Manakan dapat sagu kalau tidak dipecahkan ruyungnya?
Manakan dapat mutiara yang berkerlipan jika takut menyelam ke lautan dalam.
Dalam diri setiap manusia, ada seketul daging.
Jika baik ia, maka baiklah seluruh jiwa manusia itu.
Jika buruk ia, buruklah juga manusia itu...
Seketul daging itu adalah hati,
mari kita lapangkan dada dan belajar mengIKHLASkan hati.
Perjalanan seribu batu bermula dengan satu langkah.
Marilah meneroka dunia pemikiran hamba.
Silakan

Video klip yang tertera boleh dianggap sebagai pembukaan kepada dunia pemikiran dan kesukaan hamba...







-------------------------


-------------------------



Segala yang dipaparkan menggambarkan pemikiran penulis yang turut terserap di dalam setiap penulisan buku dan artikel. Lihat Cara-cara mendapatkan buku tulisan Merah Silu @ Radzi Sapiee. Di atas adalah satu klip video selama hampir setengah jam yang merupakan demo pilot episode yang mahu digunakan untuk mencadangkan satu siri pengembaraan menyusuri sejarah Melayu Islam sekeliling Nusantara untuk siaran televisyen. Entah mengapa ia menemui masalah. Kemudian penulis diberitahu konsepnya diciplak sebuah stesyen televisyen. Lihat Kembara Sejarah Islam Nusantara : The original material...



Ini adalah klip video ulasan buku ketujuh saya "Jejak keluarga Yakin : Satu sketsa sejarah" berserta temuramah yang dibuat siaran langsung di Selamat Pagi Malaysia, RTM1. Lihat Siaran langsung ulasan buku "Jejak keluarga Yakin : Satu sketsa sejarah" dan temu ramah di Selamat Pagi Malaysia.



Penulis juga pernah diminta membuat pembentangan mengenai siri buku "Berpetualang ke Aceh" di Masjid Sultan Salahuddin iaitu masjid negeri Selangor di Shah Alam. Lihat Buku "Berpetualang" dan himpunan ulamak Nusantara yang diketuai ulamak Aceh


-------------------------



Siri novel "Berpetualang ke Aceh" boleh didapati dalam bentuk e-book. Masuk http://www.e-sentral.com/, klik kategori novel am dan taip perkataan "Aceh" pada kotak carian. Atau terus klik Buku 1,Buku 2 dan Buku 3.





Gambar ketika menghadiri satu majlis ilmu, diambil oleh sebuah akhbar harian. Lihat Menghiasi Kosmo Alam Melayu...



Penerbitan trilogi novel "Berpetualang ke Aceh" juga membawa penulis untuk terlibat dengan banyak majlis ilmu. Rujuk kumpulan links artikel di bawah tajuk "Siri Refleksi Sejarah", pada bahagian paling bawah kiri blogspot, . Penulis juga agak aktif dalam aktiviti-aktiviti kedaulatan Melayu dan Islam, dapat menganjurkan majlis-majlis sendiri di merata Semenanjung Malaysia membawa ke luar negara di Aceh. Lihat blogspot Himpunan Kedaulatan Melayu Islam Akhir Zaman (HIKMAH).


Ketika menulis perenggan ini 4 Mei 2015 penulis sedang berusaha untuk mengembangkan isi 3 buku dalam siri "Berpetualang ke Aceh" menjadi 6 buku yang akan membentuk siri baru dipanggil "Siri Pengembaraan Merah Silu". Sebuah syarikat penerbitan telah bersetuju untuk menerbitkan siri lama itu kembali dalam bentuk yang lebih segar - Setiap buku asal dipecah menjadi 2 buku baru yang ditambah maklumat, gambar dan peta berwarna-warni.Pertengahan September 2015 buku pertama siri baru pun selamat diterbitkan. Seminggu lebih kemudian penulis berpeluang bercakap tentangnya secara siaran langsung dalam televisyen lalu membawa wakil penerbit bersama. Lihat video di bawah :-





Awal tahun 2015 turut menyaksikan penulis diambil menjadi penyelidik dan hos satu siri dokumentari yang dipanggil "Daulah Melayu". Projek 13 episod sepanjang sejam setiap satu ini mahu mengenengahkan formula untuk mengembalikan kekuatan bangsa Melayu. Insyaallah projek iakan membawa penulis untuk mengembara ke merata di Malaysia dan Indonesia juga ke beberapa negara dan tempat di Eropah termasuk ke kota London, tempat penulis mengambil ijazah matematik 1991-1995. Siri dokumentari ini dijangka siap untuk tayangan televisyen dalam tempoh 2 tahun.


Pada 13 Mei 2023 buku ke 13 + 1 penulis (pertama setelah yang ke-13 terbit tahun 2019 lalu mula memberikan tumpuan pada pengajian pascasiswazah di ISTAC iaitu Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam di Bukit Tunku, Kuala Lumpur), Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin & Orang Kaya Arsyad telah dilancarkan oleh sejarawan ulung negara, Profesor Emeritus Datuk Dr Abdullah Zakaria Ghazali di rumah penulis. Lihat Majlis pelancaran buku dan rumah terbuka raya 2023 - Melestarikan semangat perjuangan. Beliau yang bertanggungjawab memberikan kata-kata aluan dalam buku turut menjadi pembicara dalam diskusi yang diadakan di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2023 (berlangsung 26 Mei hingga 4 Jun). Lihat Bicara buku Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin di PBAKL 2023. Diskusi ini terakam dalam video atas diikuti video bawah...



Khamis, Mac 08, 2012

Jejak "Berpetualang ke Aceh" : Dari Saidi Mukammil ke Hamzah Fansuri


HAMZAH FANSURI
DAN
ISKANDAR MUDA:
PUNCAK KEGEMILANGAN ACEH
Z
Sabda Rasul Allah: Man ‘arafa nafsahu
Bahwasanya mengenal akan Rabbahu
Jika sungguh engkau abdahu
Jangan kau cari illa wajhahu
Wajah Allah itulah yang asal kata
Pada wujudmu lengkap sekalian rata
Jika anggamu menjadi mata
Mangkanya dapat pandanganmu nyata
Dirimu itu seperti zilal (bayang)
Jangan kau pandang pada waham dan khayal
Jika pandangmu itu pada rupa Jamal
Engkaulah da’im beroleh wisal

- Beberapa bait Gurindam Hamzah Fansuri




Assalamualaikum warahmatullahi ta'ala wabarakatu. Di atas adalah petikan daripada muka surat 237 buku kedua saya "Berpetualang ke Aceh : Membela syiar yang asal" (terbit Mei 2007). Ia adalah pembuka bab bertajuk seperti di atas. Kiranya ada kaitan juga dengan artikel baru ini.

Setelah beberapa lama bercerita hal-hal lain terutama bab kewujudan Hang Tuah dan perbincangan di forum/seminar mari kita masuk kembali bab pengembaraan. Berkat malam Jumaat ini biar disambung cerita perjalanan Medan ke Banda Aceh, perjalanan yang dilakukan kami anak beranak 2-13 November tahun lepas. Maka bersambung daripada artikel Jejak "Berpetualang ke Aceh" : 3 x 11 dan jejak warisan Bugis Aceh yang dibuat 3 minggu lalu.



Dalam artikel dahulu telah diceritakan bagaimana kami mahu ke Banda Aceh setelah puas (dan sangat penat sebenarnya) menziarahi tempat-tempat di sekitar Sigli sehingga ke Padang Tiji. Alhamdulillah kami sampai walaupun lewat, dapat berehat dengan selesa di rumah besar milik kenalan kami yang dipanggil Kak Anne. Esoknya Sabtu 12 November baru dimulakan proses berziarah di Banda Aceh. Kali ini kami keluar lebih selesa apabila diberi sebuah kereta dengan pemandunya sekali.


Dari Medan ke Berastagi ke Danau Toba ke Pulau Samosir. Keluar dari Parapat ke Permatang Siantar @ Kota Simalungun ke Tebing Tinggi, sampai di Medan malam raya haji. Pusing Medan hingga ke Deli Tua dan Timbang Deli sebelum keluar melalui Pinang Baris ke Kota Binjai naik ke Tanjung Pura Langkat, singgah di Babussalam sehingga ke Pengkalan Brandan. Naik ke Pengkalan Susu masuk ke Pulau Kampai sebelum masuk Aceh ke Langsa. Lalu ke Perlak masuk ke pendalaman sebelum ke tinggalan pusat kerajaan Samudera-Pasai di Geudong, naik ke Lhokseumawe melepasi Bireun dan Samalanga ke Sigli sebelum sampai ke Banda Aceh Jumaat malam Sabtu. Kami telah menaiki begitu banyak kenderaan dan dari berbagai jenis.

Dari van-van dan kereta separa pick-up yang dijadikan kenderaan awam, beca bermotor, 'labi-labi' seperti Pajero, naik 'ojek' iaitu membonceng motosikal sewa sehingga membawa sendiri motosikal keliling pulau, semuanya sudah kami rasa termasuk naik bot dan feri. Bayangkan. Seorang laki-laki yang nak masuk umur 41 tahun ketika itu, taklah tua sangat tetapi apabila difikirkan yang dibawa dan perlu dilindungi sekali adalah seorang isteri sarat mengandung 6 bulan berserta anak 2 tahun yang perlu dibawa cukup susu dan pampers menaiki kenderaan awam ke merata tempat di rantau orang ia bukanlah mudah. Di Banda Aceh baru kami dapat berjalan sedikit mewah, tidak lagi begitu penat, satu hadiah yang patut kami kecapi kerana telah berjaya melepasi cabaran perjalanan 10 hari sebelumnya.



Seperti biasa, apabila sampai di Banda Aceh tak sah kalau tak singgah di Masjid Baiturrahman.


Chewah! Macamlah selalu sangat sampai. Apapun alhamdulillah, campur perjalanan ini saya sudah sampai 5 kali di Aceh tetapi kali pertama Januari 2004 tak sampai Banda Aceh kerana terhalang akibat darurat perang yang melanda bumi Serambi Mekah dahulu. Isteri saya sudah sampai 4 kali iaitu bersama saya, anak kecil kami Muhammad Al-Aminul Rasyid pula 3... jika tidak dicampur ketika 6 bulan dalam perut, semasa saya pertama kali sampai bersama isteri pertengahan 2009.


Masuk dalam masjid ambil berkat. Untuk pengetahuan walaupun bangunan yang dilihat ini dibina Belanda penghujung abad ke 19, Masjid Baiturrahman sendiri sudah berdiri dalam bentuk lain sejak awal atau pertengahan abad ke 13 iaitu hampir 800 tahun lalu!


Kemudian baru menziarahi sebuah makam yang tidak jauh dari masjid. Cuma pertengahan tahun lepas baru saya tahu kewujudannya sekitar ini, setelah mendapat maklumat di Internet. Ia adalah makam Sultan Alauddin Riayat Syah Sayyid al-Mukamil yang memerintah Aceh 1586-1604Masihi. Lihat artikel Makam (Tomb of) Sultan Saidil Mukammil di blogspot SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART).

Pada cerita sebalik tabir Sultan ini ada rahsia bagaimana Laksamana boleh menjadi Sultan dan Sultan menjadi Laksamana. Ini adalah satu perkara biasa di Aceh akibat ia sering terlibat dalam perang jihad melawan penjajah Barat. Biar diberi sedikit sedutan dari muka surat 251 buku...




Rasyid kembali ke rumah sedikit lega. Sokongan ikhlas daripada Nur telah mengembalikan semangat yang hilang beberapa hari kebelakangan... Timbul gerak untuk menyambung sedikit penulisan mengenai Sultan Iskandar Muda yang tersangkut lebih seminggu akibat fikiran bercelaru...
Adapun Iskandar Muda dilahirkan 1593 dengan nama Abangta Raja Munawar Shah. Ayahandanya Raja Muda Haru, Sultan Mansur Shah adalah anak kepada Abangta Raja Abdul Jalil bin Sultan Alauddin Riayat Shah al Qahar. Ibu Iskandar Muda, Puteri Raja Indera Bangsa atau Paduka Shah Alam pula adalah puteri kepada Sultan Alauddin Sayyid al Mukamil.
Sayyid al Mukamil adalah cicit kepada Sultan Muzaffar Shah, Sultan negeri Darul Kamal sementara Sultan al Qahar adalah cicit Sultan Munawar Shah yang merajai negeri Mahkota Alam. Suatu masa dahulu, Munawar Shah telah mengalahkan Muzaffar Shah lalu menyatukan kedua negeri menjadi Aceh Darussalam. Mengikut satu salasilah pula raja-raja itu adalah adik-beradik, anak kepada Sultan Mahmud Alauddin Inayat Shah yang memerintah Aceh lama (1480-1490). Maka itu, Iskandar Muda adalah campuran dari dua nasab raja adik-beradik yang pernah bersengketa.
(Hmm... Sudah nampak bagaimana penulisan harus disambung...)

————————

Hikayat Aceh yang dipercayai ditulis pada zaman pemerintahan Iskandar Muda membuka cerita dengan menyatakan asal-usul nenek moyang baginda, bermula dengan Sultan Munawar Shah yang dikatakan berketurunan Iskandar Zulkarnain. Adapun Munawar yang dimaksudkan di sini bukanlah Raja Mahkota Alam tetapi seorang raja sebelum itu. Baginda mempunyai dua orang putera, Raja Syah Muhammad dan Raja Syah Mahmud... Syah Muhammad berkahwin dengan puteri daripada buluh betong dan Syah Mahmud dengan puteri dari kayangan.
Hasil perkahwinan tersebut, masing-masing telah mendapat sepasang anak lelaki dan perempuan lalu dikahwinkan antara satu sama lain. Daripada satu pasangan ini terbitlah Raja Muzaffar, moyang Sultan-sultan Aceh seterusnya... Mengikut kata sarjana, raja ini juga dikenali sebagai Sultan Munawar yang merajai negeri Mahkota Alam. Kemudian hikayat itu menceritakan serba-sedikit tentang mereka hinggalah ke zaman Sultan Alauddin Sayyid al Mukammil diikuti kemunculan Iskandar Muda.

Sedutan atas harus dapat memberi tahu siapakah itu Sayyid al-Mukamil. Dari makamnya kami masuk ke melepasi satu kawasan yang dipanggil Kampung Keudah (kerana dahulu memang ramai orang dari Kedah) lalu terus ke kawasan makam dalam gambar, kawasan yang pertama kali kami jejaki pertengahan 2009. Lihat artikel lama Makam (tomb of) Tuan di Kandang...


Adapun makam ini kami temui secara tidak sengaja ketika mahu mencari makam lain yang katanya terletak sekitar ini. Oh. Sebelum itu singgah di masjid berdekatan. Lihat Masjid (Mosque of) Teungku Di Kandang.


Kali ini baru kami ketemu makam yang dicari. Rupa-rupanya dekat belakang makam Tuan Di Kandang sahaja tetapi dahulu tak sedar, mungkin kerana ketika itu sekitarnya bersemak. Lebih menarik kami terjumpa satu lagi kawasan pemakaman. Katanya di sinilah disemadikan Puteri Hijau dari kerajaan Haru atau Deli Tua. Baca artikel Jejak "Berpetualang ke Aceh" : Kerajaan Haru Deli Tua dan legenda Puteri Hijau yang dibuat dua setengah bulan lalu, kemudian baru lihat artikel Makam (Tomb of) Putroe Ijo.


Inilah kawasan makam yang kami cari sejak tahun 2009 dahulu, kawasan yang tidak sempat kami jejaki ketika pergi lagi ke Aceh Januari dan Februari 2010. Di sekitar ini kerajaan Aceh lama dikatakan bermula hampir 800 tahun lalu. Lihat Makam Raja-raja Kampung Pande (Tombs of the kings of Kampung Pande). Turut kelihatan dalam gambar adalah pemandu kereta atau pak supir, Teuku Chairul.



Tidak jauh, terdapat satu kawasan yang diduduki oleh ramai golongan Sayyid diketuai seorang ulamak abad ke 18 yang dipanggil Teungku Di Anjong. Kami singgah di masjid yang dibeliau bersebelahan makamnya. Lihat Masjid (Mosque of) Teungku Di Anjong.


Sebelum kembali ke jalan besar kami singgah di makam seorang pejuang besar Aceh ketika melawan pencerobohan Belanda yang bermula 1873. Kami terlihat papan tanda arah masuk ketika mahu mencari makam Raja-raja Kampung Pande tadi. Lihat Makam (Tomb of) Tuanku Raja Kemala.


Seterusnya kami ke makam Sultan Ahmad Syah Johan Berdaulat yang memerintah Aceh 1727-1735, sultan yang dikatakan berketurunan bangsawan Bugis. Lihat artikel lama Makam Raja-raja Dinasti Bugis (the tomb of kings from the Bugis dynasty). Sila rujuk silang dengan Apa cerita bangsawan Bugis pula boleh menjadi raja Aceh? dan Jejak "Berpetualang ke Aceh" : 3 x 11 dan jejak warisan Bugis Aceh.


Berdekatan makam terdapat loceng dari China yang diberi oleh Laksamana Cheng Ho kepada kerajaan Pasai, katanya pada tahun 1405 Masihi.



Loceng itu kemudian dibawa ke Banda Aceh lalu diabadikan di sini, di hadapan rumah tradisional yang dijadikan Muzium Aceh.



Di kawasan bersebelahan pula terdapat sejumlah lagi makam raja berketurunan Bugis. Lihat artikel lama Makam keluarga kerajaan (Tombs of the ruling families).



Dari situ cukup dekat untuk berjalan kaki ke makam Sultan Iskandar Muda. Lalu di satu kelompok makam. Lihat Kompleks makam Meuh (Meuh tombs complex).


Inilah makam yang dinyatakan sebagai milik Sultan Iskandar Muda Mahkota Alam, raja yang dikira teragung dalam sejarah Aceh Darussalam. Tetapi saya masih lagi terasa ada sesuatu yang kurang tentang makam ini. Lihat artikel Makam (tomb of) Sultan Iskandar Muda? (dibuat dua setengah tahun lalu).


Kali ini saya terasa ada sesuatu yang menarik tentang pokok di luar makam.


Dari situ kami pergi ke sebuah lagi kawasan pemakaman yang cukup dekat. Dekat-dekat pun jenuh le kalau perlu berjalan kaki...


Kawasan pemakaman ini baru saya tahu kewujudannya awal atau pertengahan tahun lepas.


Menempatkan jasad 5 orang Sultan abad ke 16, ia terasa begitu selesa buat saya berehat terutama di atas makam penakluk besar Sultan Alauddin Riayat Syah Al-Qahar, moyang kepada Sultan Iskandar Muda. Lihat Komplek makam (Tomb complex of) Kandang XII.


Sempat singgah di masjid sebelah makam sebelum pergi ke satu masjid lain di pinggiran Banda Aceh, masjid yang memiliki reka bentuk yang sangat unik. Lihat Masjid (Mosque of) Al Fitrah Keraton, Banda Aceh dan Masjid (Mosque of) Teuku Omar.


Kemudian kami keluar dari bandar menuju barat laut ke satu kawasan semenanjung berbukit yang dipanggil Hujung Pancu.


Kami pergi sampai ke penghujung jalan lereng bukit menghadap laut sehingga kereta tidak boleh masuk lalu meneruskan dengan berjalan kaki.


Ada kawasan tempat orang suka memancing...


Saya kira ada pertemuan arus Selat Melaka dengan Laut Andaman dan Lautan Hindi.



Adapun kami masuk ke kawasan ini hampir Maghrib, terus mengikut denai pejalan kaki ke bangunan yang tersorok dalam hutan.


Di sinilah wali dan pujangga besar Aceh abad ke 16 dan 17, Sheikh Hamzah Fansuri dimakamkan. Lihat Makam (Tomb of) Hamzah Fansuri. Adapun kitab Hamzah Fansuri merupakan bacaan terawal saya mengenai ilmu Tasawuf. Ketika itu saya baru berumur 18 tahun.

Hasil dari pembacaan itu membawa perubahan besar dalam hidup. Ia membuat saya begitu lama terpinga-pinga hilang arah. Biar diletakkan sedikit sedutan berkenaan daripada buku pertama saya "Berpetualang ke Aceh : Mencari diri dan erti" (terbit Jun 2006)... daripada bab bertajuk "Warkah untuk Nenek"...



Bayangkan, dahulu saya mampu mendengar full orchestra dalam kepala. Boleh membezakan setiap alat muzik dengan terang dan nyata, misalnya cello section di telinga kiri, violin di kanan, bass di tengah seperti 3D sound Saya juga mampu melihat lebih 20 baris equation matematik dalam kepala terpampang jelas, siap berwarna hijau macam tulisan dalam skrin komputer dulu-dulu. Semuanya kelihatan begitu terang dan nyata malah boleh project keluar depan mata! Jadilah seperti tulisan yang terapung di udara... Dengan cara yang sama, saya juga boleh ‘mewujudkan’ objek-objek, yang boleh dipusingkan macam dalam program AUTOCAD komputer. Tetapi entah kenapa, semua ini hilang semasa saya hampir memasuki universiti. Mungkin sebab saya sudah terlalu banyak membuat dosa? Maka Tuhan tarik balik beberapa kelebihan yang ada? Sombong sangat, dah terhantuk baru nak tengadah!
Mungkin juga ini berlaku kerana wujudnya pertentangan jiwa yang agak kronik, semenjak saya mula meminati pengajian Tasawuf dan ilmu-ilmu berkaitannya. Selepas membaca buku The Mysticism of Hamzah Fansuri karangan Professor Syed Naguib Al-Attas dan puisi-puisi Sufi, ketika berumur 18 tahun dahulu. Or, maybe it started when I tried to empty the cup that is full ? Cuba menolak tepi segala kekuatan logik dan analisis akal yang menjadi kebanggaan selama ini, cuba mengikut cara Zen pula untuk memahami konsep-konsep keTuhanan yang sudah lama saya minati, sejak kecil lagi.... Pandai sangat konon, masih cuba mengenali Tuhan dengan kekuatan sendiri.
Agaknya memang sudah ditakdirkan perjalanan hidup saya begini, nenek. Bukannya ayah tak tahu, sejak kecil lagi saya selalu bertanyakan tentang Tuhan. Siapakan Dia sebenarnya, di manakah letakNya, bagaimana rupaNya dan segala macam soalan berkaitan yang boleh memeningkan kepala kebanyakan manusia termasuk ahli keluarga. Tetapi siapa lagi yang boleh menolong menjawab dengan terang kalau bukan kaum-kerabat sendiri? Ayah pula asyik nak marah sahaja sebab anaknya terlalu banyak bertanyakan soalan yang bukan-bukan, soalan-soalan yang tidak patut ditanya budak mentah seperti saya ini...
Mungkin kalau awal-awal lagi saya mengenali diri nenek seperti diketahui sekarang, saya tidak perlu lagi bertanya orang lain. Nenek boleh memberikan jawaban yang memuaskan kerana saya sedar nenek sebenarnya faham semua ini. Nenek ada satu pertalian kerohanian yang tidak dimiliki semua orang. Maka itu saya percaya nenek mesti boleh membaca kecenderungan cucundanya terhadap pengajian Tasawuf, dapat memantau dan memberikan bimbingan yang perlu secukup rasa.
Nenek tahu tak, sampai satu peringkat, saya seperti tidak mampu mengawal diri sendiri lagi, leka dengan syair-syair dan penulisan berbentuk Tasawuf (Mat Saleh panggil Sufism) oleh orang-orang seperti Omar Khayyam, Fariduddin Attar dan Jalaluddin Rumi. Saya sudah jadi seperti robot yang kena remote control, asyik nak mencari pembacaan sebegini hampir setiap hari.
Sejak tahun pertama pengajian universiti lagi, kalau tak tidur berjam-jam di rumah, bermain-main dalam alam mimpi yang kadang-kadang datang berlapis-lapis, mimpi dalam mimpi dalam mimpi macam cerita Nightmare on Elm Street, saya akan duduk merengkuk sehari suntuk di kedai-kedai buku di kota London terutama di Foyle’s di Charing Cross Road dan Dillon’s dekat universiti. Lalu zaman universiti saya lebih banyak dihabiskan membaca kitab-kitab Tasawuf terjemahan bahasa Inggeris atau ulasan-ulasan sarjana Barat terkemuka seperti Professor Nicholson dan A. J. Arberry. Ataupun subjek lain berkaitan keTuhanan juga seperti ajaran Tao, Zen Buddhism dan Neo-Platonism. Macam-macam cara saya cuba untuk mengenaliNya!
Bacaan Sains saya pula mesti ada unsur-unsur spiritual seperti buku The Tao of Physics, sudah lupa karangan siapa atau buku-buku kategori New Age (Mat Saleh juga yang bagi nama kategori ini, untuk buku-buku berunsur spiritual daripada pelbagai fahaman dan agama serta bermacam-macam budaya). Barulah saya ada selera hendak membaca, kalau tidak langsung tak masuk kepala...
Disebabkan keadaan saya beginilah, buku-buku teks universiti sudah tidak ada tempat lagi dalam hati. Lalu bagaimana hendak memperolehi first class Degree in Mathematics? Kepala saya sudah jadi teramat ganjil sehingga saya jarang bergaul dengan mana-mana orang sedangkan dalam tempoh itu banyak perkara pelik yang telah berlaku, susah hendak diceritakan bagaimana tetapi saya rasa nenek tahu... Itu baru cerita zaman student, belum lagi cerita apa yang berlaku kemudiannya, kemelut yang melanda semasa bekerja sebagai wartawan sampailah hilang pekerjaan lalu asyik keluar mengembara tanpa bekerja dengan mana-mana pihak lagi sampailah sekarang. Berbagai ujian, dugaan dan cabaran terpaksa dihadapi, bermacam-macam pengalaman tak masuk akal dialami termasuk perkara-perkara yang melibatkan unsur-unsur kerohanian...





Walaupun ada percaya makam Sheikh Hamzah terletak di Fansur ataupun Barus berdekatan sempadan Aceh dengan Minangkabau, ada juga yang pernah pergi ke kedua-dua makam lalu mendapati kedudukan di sini lebih tepat. Saya sendiri dapat merasakan kehadiran yang kuat. Kalau tidak disebabkan hari semakin gelap, tiada bekalan eletrik atau lampu pelita di dalam sana dan tidak pula ditemui sumber air yang boleh digunakan untuk berwudhuk tentu kami akan duduk lebih lama.



Sebulan dua setelah kembali dari Aceh baru saya terbaca satu kajian yang menyebut bahawa Fansur yang asal memang terletak di sini... bahawa nama Hujung Pancu itu terbit dari perkataan Fansur yang kemudian disebut Pansur menjadi Pancur! Tetapi tak sampai sebulan lalu baru saya percaya perkara ini. Apabila sibuk mengkaji isi kitab Sulalatus Salatin versi Raja Bongsu yang mana cerita pengIslaman kerajaan Samudera dan rajanya Merah Silu (kemudian menjadi Sultan Malikus Saleh) menyebut negeri yang disinggahi kapal pendakwah Sheikh Ismail sebaik sahaja sampai ke Sumatera adalah Fansuri, hati saya kuat menyokong. Laluan yang diambil dari Fansuri ke negeri Thobri (dipercayai Lamuri di Teluk Lamreh timur Banda Aceh) sebelum terlajak ke Haru lalu kapal harus berpatah balik, singgah di Perlak sebelum menemui Samudera menunjukkan Fansuri harus terletak di hujung pulau Sumatera, masuk laluan kapal dari benua Hindi ke Selat Melaka, bukan berdekatan Minangkabau yang sangat jauh di pantai barat pulau.


Sebuah surau, masih di Hujung Pancu. Setelah lebih dua dekad mengenali nama Hamzah Fansuri baru saya berpeluang menziarahi makamnya. Maka itu biar artikel diakhiri dengan satu lagi sedutan buku "Membela syiar yang asal" atau BKA 2... daripada bab bertajuk "Hamzah Fansuri dan Iskandar Muda : Puncak kegemilangan Aceh"... muka surat 261-262.


“Bila bercakap tentang ulamak dan para wali di bumi Serambi Mekah, kebanyakan masyarakat Aceh lebih menyanjung tinggi Sheikh Abdul Rauf Singkel yang juga dikenali sebagai Syiah Kuala,” orang tua berketurunan Aceh di Perak menyambung cerita. “Mereka lupa, Sheikh Hamzah Fansuri telah lebih dahulu memainkan peranan mendaulatkan bumi Aceh.”
Asal-usul sebenarnya tidak dapat dipastikan tetapi Sheikh ini diketahui membesar di Siam, ketika itu dikenali sebagai Shahr Nawi. Ini kerana bapanya dahulu pernah menjadi seorang pembesar di sana, maka Sheikh Hamzah menyebut beliau ‘mendapat wujudnya di tanah Sharnawi’.
“Tetapi ada pula yang menyebut Hamzah Fansuri dilahirkan di Fansur, barat-daya Aceh berdekatan sempadan wilayah Minangkabau sekarang,” orang tua itu meneruskan. “Lagipun beliau pernah membuka madrasah di sana, sebab itu dikenali sebagai Hamzah Fansuri.”
Rasyid teringat kali pertama dia mengenali nama itu... Ketika berumur 18 tahun, selepas terjumpa sebuah buku tulisan Professor Syed Naguib Al-Attas bertajuk “The Mysticism of Hamzah Fansuri.”. Itulah buku pertama yang mengenalkan anak muda itu kepada dunia Tasawuf dan orang-orang Sufi. Sejak itu, dia tidak memandang ke belakang lagi. Rasyid telah membaca banyak lagi buku yang menceritakan pengalaman para wali dan Sufi dalam mencari kebenaran hakiki, makna sebenar kehidupan, keTuhanan dan tujuan sebenar manusia dijadikan lalu diletakkan di atas muka bumi.
Sheikh Hamzah telah mendalami berbagai cabang ilmu berkaitan Islam. Selain belajar di Aceh, beliau mengembara ke merata sudut dunia demi menambah pengetahuan termasuk di seluruh tanah Jawa, Semenanjung Malaysia juga India, Parsi dan Tanah Arab. Sheikh ini dikatakan sangat mahir dalam ilmu Fiqah, Tasawuf, falsafah, mantiq, ilmu kalam, sejarah dan lain-lain. Dalam bidang bahasa pula Hamzah Fansuri telah menguasai seluruh cabang ilmu berkaitan bahasa Arab (nahu, saraf dan sebagainya) selain boleh bertutur dalam bahasa Urdu, Parsi, Melayu dan Jawa!
Dunia sastera Melayu pula mengakuinya sebagai pelopor malah sasterawan serta pujangga Melayu terulung dahulukala atas sumbangan yang tidak terhingga terhadap perkembangan penulisan Melayu. Beliau telah memperkenalkan banyak gurindam, puisi, syair dan pantun yang sebenarnya merupakan ajaran Tasawuf yang dikarang begitu indah. Maka banyak perkataan Arab melibatkan konsep keTuhanan diMelayukan... Dengan ini, khazanah kata-kata Melayu turut menjadi lebih luas.
“Beliau menjadi rujukan utama dalam hal kerohanian di Aceh lalu menjadi guru mursyid yang bertanggungjawab menggilap peribadi Sultan Sayyid al Mukammil,” orang tua berketurunan Aceh di Perak memberitahu. “Antara karyanya yang masyhur ialah Al-Muntahi (Ilmu tertinggi), Ruba’i Hamzah Fansuri (sekumpulan puisi), Syair Si Burung Pinggai, Syair Si Burung Pungguk, Syair Sidang Faqir, Syair Dagang dan Syair Perahu.”
Pengaruh kuat sang pujangga Sufi ke atas perkembangan kerohanian kerajaan Aceh Darussalam terus berlangsung sehingga ke zaman pemerintahan Sultan Iskandar Muda Mahkota Alam (1607-1636). Maka sudah tentu beliau mempunyai pengaruh penting terhadap raja besar itu.
“Tidak ramai orang tahu, selain membimbing Sultan Sayyid Al-Mukammil, Sheikh Hamzah Fansuri juga merupakan guru mursyid Sultan Iskandar Muda.” dia mendedahkan satu rahsia. “Malah pada zaman itu, beliau adalah mahaguru Tasawuf yang terkemuka di seluruh Nusantara!”
Walaupun tidak ada bukti akademik menyatakan Sheikh Hamzah pernah berjumpa kedua-dua Sultan ini, Rasyid percaya cakap orang tua itu. Sebagai seorang pemikir besar, ulamak dan wali yang sangat terkenal zaman itu, tidak hairanlah jika beliau dijemput mengajar atau didatangi Sultan-sultan ini. Lagipun Hamzah Fansuri memang mempunyai pengaruh ke atas mereka ini, setidak-tidaknya melalui anak muridnya Sheikh Shamsuddin Pasai, ulamak dan penasihat utama di istana Aceh zaman itu. Sayyid al Mukammil diketahui seorang pengikut Tariqat Qadiriyah iaitu jalan kaedah peningkatan kerohanian yang diasaskan oleh Sultanul Awliya Sheikh Abdul Qadir Al-Jilani. Sheikh Hamzah Fansuri pula adalah Khalifah tertinggi Tariqat ini untuk bumi sebelah sini . Maka tidak hairanlah jika penasihat utama istana Aceh itu pernah memimpin Sayyid Al-Mukamil dan cucundanya Iskandar Muda bersuluk dan apabila sampai masa, menyuruh mereka khatam mengaji dengan Hamzah Fansuri pula.


5 ulasan:

Anak beringin berkata...

Assalamualaikum tuan..

Adalah terlebih molek , sopan dab beradab dengan yang empunya makam jika sekiranya tuan mengambil di sisinya tanpa duduk atau memijak akan binaannya...

Harap maaf & maklum.

Terima kasih.

Radzi Sapiee berkata...

Wassalam. Saya rasa saudara ni banyak nampak negatif le. Cuba bersangka baik selalu ya... :]

anak beringin berkata...

Assalamualaikum tuan...

Tuan ada menyebut 'saya rasa', itulah sangkaan tuan kepada ambo..

Mungkin orang muda spt ambo tidak layak utk memberi pandangan buat tuan yang jauh lebih berpengalaman.

Salah silap harap dimaafkan. Adat bertandang.. memberi salam memohon restu menjaga adab.

Wassalam..

Radzi Sapiee berkata...

Wassalam. Bagaimana orang tidak menganggap adik buruk sangka? Sedangkan kata2 adik itu menggambarkan saya dan keluarga seolah2 kurang adab apabila menziarahi makam. Lain kali kalau tak tahu elok bertanya, jangan terus nak bagi nasihat.

Sekadar bercerita - ada dua orang budak 'kurang beradab'. Mereka 'kurang beradab' kerana suka memanjat ke atas badan Rasulullah SAW waima ketika baginda sedang sujud ketika bersolat. Tak mustahil orang yang melihat sepintas lalu akan terbetik dalam hati : "Kurang ajar betul budak2 ni. Atas badan nabi tengah solat pun boleh panjat." Cuba le kalau dia tahu yang panjat tu bukan orang lain tapi cucu2 Nabi, Hassan dan Hussin. Nabi pun tak marah dia pulak lebih2.

Oh. Kata2 maaf adik diterima, itupun kalau betul2 nak mintak maaf, bukan sekadar bermain dengan bahasa, takut nampak saja beradab tapi besar ego rupanya. Sesungguhnya adik belum layak memberi nasihat kecuali ia memang dipinta. Saya dah lihat komen adik yang menyarankan agar saya membuat cerita tentang ulamak2 berketurunan Nabi. Seolah2 saya tidak pernah berbuat begitu langsung di blogspot ini kemudian adik promote blog sendiri pula rupanya. Sekali lagi ada hati hendak mengajar orang nampaknya...

Kalau tidak senang sila jangan lagi bertandang ke sini. Banyak lagi blogspot yang bercerita pasal ulamak2 dan bab agama dengan lebih beradab berbanding saya dan keluarga yang 'biadab' ini.


Wassalam. :]

anak beringin berkata...

Assalamualaikum tuan,,

Jazakumullahu khara jaza krn perhatian yg diberi kpd pandngan ambo serta sudi memberi kemaafan.

Mengenai adab berziarah itu, ambo serahkan pada tuan untuk menilai dan menerimanya.. Ambo pun ada sedikit cerita mengenai budak kecil ni... Imam Sayyidina Ali karramallahu wajhah telah menyebutkan bhawa hendaklah kamu mendengar dan menerima apa2 yg dikatakan walaupun diucapkan oleh seorang budak kecil jika sekiranyanya ia adalah benar..


Tidak terdetik pun dihati ambo utk menunjuk2 atau ego di atas apa yg ada pada diri ini... Mengenai ulama keturunan syed... ambo tidak pun menyarankan dema menulis mengenainya cuma ingin berkongsi cerita mengenainya... Tambahan pula tuan pun ada menjejaki Kesultanan Perak maka ada baiknya maklumat yg ambo ada ni kita kongsi..

Satu ucapan terima kasih juga berkat perkongsian inilah ambo dpt ziarah maqam syeikh harun rashid di sentul... Inilah yg ambo maksudkan.. Bukanlah semata2 menunjuk2 atau promosi blog sendiri. Ambo ni budak baru dlm dunia blog.. kalau boleh tlg tunjukkan...

terima kasih