raja.

“Yang sebelah itu kata orang, suami Mas Merah,” beritahu Lelek.

Rasyid meneliti tulisan di batu nesan kedua-dua makam. Tercatat nama kedua-dua pemilik, masing-masing dikatakan kembali ke rahmatullah sekitar tahun 1930an... Itupun kalau mengikut kajian ahli sejarah tempatan yang meletakkan batu nesan itu untuk menggantikan batu yang lama. Menurut Lelek, batu nesan asal tidak tercatat apa-apa.

Penduduk Pulau Kampai pula percaya Mas Merah dan suaminya meninggal dunia pada pertengahan abad ke 19 atau lebih awal. Masing-masing mati kerana penyakit ganjil yang tidak dapat diubati, tidak sampai seminggu antara satu sama lain ini Apapun, Rasyid sudah sampai ke makam itu dan dia percaya mesti ada hikmah yang akan terbuah nanti…


Dalam buku saya menyebut tercatat tahun meninggal dunia 1930an. Bila dah datang lagi siap mengambil gambar baru saya tahu ia sebenarnya 1920. Lihat artikel Makam (Tomb of) Mas Merah.


Satu lagi sedutan panjang lebar. Pada muka surat 154-157 ada tertulis begini...


Esok selepas solat Subuh dan sedikit wirid di masjid, pemuda ini tergerak untuk berjalan seorang diri menghampiri makam purba. Daripada situ, dia terlihat pemandangan laut yang amat indah, berlatar-belakangkan langit yang masih merah menunggu matahari terbit... Sangat indah! Apabila sinar matahari mula memancar membelah awan, kelihatan pula cahayanya terpecah merata arah seolah-olah memercik dilantun riak air laut... Jadilah ia berjuta bintik emas berkilauan berjoget riang dalam pesta kemilau yang amat mempesonakan, dihiasi pula kelibat para nelayan yang mula keluar ke laut meluncur lembut dengan perahu masing-masing mencari rezek... Jadilah bayang-bayang hitam bergerak tenang di sebalik permainan alam.

Pemandangan yang amat mengasyikkan ini menyebabkan Rasyid terus berjalan ke laut, sampai ke sebuah tebing tinggi dengan sebatang pohon yang agak rendang, menjulur keluar daripada tepi tebing, condong ke laut.
“Eh... Macam pernah nampak ini,” hatinya berbisik. Pohon condong di tebing tinggi pantai, menjulur ke laut menggamit kenangan. Seperti ada makna di sebalik pemandangan ini... Ah... Rasyid deja vu lagi...

Tiba-tiba pemuda ini teringat dua buah mimpi berkaitan yang pernah dialami dahulu . Dalam mimpi pertama, kalau tak salah ingatan berlaku semasa dia masih menuntut di England ketika berumur sekitar 23 tahun, Rasyid mendapati dirinya berada di sebuah teluk yang airnya sangat dalam dan amat jernih... Daripada tebing teluk, menjulur keluar pohon condong yang rendang, sama rupanya seperti pohon tepi pantai di Pulau Kampai yang dilihat di alam nyata. Bezanya, di dalam mimpi, pohon itu lebih besar dan bahagian bawahnya iaitu pangkal dan akar terbenam ke dalam air. Apapun, dia dapat melihat, jika tebing tinggi di pulau ini dinaiki air sampai ke gigi, keadaannya mungkin saling tidak tumpah seperti di dalam mimpi.

Dalam mimpi itu juga, Rasyid sempat berenang-renang di sekeliling pangkal pohon itu dengan amat riang sekali. Airnya terasa lain dari yang lain, tidak seperti mana-mana air yang pernah ditemui di dunia nyata... Ringan, tidak basah... Sangat jernih dan ada semacam kelembutan melebihi sutera yang membolehkannya bernafas di dalam. Paling dia tak dapat lupakan, tempat itu berserta pohon dan teluknya terasa seperti rumah, seperti home sweet home yang dicari-carinya seumur hidup tetapi belum lagi terjumpa!

Beberapa tahun kemudian, barulah Rasyid mendapat sebuah lagi mimpi yang dapat memberikan rasa selesa yang amat menenangkan ini. Dalam mimpi itu, dia berserta tiga orang saudara telah menaiki kereta mendaki sebuah bukit yang letaknya entah di mana... Pemandangan di bawahnya kelihatan seperti di Muar, bandar kelahirannya... Tetapi kenyataannya tidak pernah wujud bukit sebegini malah apa-apa jenis bukit di sekitar bandar itu! Apabila sampai di atas, terjumpa pula sebuah papan tanda bertulis perkataan “Aji Yaki Dastagi”, tidak tahulah apa maknanya… Pelik bukan?

Anak muda inipun melangkah keluar kereta, sampai ke suatu dataran lalu disambut dua barisan manusia, kiri dan kanan yang kelihatan seperti orang-orang Asli. Pada muka mereka terlukis bintik-bintik hitam, mulut pula sentiasa bergerak seperti ikan di darat tercungap-cungap mencari nafas. Lebih pelik lagi, keluar lafaz yang bunyinya seperti “ketak, ketak, ketak...” daripada setiap mulut tetapi Rasyid merasakannya seperti zikir mengingati Allah yang amat menenangkan! Latar-belakang mimpi bertukar apabila pemuda itu tiba-tiba mendapati dirinya berada di dalam sebuah bangunan berdekatan dengan rekabentuk seakan kuil lama tanpa berhala. Yang ada, cuma lampu minyak seperti lampu Aladdin tergantung di beberapa tempat serta sebuah kolam berbentuk empat segi dengan air yang amat jernih.

Selama di dalam mimpi, pemuda itu dapat merasakan ketenangan jiwa yang amat sangat. Setelah beberapa ketika tibalah masanya untuk beredar... Tahu-tahu sahaja, dia sudah berada di dalam sebuah lif menuruni bukit. Ait??? Tak logik bunyinya bukan tetapi itulah yang berlaku. Lif itu pula terbuka, tidak berdinding... Maka terhamparlah pemandangan seperti di bandar Muar dengan sebuah pelabuhan di kuala sungai penuh dengan yatch atau kapal layar, sedangkan pelabuhan sebegitu tidak wujud di bandar itu... Atau mungkin ia akan wujud suatu hari nanti? Di hujung kuala sungai yang luas itu pula Rasyid ternampak sebuah teluk kecil dengan pohon rendang... Sama seperti yang pernah dilihatnya di dalam mimpi terdahulu, lebih kurang seperti apa yang terdapat di Pulau Kampai secara nyata. Lebih pelik lagi, hujung kawasan teluk ini bersambung sampai ke Sumatera!

Sebaik sahaja terjaga daripada mimpi, Rasyid terasa sebak yang amat sangat. Pemuda itu terus menangis teresak-esak... Sedih kerana rasa terputus hubungan dengan home sweet home yang dicari-cari seumur hidup. Ini berlaku ketika dia masih bekerja sebagai wartawan akhbar harian terkemuka berbahasa Inggeris di ibu kota, ketika tidur malam di atas pelantar di kawasan letak kereta pejabat di tingkat enam. Kebetulan, ketua pengawal keselamatan yang dikenalinya terjumpa Rasyid sedang menangis lalu bertanya apakah yang telah terjadi. Anak muda inipun menceritakan isi kandungan mimpi itu lalu bekas polis yang berasal dari Perak itu memberitahu, ada sesuatu yang istimewa tentang dirinya.

“Sebab itu kamu melalui perkara begini,” katanya. “Banyakkanlah bersabar kerana akan ada bermacam lagi dugaan yang terpaksa kamu tempuhi. Bukan senang untuk kamu mendapatkan apa yang dicari.”

Ketua pengawal keselamatan itu nampaknya faham apa yang dialami Rasyid. Mungkin kerana mereka selalu terserempak dan bertegur-sapa? Mungkin juga hamba Allah berumur hampir 60 tahun ini memiliki amalan kebatinan yang membolehkannya merasai sedikit apa yang dilalui anak muda itu. Lagipun dia tahu anak kelahiran Muar, Johor itu selalu tidur di kawasan terbuka tingkat enam pejabat. Itulah salah satu cara Rasyid melampiaskan naluri semulajadinya yang sentiasa ingin berkelana. Ikatan pekerjaan melarangnya keluar mengembara jauh sesuka hati, maka dia sengaja tidur di kawasan letak kereta, kadang-kala bersepah di tempat seperti taman bunga menggunakan sleeping bag, ada masa pula di rumah kawan-kawan sebagai satu cara untuk memuaskan nalurinya yang pelik.

Hakikatnya, semua itu belum cukup untuk meredakan gelora jiwa. Naluri ingin berkelananya terlalu kuat sehingga sampai satu peringkat dia tidak mampu lagi menjalankan tugasan sebagai wartawan. Sampai masanya anak muda yang sangat mendambakan tempat yang betul-betul dapat memberikannya istirehat inipun diberhentikan kerja. Rasyid pun menggunakan “kebebasan” ini untuk mengembara ke mana sahaja dia suka selain mencari tempat yang dapat memberikan rasa home sweet home seperti dialaminya dalam mimpi... Dengan menunggang motosikal berkuasa tinggi kesayangannya seorang diri hampir seluruh Semenanjung Malaysia.

Dalam keadaan inilah pemuda itu berkelana sekeliling Muar sehingga ke Pulau Besar di Melaka mencari tempat simbolik seperti yang terlihat di dalam mimpi, tempat yang boleh “menyambungkan” daerah kelahirannya itu dengan Sumatera di seberang Selat Melaka. Apabila tidak dapat menemukan jawaban yang memuaskan, dia berkelana pula ke pekan Lumut, Perak yang rupanya hampir seperti bandar Muar... Dengan kuala Sungai Dinding yang luas di sisi, terdapat pula pelabuhan kecil kapal layar juga sebuah bukit setinggi 1,000 kaki, Bukit Engku Busu di pinggir pekan.

Rasyid pernah menceritakan mimpi peliknya kepada seorang Sheikh Tariqat Naqshabandiah untuk mendapatkan petunjuk di manakah tempat yang tersurat atau tersirat dalam mimpi boleh ditemui. Sheikh itu setakat memberitahu mimpinya elok, ada kaitan dengan Jabal Qaf, sebuah tempat di luar wujud alam nyata yang diduduki para wali serta orang-orang ghaib yang telah mencapai taraf kerohanian yang tinggi. Katanya, teluk tempat pemuda itu mandi pula adalah sebuah tempat “peranginan” di sana!

Rasyid juga telah menceritakan mimpi itu kepada seorang rakan yang mengikuti Tariqat Qadiriyah. Pada mulanya peguam muda itu tidak tahu bagaimana harus menafsirkannya tetapi beberapa hari kemudian, dia sibuk mencari Rasyid untuk memberitahu yang dia baru sahaja mendapat tahu daripada orang-orang tertentu bahawa mimpi itu ada kena mengena dengan Sultanul Awliya, raja segala wali iaitu Sheikh Abdul Qadir Al-Jilani. Menurutnya lagi, perkataan “Aji Yaki Dastagi” yang tertera pada papan tanda yang dilihat dalam mimpi itu adalah nama Zawiyah, tempat bersuluk baginda yang asal di Baghdad, dalam bahasa Parsi lama...

“He’s calling you man, he’s calling you!”. Katanya mimpi itu adalah jemputan peribadi daripada Sultanul Awliya kepada Rasyid supaya datang kepadanya. Ah! Apa ini? Bingung pemuda itu mendengar penerangan ini...



Pantai yang dimaksudkan terletak dekat sahaja dengan makam panjang juga makam Mas Merah. Cuma kami sampai waktu petang dan air sedang surut, maka suasananya tidak serupa seperti diceritakan dalam buku. Apapun kita sambung sedutan... sedutan yang menamatkan Bab 8...


Berbalik ke Pulau Kampai. Penduduk tempatan ada menyebut, nama itu berasal daripada perkataan “Sampai”... Sempena kata-kata nelayan dahulukala yang ternampak pulau itu setelah sehari suntuk berhempas-pulas menyabung nyawa mencari rezeki di lautan lepas. Apakah ini bermakna Rasyid sudah “sampai”? Sudah jumpa apa yang ingin dicari selama ini? Rasanya tak juga... Dia cuma mendapat sekelumit rasa home sweet home yang sudah lama diidamkan. Adalah juga, daripada tiada langsung...

Tiba-tiba Rasyid teringat kembali si Nur, wanita yang sebenarnya ingin dibawa bersama “Berpetualang ke Aceh” tetapi tidak kesampaian... Ah!. alangkah baiknya jika dia dapat bersama, sekurang-kurangnya untuk berada di tebing pantai Pulau Kampai ini, di hadapan pohon rendang yang hampir serupa dengan yang dilihatnya di dalam mimpi. Perasaan inilah yang menyebabkannya membuat keputusan untuk duduk lebih lama. Lelek pula amat gembira apabila dia menyatakan akan bermalam dua hari lagi...


——————————


Banyak petunjuk yang diperolehi Rasyid di Pulau Kampai. Dia sempat bertemu seorang tua yang dikatakan berasal daripada keturunan Sheikh Abdullah Arif, pendakwah Tasawuf yang datang membawa kitab bertajuk Bahr Lahut atau “Lautan Ketuhanan” ke bumi Serambi Mekah sekitar 1165 Masihi. Ini menunjukkan Sultanul Awliya Sheikh Abdul Qadir Jilani memang mempunyai anak-cucu dan meninggalkan keturunan di Aceh.

Rasyid juga mendapat tahu mengenai Pulau Sembilan yang terletak bersebelahan Pulau Kampai. Mengikut cerita lisan, ia memang berasal dari kelompok Pulau Sembilan di kuala Sungai Perak tetapi “merajuk” membawa diri ke sini. Kata orang, bila air surut, masih boleh kelihatan sebuah pulau kecil yang menjadi “sauh” Pulau Sembilan, “sauh” yang bersambung melalui “tali” yang merupakan sebuah beting pasir yang agak panjang.

Bagi pemuda itu, cerita mengenai Pulau Sembilan ini menunjukkan memang terdapat kerabat diraja lama bumi Serambi Mekah pernah bertapak di sekitar Teluk Aru sebelum membawa diri ke Perak. Dan jika pulau itu boleh “merajuk” menyeberangi Selat Melaka, mungkin perkara yang sama juga berlaku kepada Pulau Kampai? Mungkin Pulau Kampai itulah Padang Maya yang dinyatakan kitab Sejarah Melayu sebagai tempat Sultan Malikul Mansur serta Perdana Menteri Said Semayamuddin dimakamkan?

Ketika merenung kembali apa yang berlaku, Rasyid terfikir apakah ada petunjuk lain di sebalik cerita Enam Jahanam yang ditontonnya dahulu? Bukankah ia telah menyebabkannya sampai ke makam Mas Merah lalu teringat bekas buah hati sambil terkenangkan Nur sekali? Memang banyak persamaan mereka berdua tetapi apakah kaitannya dengan semua ini?

Tiba-tiba hatinya terbetik, mungkin dia kehilangan Mas kerana sifat “Enam Jahanam” yang wujud di dalam dirinya sendiri? Semasa mereka bersama, sifat panas baran pemuda itu masih begitu kuat... Seringkali wanita itu terpaksa menyaksikan pintu bangunan pecah, kayu patah serta batu berkecai akibat penangan lelaki itu dan sering-kali dia terpaksa menanggung hamburan angin buruknya. Begitu juga penangan sifat ego suka membanggakan diri, suka dipuji... Ujub, kagum atas kelebihan diri sendiri dan entah apa lagi sifat mazmumah... Sifat-sifat inilah yang menyebabkan Rasyid dilanda dilema - Dia amat menyayangi gadis itu, kalau boleh ingin bersama dengannya sahaja, tidak mahu lagi memandang yang lain... Tetapi wujud pula naluri berlawanan yang sentiasa mahukan perhatian ramai, sehingga Mas pula terpaksa menanggung beban amarah akibat dilema ini. Maka itu Rasyid perlu menghapuskan semua sifat jahanam itu sebelum boleh mendapatkan home sweet home yang dicarinya selama ini?

Apapun, pemuda itu tidak boleh mengharapkan buah hati lama yang kini bahagia menjadi milik orang.. Lagipun dialah yang telah mengkhianati serta memungkiri janji lalu menghampakan gadis itu kemudian menyuruhnya pergi. Maka itu wanita ini boleh diibaratkan seperti Mas Merah yang telah mati dalam cerita Enam Jahanam... Mati dibunuh kejahilan Rasyid yang tidak pandai menghargai kesetiaan yang diberi...

Nasib baik “Mas Merah” ini masih mempunyai seorang “kembar” yang hampir serupa sifatnya. Itulah Nur, satu-satunya gadis yang bertakhta dihatinya kini. Kebetulan pula nama bapa mereka serupa... Cuma seorang memakai nama gelaran keluarga yang diwarisi turun-temurun, seorang lagi tidak… Walaupun rupa paras mereka berbeza dengan ciri-ciri fizikal tersendiri yang mampu “mencairkan” ramai lelaki, kedua-dua wanita ini boleh dikira kembar dari segi jiwa dan perwatakan sejati. Masing-masing mampu menyelami jiwa Rasyid yang sebenar dan dapat menyayanginya dalam susah dan senang. Walaupun sekarang pemuda itu dan Nur terpisah lagi, mungkin satu hari nanti mereka akan dapat bersatu kembali lalu menjadi pasangan suami isteri seperti yang didambakan selama ini?




Cuma kali ini saya tidak mahu bermalam di Pulau Kampai kerana ada sasaran lain perlu dikejar. Disebabkan kami balik petang, orang pun tak ramai menaiki bot. Nak tak nak kena bayar lebih kalau mahu bot bergerak. Tak mengapalah, janji boleh jalan kembali ke Pengkalan Susu...


Disebabkan dah bayar lebih saya meminta pemandu agar dapat membawa kami singgah ke Pulau Sembilan sebentar... setakat hendak menjejakkan kaki sebagai syarat, dengan membawa anak kecil kami Al-Rasyid jejak sekali. Isteri saya yang sedang sarat mengandung 6 bulan menunggu sahaja dalam bot.

Tentang pulau ini ada disebut sedikit dalam sedutan atas. Sekarang biar diletakkan sedutan daripada Bab 9 buku "Membela syiar yang asal"... daripada muka surat 192-193.


Rabu pagi, 14 Januari 2004 bersamaan 21 Zulkaedah 1424 Hijrah, Rasyid bersarapan dengan Lelek diwarung tepi pantai sebelum mengambil balik kad pengenalan yang ditinggalkan di pos polis Pulau Kampai. Anak muda itupun menjejakkan kaki ke dalam bot yang akan menyeberangi Teluk Aru untuk kembali ke Pengkalan Susu dan tanah besar Sumatera. Lelek memerhatikan dengan sayu... Kelihatan air mata bergenang di kelopak. Maklumlah orang tua, umur hampir 80 tahun, hidup sentiasa keseorangan… Walaupun terdapat jiran sekeliling yang sering menjenguk bertanyakan khabar, dia masih memerlukan kehadiran keluarga atau orang yang boleh dianggap keluarga... Walaupun kehadiran Rasyid di teratak buruknya sekadar tiga hari tiga malam sahaja, pemuda ini sudah dianggapnya seperti seorang anak, lebih-lebih lagi kerana dapat berkongsi rasa dan pandangan tentang beberapa perkara berkaitan agama termasuk sedikit ilmu Sufi atau Tasawuf. Maka dari satu segi, memang mereka sudah menjadi keluarga...

Sebagai orang lama yang sudah hidup berdekad-dekad, tentu Lelek memiliki banyak pengalaman yang berguna, sudah jauh mengembara semasa muda serta merasai pelbagai ragam manusia. Dia sempat menurunkan beberapa petua orang Melayu lama untuk Rasyid... Buat bekalan berjalan-jalan di tempat orang, katanya. Tidak lama kemudian, sampailah masa untuk bot itu bergerak. Cukup sahaja penumpang dan muatan yang ingin dibawa, enjin bot itupun menderu laju lalu mula membelah perairan Teluk Aru meninggalkan Pulau Kampai serta teratak buruk Lelek... Tinggallah makam Mas Merah dan ceritanya yang berkaitan kisah Enam Jahanam lakonan seniman P.Ramlee, tinggal juga makam purba kerabat diraja Aceh yang dirasakan ada kena-mengena dengan sirah perjalanan hidup Sultan Malikul Mansur serta tebing tinggi dengan pohon rendang condong ke laut yang mempunyai makna yang tersendiri... Makna yang pernah dilihat dalam sebuah mimpi aneh, mimpi yang berkaitan Sheikh Abdul Qadir al-Jilani!

Orang tua itu terus memerhati daripada atas jeti. Rasyid melambai-lambai tangan tanda ucapan selamat tinggal. Lebih seminit kemudian barulah Lelek berpusing untuk melangkah kembali ke rumahnya, pemuda itu pula menghadap ke buritan serta perairan teluk yang terbentang luas.

Entah kenapa, tidak lama kemudian, anak Malaysia berketurunan Aceh ini tergerak pula untuk menoleh ke sebelah kanan. Rupa-rupanya ada seorang wanita berumur kira-kira sekitar 40an, bertudung dengan sebuah beg plastik penuh sayur-sayurannya di sebelah menarik perhatian...

Rasyid tidak tahu kenapa dia asyik terpanggil untuk memandang wajah wanita itu. Mungkin kerana rupanya kelihatan seperti seorang berketurunan Arab, mungkin ada darah Sharifah? Darah Ahlul Bait? Entahlah... Setelah meluncur lebih kurang 15 minit, bot itupun singgah di pulau bersebelahan, Pulau Sembilan untuk mengambil beberapa orang penumpang.

Sebaik sahaja muncung bot mencecah pantai, mulut kakak itu mula terbuka-terkatup laju seperti gaya orang berzikir. Rasyid memberikan tumpuan penuh... Lalu pemuda itu sedar mulut wanita itu sedang membuat bunyi “ketak, ketak...” serupa seperti gaya orang Asli yang menyambutnya dalam sebuah mimpi berkaitan Sheikh Abdul Qadir al-Jilani!



Sambung lagi sedutan. Oh, dalam gambar ini kami anak beranak sedang berehat melepaskan penat. Comelnya Rasyid cuba membuat gaya selamba apabila menyedari ibunya mahu menangkap gambar...


Ah... hatinya terbetik lagi. Nampaknya betullah telahan awalnya… Kedatangannya ke sini, makam-makam yang diziarahi, tempat-tempat yang dilewati memang berkait rapat dengan mimpi-mimpi yang pernah dialami juga usaha mencari jejak Sultan Malikul Mansur dan anak cucunya yang hilang ditelan zaman. Pulau Sembilan yang “merajuk” membawa diri, bersebelahan pula dengan Pulau Kampai yang mengandungi Makam Mas Merah, makam purba diraja Aceh, juga tebing tinggi dengan pohon rendang yang pernah dilihatnya di dalam mimpi... Sekarang wanita ini pula mulutnya “terketak-ketak”! Seketika itu juga, dia mendapat bayangan suatu masa dahulu, anak atau cucu Sultan Malikul Mansur pernah membawa diri ke Teluk Aru. Ketika itu ia sudah mempunyai kerajaan sendiri dengan rakyatnya terdiri daripada orang Asli Gayo dari kawasan pergunungan di tengah Aceh, juga orang Karo atau Batak dari pergunungan di selatan.

Agaknya, seperti cerita Sang Si Perba yang telah diangkat menjadi Raja di Palembang atau Merah Silu yang pernah menjadi raja di Buloh Talang (sebelum membuka kerajaan berkembar Samudera dan Pasai), begitu juga yang pernah berlaku terhadap anak cucu Sultan Malikul Mansur? Kerana rakyat tempatan menyedari kebesaran seorang raja yang dimilikinya... Dan sepertimana Sultan Melaka pernah mendapat sokongan orang-orang Laut serta Sakai, dan Sultan Aceh mendapat sokongan orang Asli Pulau Sabang, begitu juga anak cucu Malikul Mansur mendapat sokongan orang-orang hutan di sini. Maka anak atau cucunya yang tidak diketahui namanya itu telah menghidupkan, jika tidak mengasaskan kerajaan Haru yang asalnya berpusat di Teluk Aru... Di perairan tempat “pemburu” cerita-cerita lama ini bermalam tiga hari kebelakangan ini. Sayangnya, Rasyid tidak memiliki apa-apa bukti atau dokumen sejarah yang boleh menyokong telahan ini.

Sejarah pembukaan Haru yang dapat dicari Rasyid tidak menyatakan siapakah pengasasnya, apa lagi asal-usulnya. Yang ada cuma sedikit cerita rakyat mengenai asal-usul nama Haru, juga sekelumit sejarah mengenai kerajaan itu setelah ia muncul sebagai sebuah kuasa besar di rantau ini.

Sebuah sumber tempatan menyebut nama Haru berasal daripada nama pokok Aru atau pohon Rhu (seperti nama Desaru di Johor, dari perkataan Desa Rhu) yang masih banyak terdapat di perairan itu. Tetapi ada juga menyebut nama itu sebenarnya berasal daripada perkataan “haru” atau “terharu”... Kerana pernah berlaku peristiwa yang menyayat hati melibatkan sejarah awal kerajaan ini suatu masa dahulu. Lalu pemuda itu terfikir, apakah ini disebabkan perasaan sedih anak Sultan Malikul Mansur yang bukan sahaja kehilangan bapanya yang mangkat di Padang Maya setelah lama dibuang negeri malah kerajaannya Samudera pula diambil orang?

Mengikut sumber luar pula, Haru muncul dalam sejarah rasmi melalui catatan seorang pengarang Parsi bernama Rasyiduddin tahun 1310 Masihi. Dia menyebut Haru sebagai sebuah pelabuhan penting di Sumatera selain Perlak yang terkenal lebih awal. Sekarang fikirkan... Sultan Malikus Salih mangkat sekitar 1297 (atau 1292, ada juga kata 1289) sedangkan peristiwa Malikul Mansur mengambil dayang istana Pasai lalu dibuang negeri berlaku tidak lama selepas baginda menggantikan nendanya di atas takhta.. Tempohnya dibuang negeri beberapa tahun sebelum mangkat di Padang Maya boleh dikatakan selari dengan kemunculan nama Haru 1310. Ketika itulah ahli keluarga baginda “hilang” daripada lipatan sejarah sedangkan Hikayat Raja-raja Pasai menyebut baginda ada meninggalkan seorang anak laki-laki dan dua orang perempuan. Maka memang ada kemungkinan anak lelakinya yang merupakan waris sebenar kerajaan Samudera telah lari membawa diri selatan ke Teluk Aru lalu diangkat menjadi raja di sana.

Sejarah rasmi mencatatkan, Haru menjadi sebuah kerajaan besar dengan wilayah yang luas meliputi Temiang di sempadan Aceh-Sumatera Utara sekarang sehingga jauh ke selatan di Rokan. Kitab Sejarah Melayu pula menyebut pada zaman Sultan Muhammad Shah (memerintah Melaka 1424-1444), Haru dan Pasai adalah setaraf Melaka... Kerana “raja dua buah negeri itu sama besarnya dengan Raja Melaka, tua muda sekaliannya berkirim salam jua.” Mungkin ini berlaku kerana Raja-raja Haru dahulukala berasal daripada keturunan Sultan Malikul Mansur? Maka itu daulat kebesarannya sama tinggi dengan Pasai dan Melaka kalau tidak pun lebih?

Sejarah Melayu juga menyebut Haru selalu berkelahi dengan Pasai. Mungkin ini terjadi kerana anak cucu Malikul Mansur yang memerintah Haru berdendam dengan Raja-raja Pasai berketurunan Malikul Mahmud yang telah mengambil hak mereka dengan menyerapkan Samudera ke dalam Pasai? Tetapi kitab karangan Bendahara Johor Tun Sri Lanang yang dibuat awal abad ke 17 juga mencatatkan pada zaman Sultan Muzaffar Shah (memerintah Melaka 1444-1459), Majapahit pula dikatakan setaraf Melaka, di samping Pasai yang kekal setaraf dengannya. Haru nampaknya telah jatuh daripada persada kegemilangan ketika itu... Apakah yang menyebabkan Haru jatuh taraf? Mungkin telah berlaku satu perebutan takhta sehingga orang yang lebih layak dan berdaulat tersisih lalu terbuang lagi?
Selepas kejatuhan Melaka 1511, Haru telah digunakan sebagai pengkalan Portugis untuk menakluki Pasai (jatuh tahun 1514), sebelum wilayah itu dimerdekakan lalu diserap ke dalam Aceh oleh Sultan Ali Mughayat Shah (memerintah Aceh 1511-1530). Ada kajian menyebut Haru juga ditakluki Sultan ini sedangkan Hikayat Aceh mencatatkan ia cuma dapat dikuasai Aceh pada zaman Sultan Alauddin Riayat Shah al Qahar (1539-1571).

Pada zaman Sultan Alauddin Riayat Shah Alam Sayyid Al-Mukammil (1589-1604), Sultan Aceh pertama menerima kedatangan para pedagang Inggeris, Haru dikenali sebagai Ghori dengan pusatnya terletak tidak jauh daripada Pengkalan Brandan. Dalam tempoh ini, ia pernah memberontak di bawah kepimpinan Merah Miru yang mengubah kesetiaannya kepada kerajaan Johor Lama. Pada zaman Sultan Iskandar Muda (memerintah Aceh 1607-1636), Haru atau Ghori langsung dipukul mundur lalu terus ditakluki dibawah pemerintahan Panglima Aceh, Laksamana Kuda Bintan Gocah Pahlawan Muhammad Dalik. Keturunan Panglima ini terus memerintah Delli dan semenjak tahun 1814, ia dikeluarkan daripada pengaruh kekuasaan Aceh lalu dikenali sebagai keSultanan Deli yang berpusat di Medan.



Kami sampai di Pengkalan Susu waktu senja. Sempatlah mengambil gambar sebuah surau cantik berdekatan jeti diikuti gambar masjid besar pekan. Lihat Surau (Small praying hall of) Nurul Hikmah, Pengkalan Susu dan Masjid Raya (Mosque of) Bitrul Tajriyan, Pengkalan Susu. Kelihatan di sini pula isteri dan anak sedang menunggu kenderaan di hadapan masjid. Kami perlu keluar dari Pengkalan Susu turun di jalan besar sebelum boleh mendapatkan kenderaan lain untuk ke sasarannya seterusnya... masuk ke wilayah Aceh Darussalam, satu perjalanan yang lebih 7 tahun lalu perlu dibuat susah-payah akibat darurat perang sehingga menjadi latar belakang siri buku atau novel "Berpetualang ke Aceh"... :]


14 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

anak turun malikul mansur berdendam pada anak turun malikul mahmud.menarik sekali

Tanpa Nama berkata...

Bukankah akhirnya anak turun malikul mansur(sultan2 aceh) sudah berhasil membalas dendamnya kepada anak turun malikul mahmud lewat kesultanan aceh(turunan malikul mansur) sehingga anak turun malikul mahmud banyak yang lari kejawa.

Radzi Sapiee berkata...

Ya. Mungkin dendam itu berjalan agak lama lalu kerajaan Haru dapat digunakan untuk menolong Portugis mengalahkan Pasai tahun 1521 kalau tak salah. Setelah itu baru bangkit Aceh sebagai kuasa besar yang mana dalam proses menghalau Portugis keluar dari Sumatera maka Pasai yang dikuasai penjajah Barat itu dikalahkan sebelum diserap ke dalam Aceh. Darah keturunam Sultan2 Aceh zaman itu sudah bercampur darah raja2 Pasai. Kemudian saya dapati darah Raja2 Haru pun turut bercampur untuk memerintah Aceh. Maka selepas itu seharusnya tidak ada lagi dendam. Biasa le adik beradik bergaduh tapi kata orang carik2 bulu ayam tetap bercantum juga kembali akhirnya...

Amermeftah berkata...

Suka benar saya menengok saudara berkelana mengorek sejarah. Suka juga saya menengok saudara banyak ziarah masjid-masjid lama di tanah air.

Suka lagi saya melihat masjid-masjid lama di Melaka yang mungkin setengah orang kata terkesan senibina cina tapi saya yakin itulah senibina asli masjid di rantau kita. Serupa dengan Masjid Kampung Laut dan Masjid Demak. Atau beza sedikit macam Masjid Wadi Hussein di Telok Manok dan Masjid Muhammadi yang lama (boleh tengok dalam gambar saja).

Senibina masjid di Malaysia macam tak ada identiti. Tengok saja Masjid Sultan Salahuddin di Shah Alam itu, tak nafi cantik dan kreatif. Tapi macam mana kubahnya ikut gaya Parsi tapi menaranya ikut gaya Turki. Bercampur-aduk.

Tapi sedih lagi, kalau saya sendiri ini, tak bawak diri ke masjid ...

Radzi Sapiee berkata...

Terima kasih. Harap terus beri sokongan kepada blogspot ini... :]

Tanpa Nama berkata...

kalau tak dibantu kerajaan Haru,tentu pasai akan tetap berdiri(wallhu 'alam).dan tentu saja ,kami anak turun malikul mahmud tak mungkin terdampar di jawa.Hanya gara2 WANITA ,persaudaraan dan kerajaan bisa hancur .anda sebagai anak turun malikul mansur akan banyak digoda oleh wanita,seperti leluhur anda(malikul mansur) yang tertarik oleh danyang istana.nur nur yang lain akan menggoda anda.salam dari anak turun malikul mahmud yang terdampar di jawa.

Radzi Sapiee berkata...

Sudah suratannya begitu. Semoga menjadi pengajaran buat kita anak cucu agar tidak mengulangi kesilapan yang sama. Wassalam.

Tanpa Nama berkata...

Semoga perjuangan anda mencari silsilah keluarga (meskipun anda turunan belah perempuan malikul mansur dari ngah ...... (putri daeng hasanah sang nahkoda hitam) berhasil dan succes .wasalam

Radzi Sapiee berkata...

Terima kasih. Pencarian silsilah cuma satu bahagian sahaja daripada perjuangan yang lebih besar. Adapun suami kepada puteri yang dimaksudkan itu juga turunan Malikul Mansur. Aneh sungguh saudara harus menyatakan turunan saya belah perempuan sahaja dari ngah itu. Kenapa ya? Wassalam.

Tanpa Nama berkata...

Tak ada maksud apa2.karena sebenarnya watak kepemimpinan lebih besar/dekat ke putri daeng hasanah tersebut dan modal sebagai sultan perak.oh ya saya baru tahu kalau Laksamana Tok jambu adalah keturunan malikul mansur.boleh saya tahu silsilah daeng hasanah dan silsilah laksamana tok jambu bertemu pada siapa?.wassalam

Radzi Sapiee berkata...

Saya setakat boleh menyebut silsilahnya bertemu pada seorang yang dikenali sebagai Daeng Mansur yang katanya datang daripada Wajo, Sulawesi Selatan ke Aceh abad ke 16 Masihi.

Tanpa Nama berkata...

Oh ternyata Daeng Mansur punya anak laki2 selain Daeng Ahmad,saya baru tahu ini.tentu Raja asman akan lebih menghormati anda.Insya Allah kesultanan Perak akan lebih menerima saudara untuk menetralisir kegaduhan disana .Insya Raja ahmad Nasir,Raja Nasrin akan lebih memerima anda sebagai sultan perak.oh ya saya masih penasaran tentang silsilah laksamama tok jambu.bisakah saya dituliskan silsilahnya sampai Daeng Mansur.terima kasih.wasalam

Radzi Sapiee berkata...

Saudara, cukuplah saya melayan pertanyaan saudara. Pencarian salasilah saya bukan untuk mengejar takhta tetapi untuk memahami keadaan yang pernah berlaku dari zaman dahulu hingga sekarang dan akan datang. Disebabkan perebutan takhta le berlaku berbagai fitnah yang memecah-belahkan saudara mara sehingga musuh dapat menangguk di air keroh. Cukup. Wassalam.

Tanpa Nama berkata...

apakah istri malikul mansur adalah putri noor komalasari anak sultan muhammad syah alkamil perkasa alam?